Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPiala Dunia yang berlangsung setiap empat tahun merupakan antara acara sukan terbesar di dunia. Kejohanan ini menarik perhatian jutaan peminat daripada pelbagai negara, bangsa dan latar belakang, sekali gus memperlihatkan besarnya pengaruh sukan sehingga mampu menyatukan perhatian masyarakat di seluruh dunia.
Bagi pendakwah dan pelaku kerja islah, keadaan ini wajar dilihat sebagai ruang untuk menyampaikan mesej Islam secara hikmah melalui medium dan platform yang sesuai. Dakwah yang dekat dengan realiti masyarakat dapat menyemai nilai murni, membimbing generasi muda, serta mengajak masyarakat kepada kebaikan. Tanpa usaha dakwah yang berterusan, masyarakat lebih mudah terdedah kepada kekeliruan nilai dan pengaruh yang menjauhkan mereka daripada ajaran Islam.
Piala Dunia sebagai Cermin Fitrah Manusia
Islam tidak menafikan fitrah manusia yang gemar akan hiburan, pertandingan dan semangat kekitaan. Sukan dan pertandingan bukanlah sesuatu yang asing daripada kerangka Islam, malah menjadi sebahagian daripada fitrah yang perlu diurus dengan baik, bukan ditolak secara membuta tuli.
Kehangatan Piala Dunia menunjukkan manusia mudah tertarik kepada sesuatu yang mampu membina rasa kebersamaan, menyentuh emosi dan membentuk identiti bersama. Bagi pendakwah, keadaan ini menjadi peringatan bahawa dakwah juga perlu disampaikan secara berhikmah dan dekat dengan realiti semasa agar mesej Islam dapat difahami, dihayati, serta menarik perhatian pelbagai lapisan masyarakat.
Persoalannya, sejauh manakah pendekatan dakwah hari ini mampu menyentuh hati dan menggerakkan masyarakat sebagaimana tarikan yang dimiliki oleh pelbagai peristiwa semasa?
Satu daripada faktor yang menjadikan Piala Dunia mendapat perhatian masyarakat dunia ialah keupayaannya membina naratif yang menyentuh emosi. Kisah pasukan bukan pilihan yang menewaskan gergasi bola sepak, pemain veteran yang mengejar kejuaraan terakhir, atau negara kecil yang membawa harapan rakyatnya menjadi antara cerita yang membangkitkan inspirasi. Naratif ini diperkukuh melalui detik-detik penuh emosi seperti jaringan pada saat akhir, tangisan kegembiraan dan semangat kesukanan yang dipamerkan di padang.
Begitu juga dengan dakwah. Penyampaian dakwah yang berkesan bukan sekadar tindakan menyampaikan fakta, bahkan mampu menyentuh hati melalui kisah, teladan dan pengajaran. Al-Quran sarat dengan kisah para nabi dan umat terdahulu yang dijadikan ibrah kepada manusia. Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Sesungguhnya pada kisah mereka terdapat pengajaran bagi orang yang berakal.” (Surah Yusuf 12:111).
Oleh itu, pendakwah perlu menguasai seni penyampaian yang jelas, ringkas dan dekat dengan kehidupan masyarakat supaya mesej Islam dapat difahami, dihayati dan meninggalkan kesan yang mendalam.
Piala Dunia turut memperlihatkan satu matlamat bersama mampu menghimpunkan manusia daripada pelbagai bangsa, bahasa dan latar belakang. Walaupun berlainan budaya dan negara, para penyokong dapat berkongsi kegembiraan, semangat kesukanan dan pengalaman yang sama sepanjang kejohanan berlangsung.
Hakikat ini memberikan pengajaran penting kepada usaha dakwah. Dalam masyarakat majmuk, dakwah perlu dilaksanakan dengan pendekatan wasatiyah yang menampilkan kesederhanaan, hikmah dan kebijaksanaan. Pendakwah bukan sekadar menyampaikan ajaran Islam, bahkan berusaha mendekati masyarakat melalui ruang yang dekat dengan kehidupan mereka, termasuk bidang sukan, seni dan kemasyarakatan, tanpa mengabaikan prinsip syariat.
Pendekatan ini selari dengan amalan Rasulullah SAW yang menjinakkan hati manusia (ta’lif al-qulub) dengan mengambil kira keadaan, keperluan dan latar belakang mereka.
Di sebalik kemeriahan Piala Dunia, setiap pasukan yang bertanding melalui proses persediaan yang panjang. Hal ini melibatkan latihan berterusan, disiplin yang tinggi, pengorbanan, serta kesungguhan untuk mencapai prestasi terbaik.
Kejayaan di pentas dunia bukanlah sesuatu yang diperoleh dalam sekelip mata, sebaliknya lahir daripada usaha yang konsisten dan iltizam yang berterusan. Nilai ini bertepatan dengan konsep mujahadah dalam Islam, iaitu kesungguhan dan ketekunan untuk berusaha mencapai keredaan Allah SWT.
Demikian juga dengan dakwah. Kejayaan menyampaikan risalah Islam tidak dapat dicapai melalui usaha yang bersifat sementara atau sambil lewa, sebaliknya memerlukan perancangan yang tersusun, pembangunan ilmu dan kemahiran secara berterusan, serta kesabaran dalam menghadapi cabaran.
Sebagaimana jurulatih dan pemain tidak mudah berputus asa selepas mengalami kekalahan, pendakwah juga perlu terus istiqamah dan memperbaik usaha demi melahirkan perubahan yang berkekalan dalam masyarakat.
Penulis merupakan Ahli Pertubuhan Ilmuwan dan Cendekiawan Muslim Malaysia (ILMAN).