Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangHari ini kita berada pada hari ke-24 bulan Muharam. Selain peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW, terdapat satu lagi peristiwa besar yang berlaku dalam bulan Muharam, iaitu Perang Khaibar. Menurut catatan sirah Ibn Hisham, Perang Khaibar berlaku pada bulan Muharam tahun ke-7 Hijrah.
Perang Khaibar merupakan peperangan antara orang Islam dengan gabungan penduduk Yahudi Khaibar yang bersekutu menentang Madinah. Khaibar merupakan sebuah kawasan yang subur, terletak kira-kira 160 kilometer di utara Madinah.
Di situlah berkumpulnya beberapa kabilah Yahudi yang telah diusir dari Madinah kerana pengkhianatan mereka terhadap Piagam Madinah. Mereka membina benteng-benteng yang kukuh, mengumpulkan kekuatan, dan menjalin pakatan dengan musuh Islam untuk menggugat keselamatan Madinah.
Ancaman berterusan daripada penduduk Yahudi Khaibar menyebabkan Rasulullah SAW mengambil tindakan tegas untuk mempertahankan negara Islam dengan memimpin tentera Islam menuju ke Khaibar. Setelah melalui beberapa siri pengepungan, akhirnya Allah SWT mengurniakan kemenangan kepada tentera Islam.
Allah SWT berfirman:
Maksudnya: “Maka dengan sebab mereka mencabuli perjanjian setia mereka, Kami melaknat mereka, dan Kami jadikan hati mereka keras membatu (tidak mahu menerima kebenaran).” (Surah al-Maidah 5:13).
Terdapat tujuh perkara yang boleh dijadikan hikmah dan pengajaran daripada peristiwa Perang Khaibar.
Rasulullah SAW memimpin peperangan dengan perancangan yang sangat tersusun dan tidak bertindak terburu-buru. Baginda mengatur strategi secara rapi dan teliti, memilih masa yang sesuai serta merahsiakan perjalanan tentera Islam sehingga mereka tiba di Khaibar pada waktu subuh, ketika musuh masih belum bersedia. Baginda tidak menyerang semua kubu sekali gus, sebaliknya menawan benteng demi benteng sehingga kekuatan musuh semakin lemah.
Peristiwa ini mengajar bahawa tawakal kepada Allah SWT bukan bererti mengabaikan ikhtiar dan perancangan. Sesungguhnya kejayaan dalam segala urusan kehidupan memerlukan kebijaksanaan kepimpinan serta perancangan yang teliti.
Tentera Islam pada ketika itu dilaporkan hanya berjumlah sekitar 1400 orang, berbanding dengan pihak lawan yang mempunyai kekuatan lebih banyak serta memiliki kelengkapan peperangan yang mencukupi. Namun demikian, Allah SWT berfirman:

Maksudnya: “… Betapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah; dan Allah sentiasa bersama-sama orang yang sabar.” (Surah al-Baqarah 2:249).
Terbukti bahawa kemenangan bukan bergantung pada bilangan kekuatan, tetapi pada kekuatan iman, kesatuan hati, kesungguhan, serta keyakinan terhadap pertolongan Allah SWT; bahkan sering kali bilangan yang banyak boleh melekakan manusia sehingga mereka berasa terlalu selesa dan pada akhirnya menjadi punca kegagalan.
Dalam peperangan ini, Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “… Esok akan aku serahkan panji ini kepada seorang lelaki yang mencintai Allah dan rasul-Nya serta dicintai oleh Allah dan rasul-Nya … .” (Hadis riwayat al-Bukhari, no. 4210).
Panji tersebut kemudiannya diserahkan kepada Sayidina ‘Ali r.a. yang terkenal dengan sifat takwa kepada Allah SWT serta memiliki semua ciri pemimpin yang dapat memenuhi amanah untuk mencapai kejayaan. Peristiwa ini membuktikan bahawa kepimpinan dalam Islam bukan berdasarkan kedudukan atau keturunan, tetapi berdasarkan ilmu, amanah, keberanian dan ketakwaan.
Walaupun tentera Islam datang daripada pelbagai kabilah, namun mereka bersatu di bawah pimpinan Rasulullah SAW. Tiada perselisihan dan tiada perebutan kepentingan. Sejarah membuktikan bahawa perpecahan merupakan sebab utama kelemahan umat Islam. Oleh itu, umat Islam hendaklah memelihara kesatuan berdasarkan al-Quran dan sunah serta menjauhi sikap pertelingkahan yang melampau sehingga memecahbelahkan masyarakat.
Selepas mencapai kemenangan, Rasulullah SAW memberikan amaran keras supaya tidak mengambil harta rampasan perang sebelum dibahagikan menurut syarak. Diriwayatkan dalam hadis sahih bahawa seorang lelaki dipanah ketika Rasulullah SAW dan tentera Islam pulang dari Khaibar. Kematian lelaki tersebut pada mulanya dianggap sebagai syahid. Namun begitu, Rasulullah SAW menjelaskan bahawa dia akan diazab kerana melakukan ghulul, iaitu menyembunyikan harta rampasan perang sebelum Rasulullah SAW mengagihkannya. (Hadis riwayat al-Bukhari, no. 4234; dan Muslim, no. 115).
Peristiwa ini mengingatkan umat Islam supaya sentiasa menjaga amanah. Penyalahgunaan harta awam, rasuah dan pecah amanah merupakan dosa besar yang menghilangkan keberkatan hidup, malah akan menerima azab di akhirat.
Selepas mencapai kemenangan, Rasulullah SAW tidak membalas dendam secara zalim. Penduduk Khaibar dibenarkan terus mengusahakan tanah mereka dengan perjanjian tertentu. Hal ini menunjukkan bahawa Islam menekankan keadilan walaupun terhadap pihak yang pernah memusuhi umat Islam.
Kemenangan bukan alasan untuk bermegah-megah dan bersifat riak. Sebaliknya, kemenangan menuntut umat Islam menjadi lebih bersyukur, lebih berdisiplin dan lebih bertanggungjawab untuk menjaga serta memastikan keamanan terus terpelihara.
Kesimpulannya, Perang Khaibar mengajar umat Islam akan pentingnya kepimpinan yang bijaksana, keberanian, ketakwaan, perpaduan, amanah, keadilan dan sikap bertanggungjawab dalam kehidupan.
Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 10 Julai 2026, bertajuk “Perang Khaibar: Hikmah dan Pengajaran”.