Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPada satu pertiga malam yang terakhir, doa lebih hampir untuk dimakbulkan, permintaan lebih mudah untuk diperkenankan, dan dosa lebih senang untuk diampunkan.
Allah SWT menciptakan malam bukan sekadar waktu untuk manusia berehat setelah seharian bekerja, bahkan sebagai satu nikmat yang mengandungi pelbagai hikmah. Malam merupakan waktu tubuh memperoleh rehat, fikiran kembali tenang dan hati mengingati Allah SWT. Oleh itu, fenomena pergantian siang dan malam merupakan sebahagian daripada tanda kebesaran-Nya. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan Kami menjadikan malam (dengan gelapnya) sebagai pakaian (yang melindungi)? Dan Kami menjadikan siang (dengan cahaya terangnya) masa untuk mencari kehidupan (rezeki)?”
(Surah al-Naba’ 78:10–11)
Ayat ini menjelaskan bahawa Allah SWT menciptakan malam dengan hikmah yang besar untuk makhluk-Nya berehat dan mencari ketenangan. Allah SWT juga menggunakan ungkapan yang indah ketika bertanya dalam al-Quran, dengan maksud memuji orang yang beribadah pada waktu malam. Allah SWT berfirman:

Maksudnya: “(Kamukah yang lebih baik) atau adakah orang yang taat beribadat pada waktu malam dengan sujud dan berdiri kerana takut akan (azab) akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya? … .”
(Surah al-Zumar 39:9)
Perkataan ana’ al-layl berasal daripada perkataan ina atau ana yang bermaksud bahagian atau saat tertentu pada waktu malam. Menurut para mufasir seperti Imam al-Tabari (w. 310H), Imam al-Qurtubi (w. 671H) dan Ibn Kathir (w. 774H), ungkapan ini merangkumi waktu malam yang dihidupkan dengan ibadah, sama ada pada awal, pertengahan atau penghujung malam. Namun begitu, berdasarkan himpunan hadis sahih, para ulama berpendapat bahawa waktu yang paling afdal ialah sepertiga malam yang terakhir kerana Allah SWT membuka seluas-luasnya pintu doa, keampunan dan rahmat kepada hamba-Nya.
Tatkala suasana sunyi dan kebanyakan manusia sedang lena, sepertiga malam yang terakhir merupakan suatu saat yang penuh dengan keberkatan. Pada waktu ini, seseorang hamba disarankan untuk berdiri menghadap Allah SWT, bermunajat, memohon keampunan, mengadu segala kesusahan, serta mengharapkan rahmat dan kasih sayang-Nya. Ibadah pada waktu ini dikenali sebagai qiamullail yang merangkumi solat tahajud, solat witir, bacaan al-Quran, zikir dan istighfar. Allah SWT memuji hamba yang menghidupkan malam dengan ibadah sebagaimana firman-Nya:

Maksudnya: “Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja waktu malam mereka untuk tidur. Pada akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun).”
(Surah al-Zariyat 51:17–18)
Rasulullah SAW menjadikan qiamullail sebagai amalan yang konsisten dan tidak pernah meninggalkannya. Walaupun Baginda telah dijamin dengan keampunan dosa, Baginda tetap berdiri solat malam sehingga kedua-dua kakinya bengkak. Baginda ditanya oleh Sayidatina Aisyah r.a., “Wahai Rasulullah, mengapakah engkau melakukan hal ini sedangkan Allah telah mengampunkan dosamu yang lalu dan yang akan datang?” Baginda lantas bersabda:

Maksudnya: “Tidakkah aku patut menjadi seorang hamba yang banyak bersyukur?”
(Hadis riwayat al-Bukhari, no. 1130; dan Muslim, no. 2820).
Hadis tersebut mengajar kita bahawa qiamullail bukan sekadar untuk memohon keampunan, bahkan sebagai tanda kesyukuran atas segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Tuhan kita Yang Maha Berkat lagi Maha Tinggi turun (menurunkan rahmat dan keampunan-Nya) ke langit dunia pada setiap malam ketika berbaki sepertiga malam yang terakhir lalu berfirman, ‘Sesiapa yang berdoa kepada-Ku, maka Aku akan memperkenankannya; sesiapa yang meminta kepada-Ku, maka Aku akan memberinya; sesiapa yang memohon keampunan kepada-Ku, maka Aku akan mengampuninya.’”
(Hadis riwayat al-Bukhari, no. 1145; dan Muslim, no. 758)
Allah SWT menurunkan rahmat dan keampunan kepada hamba-Nya yang memohon dan meminta pada satu pertiga malam yang terakhir. Pada waktu itu, doa lebih hampir untuk dimakbulkan, permintaan lebih mudah untuk diperkenankan, dan dosa lebih senang untuk diampunkan.
Berdoalah kepada Allah SWT, berbicaralah dengan-Nya, mengadu segala masalah, ujian dan keperitan yang ditanggung. Sesungguhnya, Allah SWT Maha Mengetahui. Meskipun kita tidak bercerita, perbuatan mengadu kepada-Nya menunjukkan sifat pergantungan seorang hamba kepada Pencipta. Berbicara dengan Allah SWT pada sepertiga malam yang terakhir mendatangkan kesan kepada jiwa, merungkaikan kekusutan, menenangkan fikiran dan memberikan kekuatan untuk menghadapi kehidupan.
Qiamullail bukan hanya amalan para nabi dan orang soleh, sebaliknya menjadi sebab kemuliaan bagi seseorang mukmin. Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Jibril telah datang kepadaku lalu berkata, ‘Wahai Muhammad! … Dan ketahuilah bahawa kemuliaan seseorang mukmin itu adalah pada qiamullail, dan kehormatannya adalah pada ketidakbergantungannya kepada manusia.’”
(Hadis riwayat al-Hakim, no. 7921)
Oleh yang demikian, terdapat tiga perkara yang perlu diambil perhatian oleh umat Islam, iaitu:
Pertama: Mula membiasakan diri supaya bangun lebih awal sebelum waktu subuh.
Kedua: Dirikanlah sekurang-kurangnya dua rakaat solat tahajud dan satu rakaat solat witir. Latihan berterusan sedemikian akan menjadikan kita semakin kuat untuk menambah bilangan rakaatnya dengan khusyuk.
Ketiga: Banyakkan zikir, istighfar, tadabur al-Quran dan berdoa dengan penuh keikhlasan dan pengharapan.
Semoga Allah SWT menjadikan kita sebagai hamba-Nya yang sentiasa menghidupkan malam dengan ibadah, memperoleh rahmat, keampunan serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat.
Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 17 Julai 2026, bertajuk “Sepertiga Malam yang Terakhir: Saat Paling Hampir dengan Rahmat Allah”.