Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangZaman dan masa sama sekali tidak mempunyai pengaruh terhadap takdir. Semua kebaikan dan keburukan berlaku mengikut ketentuan Allah SWT.
Setiap kali tibanya bulan Safar, pelbagai kepercayaan dan amalan yang tidak berasaskan syariat kembali menjadi bualan masyarakat. Masih terdapat segelintir yang menganggap bulan ini membawa sial, bulan yang dipenuhi bala, atau bulan yang tidak sesuai untuk memulakan sesuatu urusan penting seperti perkahwinan, pembinaan rumah dan musafir. Apatah lagi ada pihak yang melakukan amalan tertentu kononnya bagi menghindarkan musibah yang dikatakan turun pada penghujung bulan.
Kepercayaan seperti ini bukan daripada ajaran Islam, sebaliknya tinggalan kepercayaan masyarakat Arab jahiliah yang telah dibetulkan oleh Rasulullah SAW. Apabila datangnya bulan Safar, perkara yang paling utama bukanlah mencari amalan khusus, tetapi memperbaharu kefahaman tentang tauhid serta membebaskan diri daripada segala bentuk khurafat dan kepercayaan yang bercanggah dengan syariat.
Safar dalam Kalendar Islam
Safar ialah bulan kedua dalam takwim Hijrah selepas Muharam, dan merupakan satu daripada 12 bulan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Para ulama menyebut beberapa sebab bulan ini dinamakan sebagai Safar. Antaranya termasuklah pandangan Ibn Manzur (w. 711H) dalam Lisan al-‘Arab bahawa kota Makkah menjadi kosong apabila penduduknya keluar bermusafir. Selain itu, pendapat lain turut menyatakan bahawa masyarakat Arab dahulu keluar berperang menyerang kabilah lain, lalu meninggalkan orang yang ditemui dalam keadaan “kosong” daripada harta benda setelah mereka merampasnya sehingga tidak berbaki apa-apa.
Walau apa pun asal usul namanya, Islam tidak pernah mengaitkan bulan Safar dengan unsur keberkatan atau kesialan yang khusus. Bulan ini hanyalah satu daripada bulan Allah SWT yang berjalan mengikut ketentuan-Nya.
Warisan Jahiliah yang Dibetulkan Islam
Masyarakat Arab jahiliah mempunyai dua bentuk penyelewengan utama yang berkaitan dengan bulan Safar, iaitu:
Pertama: Memanipulasikan susunan bulan-bulan haram mengikut kepentingan mereka.
Allah SWT menjadikan setahun terdiri daripada 12 bulan. Daripada jumlah tersebut, Allah SWT menetapkan empat bulan sebagai bulan haram (bulan yang dimuliakan), iaitu Zulkaedah, Zulhijah, Muharam dan Rejab. Dalam bulan tersebut, Allah SWT mengharamkan peperangan sebagai tanda memuliakan kedudukan dan kehormatannya.
Hakikat ini ditegaskan dalam firman-Nya yang bermaksud, “Sesungguhnya, bilangan bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya).” (Surah al-Taubah 9:36).
Kaum musyrikin sememangnya mengetahui perkara tersebut. Namun begitu, mereka mengubah ketetapan itu mengikut hawa nafsu. Ada kalanya mereka menangguhkan bulan haram, dan ada kalanya mereka mengawalnya. Antaranya termasuklah mereka menjadikan bulan Safar sebagai ganti kepada bulan Muharam. Mereka juga beranggapan bahawa perbuatan mengerjakan umrah pada bulan haji merupakan amalan yang sangat keji.
Daripada Ibn ‘Abbas r.a., beliau berkata, “Masyarakat Arab jahiliah menganggap umrah pada bulan haji merupakan perbuatan yang sangat keji di muka bumi. Mereka juga menjadikan bulan Muharam sebagai Safar. Mereka berkata, ‘Apabila luka di belakang unta telah sembuh, kesannya telah hilang, dan bulan Safar telah berlalu, pada ketika itu, barulah umrah dibenarkan untuk sesiapa yang mahu mengerjakannya.’” (Hadis riwayat al-Bukhari, no. 1564; dan Muslim, no. 1240).
Perbuatan ini pada akhirnya ditegur oleh Allah SWT sebagai suatu bentuk penambahan dalam kekufuran kerana manusia cuba mengubah ketetapan syariat mengikut hawa nafsu.
Kedua: Mempercayai Safar ialah bulan malang dan membawa nasib buruk.
Kepercayaan sebegini begitu kuat sehingga mempengaruhi keputusan hidup. Mereka menangguhkan perjalanan, urusan perniagaan dan pelbagai aktiviti kerana bimbang akan ditimpa musibah.
Islam datang menghapuskan kepercayaan tersebut sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Tidak ada penyakit yang menular (dengan sendirinya), tidak ada kepercayaan sial (tiyarah), tidak ada kesialan burung hantu (hamah), dan tidak ada kesialan bulan Safar.” (Hadis riwayat al-Bukhari, no. 5707).
Manfaat dan Mudarat Hanya daripada Allah SWT
Satu asas yang penting dalam akidah Islam ialah keyakinan bahawa segala manfaat dan mudarat hanya berlaku dengan izin-Nya. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan jika Allah mengenakan engkau dengan sesuatu yang membahayakan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghapuskannya melainkan Dia; dan jika Dia menghendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghalangi limpah kurnia-Nya.” (Surah Yunus 10:107).
Oleh sebab itu, masa tidak mempunyai kuasa untuk menentukan nasib manusia. Bulan, hari atau tarikh tertentu tidak mampu membawa keberuntungan atau kesialan dengan sendirinya. Jika seseorang memperoleh nikmat pada bulan Safar, maka nikmat itu datang daripada Allah SWT. Jika dia ditimpa ujian pada bulan tersebut, maka ujian itu juga berlaku dengan ketentuan-Nya, bukan disebabkan oleh bulan Safar yang mempunyai kuasa tertentu.
Muhammad bin Saleh al-‘Uthaimin (1929–2001) dalam fatwanya menjelaskan bahawa zaman dan masa sama sekali tidak mempunyai pengaruh terhadap takdir. Semua kebaikan dan keburukan berlaku mengikut ketentuan Allah SWT. Oleh yang demikian, tindakan mengaitkan sesuatu bulan dengan kesialan merupakan bentuk kepercayaan yang bertentangan dengan kesempurnaan tauhid.
Bersambung…
Penulis merupakan Ketua Penyelidik Maktabah al-Bakri.