Diterbitkan pada 17 Julai 2026, 13:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kebenaran yang hakiki tidak diukur pada jumlah manusia yang melakukannya, tetapi sejauh mana perkara tersebut menepati petunjuk Allah SWT.

Pernahkah kita bertanya, mengapakah perbuatan dosa yang dilakukan pada hari ini semakin hilang rasa dalam hati pelakunya? Dahulu, manusia melakukan maksiat dalam keadaan malu dan bersembunyi. Apabila melakukan kesalahan, hati akan resah gelisah. Jiwa masih takut kepada pandangan Allah SWT.

Namun begitu, pada hari ini, suasananya semakin berubah. Perbuatan dosa bukan sahaja dilakukan secara terbuka, bahkan dipertontonkan kepada khalayak tanpa rasa segan. Maksiat menjadi hiburan, kelalaian menjadi kandungan media dan keterlanjuran pula merupakan perkara biasa.

Perbuatan yang dahulunya mengundang rasa malu, kini dianggap sebuah kebebasan; yang dahulunya ditegur sebagai dosa, kini dipertahankan atas nama hak peribadi; yang dahulunya membuatkan manusia menangis, kini tidak lagi mengusik jiwa. Kesemua luka ini amat membimbangkan. Bukan luka pada tubuh, tetapi luka pada hati yang perlahan-lahan hilang rasa takut kepada Allah SWT.

Allah SWT memberikan peringatan tentang keadaan tersebut menerusi firman-Nya:

Maksudnya: “Sebenarnya! (Ayat Kami itu tidak ada cacatnya) bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa), dengan sebab (perbuatan kufur dan maksiat) yang dikerjakan oleh mereka.”

(Surah al-Mutaffifin 83:14)

Ayat ini menjelaskan bahawa dosa yang dilakukan secara berterusan meninggalkan kesan pada hati manusia. Pada awalnya, hati masih berasa bersalah tatkala melakukan maksiat. Nasihat masih mampu menyentuh jiwa. Teguran masih mampu mengalirkan air mata. Walau bagaimanapun, apabila perbuatan dosa terus dilakukan tanpa taubat dan tanpa penyesalan, hati mula menjadi keras sedikit demi sedikit.

Hal ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW daripada Abu Hurairah r.a.:

Maksudnya: “Sesungguhnya seseorang hamba itu, apabila dia melakukan sesuatu kesalahan, akan dititikkan satu titik hitam pada hatinya. Apabila dia meninggalkan dosa, memohon ampun dan bertaubat, nescaya digilap hatinya. Sekiranya dia kembali mengulangi perbuatan dosa tersebut, nescaya ditambah titik hitam padanya sehingga menutupi hatinya, maka itulah al-ran (karat) yang disebut oleh Allah: … (Surah al-Mutaffifin 83:14).”

(Hadis riwayat al-Tirmizi, no. 3334)

Para ulama tafsir seperti Ibn Kathir (w. 774H) menjelaskan bahawa perkataan al-ran dalam ayat tersebut menggambarkan dosa yang menutupi hati seperti karat yang menyaluti besi. Semakin lama perbuatan dosa itu dibiarkan, semakin tebal titik hitam yang menutup hati sehingga hilang kepekaan terhadap kebenaran. Hati tidak akan mati secara drastik, tetapi perlahan-lahan menjadi gelap kerana dosa yang dibiasakan.

Perkara ini yang dimaksudkan oleh Allah SWT pada ayat sebelum ini. Oleh sebab itu, hal yang paling membimbangkan ialah dosa yang dilakukan sehingga hati menjadi keras dan tidak lagi takut kepada Allah SWT, lantas menjadi cabaran besar bagi masyarakat hari ini. Kita hidup dalam dunia yang penuh paparan dan pengaruh. Media sosial membuka ruang yang luas sehingga manusia melihat kemungkaran setiap hari tanpa sempadan.

Aurat dipertontonkan tanpa rasa malu. Fitnah dan cacian menjadi hiburan. Pergaulan melampaui batas dianggap kebiasaan. Dosa sebagai tontonan untuk meraih perhatian manusia. Ada golongan yang sanggup memperlihatkan maksiat demi populariti dan perhatian. Ukuran yang dicari bukan lagi reda Allah SWT, tetapi jumlah tontonan dan sokongan manusia.

Perkara yang lebih menyedihkan apabila manusia mula mencari alasan untuk membenarkan perbuatan dosa. Terdapat segelintir individu sanggup berkata, “Orang lain pun buat, kenapa aku tidak boleh?” Seolah-olah sesuatu kesalahan menjadi benar disebabkan oleh banyak orang yang melakukannya. Kebenaran yang hakiki tidak diukur pada jumlah manusia yang melakukannya, tetapi sejauh mana perkara tersebut menepati petunjuk Allah SWT.

Walau sebesar mana pun dosa seseorang manusia, pintu taubat tetap terbuka. Taubat bukan sekadar ucapan pada bibir, tetapi keberanian untuk kembali kepada Allah SWT sebelum hati menjadi keras. Kembali menjaga solat, menjaga pandangan dan menjaga batas dalam kehidupan. Hati yang benar-benar dekat dengan Allah SWT akan mencapai ketenangan hidup. Sebagai iktibar, umat Islam sewajarnya mengambil perhatian terhadap beberapa perkara yang berikut:

Pertama: Dosa yang dilakukan berulang kali menggelapkan hati dan menghilangkan sensitiviti terhadap maksiat.

Kedua: Normalisasi perbuatan dosa berlaku apabila manusia biasa melihat dan melakukan kemungkaran sehingga hilang rasa takut kepada Allah SWT.

Ketiga: Sentiasa bertaubat, banyakkan zikrullah dan penghayatan al-Quran merupakan jalan yang menyelamatkan hati menjadi keras dan jauh daripada Allah SWT.

Barangkali, pada hari ini, kita masih mampu menangis apabila mengingati dosa kita. Bersyukurlah kerana keadaan itu menandakan hati kita masih belum mati, tetapi takutlah apabila dosa tidak lagi mengusik jiwa. Takutlah apabila maksiat tidak lagi membuatkan kita malu kepada Allah SWT. Takutlah apabila hati sudah terlalu biasa dengan kelalaian sehingga tidak lagi terasa ingin kembali.


Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 17 Julai 2026, bertajuk “Normalisasi Dosa: Luka yang Tidak Lagi Terasa”.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi