Diterbitkan pada 19 Julai 2026, 08:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Baca Bahagian 1.

Hakikat keberkatan atau ujian bukan bergantung pada nama sesuatu bulan atau hari tertentu, tetapi pada ketentuan Allah SWT dan sejauh mana manusia memanfaatkan masa tersebut untuk mentaati-Nya.

Bulan Safar sering kali diselubungi dengan pelbagai tanggapan negatif dan salah faham yang masih menebal dalam sesetengah masyarakat. Sejak zaman pra-Islam, bulan Islam kedua ini sinonim dengan stigma sebagai bulan malang atau bulan turunnya bala bencana.

Khurafat yang Masih Berlegar dalam Masyarakat

Walaupun Islam telah menghapuskan kepercayaan jahiliah sejak lebih 1400 tahun yang lalu, sebahagian daripada bentuknya masih muncul dalam wajah yang lain.

Antara amalan yang sering dikaitkan dengan bulan Safar termasuklah solat khas pada hari Rabu terakhir bulan Safar, perbuatan menulis ayat tertentu sebelum diletakkan dalam bekas air minuman untuk mengambil berkat, mandi Safar, upacara menolak bala dan kepercayaan terhadap hari tertentu dalam bulan Safar terjadinya sial.

Kesemua dakwaan ini tidak mempunyai sandaran yang sah daripada al-Quran mahupun sunah. Badan fatwa seperti al-Lajnah al-Da’imah menegaskan bahawa solat khas pada penghujung Safar merupakan amalan yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat, bahkan termasuk dalam bidaah mungkar yang wajib dijauhi.

Muhammad ‘Abd al-Salam al-Shuqayri (w. 1352H) dalam al-Sunan wa al-Mubtada‘at menyebutkan bahawa golongan jahil sudah terbiasa menulis ayat yang mengandungi lafaz salam seperti Surah al-Saffat ayat 79 yang bermaksud, “Salam sejahtera kepada Nabi Nuh dalam kalangan penduduk seluruh alam!” dan ayat yang seumpamanya pada hari Rabu terakhir bulan Safar. Kemudian, mereka meletakkannya di dalam bekas air, lalu meminum air tersebut untuk mengambil berkat daripadanya, serta saling menghadiahkannya kerana percaya bahawa amalan itu dapat menghilangkan segala keburukan dan bala. Hal seperti ini merupakan iktikad yang rosak, suatu bentuk anggapan sial yang tercela dan bidaah yang buruk. Oleh itu, setiap orang yang menyaksikan hal ini hendaklah mengingkari terhadap pelakunya.

Selain itu, jawatankuasa fatwa negeri di Malaysia seperti Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan dan Jabatan Mufti Sabah juga telah mengeluarkan fatwa atau penjelasan hukum berkenaan dengan mandi Safar dengan menyatakan bahawa perbuatan tersebut ialah warisan kepercayaan karut masyarakat Arab jahiliah dan bidaah yang tidak perlu diamalkan. Begitu juga dakwaan hari Rabu terakhir bulan Safar sebagai hari paling malang dalam setahun. Kepercayaan sedemikian hanyalah sangkaan tanpa asas yang membawa seseorang kepada pergantungan selain Allah SWT.

Safar Bulan Perjuangan, Bukan Bulan Malang

Ironinya, sirah Rasulullah SAW memperlihatkan pelbagai peristiwa penting dalam perkembangan dakwah Islam yang berlaku pada bulan Safar. Antaranya termasuklah:

  • Perang al-Abwa’ (Safar 2 Hijrah)

Perang ini dikenali sebagai Perang Waddan yang bertujuan untuk menyekat laluan kafilah dagang Quraisy Makkah. Ibn Qayyim al-Jawziyyah (w. 751H) dalam kitabnya, Zad al-Ma‘ad menjelaskan bahawa peristiwa itu merupakan ekspedisi ketenteraan pertama bawah pimpinan Rasulullah SAW selepas hijrah ke Madinah.

  • Tragedi al-Raji‘ (Safar 3 Hijrah)

Peristiwa ini bermula apabila beberapa kabilah Arab seperti ‘Udal dan al-Qarah meminta kepada Rasulullah SAW supaya dihantarkan guru untuk mengajarkan Islam kepada kaum tersebut. Lantas Baginda menghantar sekitar 10 orang sahabat. Tatkala para sahabat tiba di kawasan sumber air bernama al-Raji‘, mereka telah dikhianati dan diserang hendap oleh kira-kira 100 orang pemanah dari Bani Lihyan.

  • Tragedi Bi’r Ma‘unah (Safar 4 Hijrah)

Tragedi yang mengorbankan banyak pembaca al-Quran (al-qurra’). Atas permintaan seorang ketua kabilah bernama Abu Bara’ ‘Amir bin Malik yang berjanji akan memberikan perlindungan, Rasulullah SAW mengutus kira-kira 70 orang sahabat yang terdiri daripada pakar al-Quran untuk berdakwah di kawasan Najd. Setibanya di sebuah perigi bernama Bi’r Maʻunah, anak saudara Abu Bara’, iaitu ‘Amir bin al-Tufayl telah mengabaikan janji bapa saudaranya. Dia menghasut Bani Ri‘l, Zakwan, dan ‘Usayyah untuk mengepung dan membunuh kesemua 70 utusan tersebut. Peristiwa ini amat melukakan hati Rasulullah SAW sehingga Baginda mengamalkan doa qunut nazilah selama sebulan berturut-turut dalam solat fardu, memohon agar Allah SWT menimpakan balasan ke atas kabilah yang khianat tersebut.

  • Pembukaan Khaibar (Safar 7 Hijrah)

Ekspedisi ketenteraan ini bermula pada akhir Muharam berlanjutan sehingga umat Islam meraih kemenangan pada bulan Safar. Pasukan tentera Islam mengepung kubu kuat di Khaibar satu demi satu. Kemenangan ini sekali gus melumpuhkan ancaman terbesar dari arah utara Madinah dan memperkukuh kekuatan ekonomi, serta geopolitik negara Islam.

  • Ketibaan Rombongan Kabilah ‘Uzrah (Safar 9 Hijrah)

Tahun ke-9 Hijrah dikenali sebagai ‘Am al-Wufud (Tahun Rombongan). Selepas pembukaan kota Makkah, banyak kabilah Arab dari seluruh pelosok Semenanjung Tanah Arab datang ke Madinah secara sukarela untuk memeluk Islam. Pada bulan Safar, kabilah ‘Uzrah dari wilayah menghala ke Syam telah menghantar rombongan sebanyak 12 orang lelaki. Mereka disambut baik oleh Rasulullah SAW dan memeluk agama Islam selepas itu.

Sekiranya bulan Safar benar-benar membawa sial sebagaimana dakwaan masyarakat jahiliah, sudah tentu tidak banyak peristiwa besar yang berlaku padanya sepanjang sejarah Islam. Hakikat keberkatan atau ujian bukan bergantung pada nama sesuatu bulan atau hari tertentu, tetapi pada ketentuan Allah SWT dan sejauh mana manusia memanfaatkan masa tersebut untuk mentaati-Nya.

Berhati-hati terhadap Hadis Palsu

Setiap kali datang bulan Safar, pelbagai hadis palsu yang dikaitkan dengannya tersebar dalam masyarakat. Antara riwayat yang masyhur termasuklah ungkapan yang bermaksud, “Sesiapa yang memberikan khabar gembira kepadaku dengan berakhirnya bulan Safar, maka aku akan memberikan khabar gembira kepadanya dengan syurga.”

Ulama hadis seperti al-Mulla ‘Ali al-Qari  (w. 1014H) dalam al-Asrar al-Marfu‘ah fi al-Akhbar al-Maudu‘ah, al-‘Ajluni (w. 1162H) dalam Kashf al-Khafa’, al-Shawkani (w.1250H) dalam al-Fawa’id al-Majmu‘ah fi al-Ahadith al-Maudu‘ah, dan al-Saghani (w. 650H) dalam al-Maudu‘at menjelaskan bahawa riwayat tersebut palsu, tidak diketahui asalnya dan tidak boleh dinisbahkan kepada Rasulullah SAW.

Ibn Qayyim al-Jawziyyah dalam kitabnya, al-Manar al-Munif meletakkan satu kaedah penting untuk mengenal pasti kemungkinan hadis itu palsu. Menurut beliau, hal tersebut dapat dikesan apabila mana-mana hadis menetapkan tarikh tertentu bagi peristiwa yang kononnya akan berlaku pada masa hadapan seperti ungkapan “apabila tiba tahun sekian-sekian, akan berlaku peristiwa demikian dan demikian” atau “apabila tiba bulan sekian-sekian, akan berlaku peristiwa demikian dan demikian.”

Demikian juga kata seseorang yang amat besar pendustaannya seperti, “Apabila berlaku gerhana bulan pada bulan Muharam, maka akan berlaku kemarau, peperangan dan pemerintah akan sibuk dengan pelbagai urusan. Apabila gerhana berlaku pada bulan Safar, maka akan berlaku sekian dan sekian.” Pendusta itu terus mereka-reka ramalan yang sama bagi setiap bulan dalam setahun. Riwayat seumpama ini ialah hadis palsu yang dicipta.

Oleh itu, seseorang Muslim hendaklah sentiasa menyemak kesahihan sesuatu hadis sebelum menyebarkannya agar kecintaan kepada agama tidak dicemari dengan pembohongan atas nama Rasulullah SAW. Amat besar ancaman mereka yang berdusta atas nama Baginda sebagaimana dalam hadis mutawatir yang bermaksud, “Sesungguhnya, pendustaan terhadapku bukanlah seperti pendustaan terhadap orang lain. Sesiapa yang berdusta ke atasku secara sengaja, maka hendaklah dia bersiap untuk mengambil tempat duduknya dalam neraka.” (Hadis riwayat al-Bukhari, no. 1229; dan Muslim, no. 4).

Kedatangan bulan Safar seharusnya menjadi kesempatan buat kita menilai semula sejauh mana kemurnian tauhid dalam diri. Adakah kita benar-benar bergantung pada Allah SWT, atau masih dipengaruhi oleh kepercayaan bahawa masa, tarikh dan bulan tertentu mampu menentukan nasib kehidupan?

Islam mengajar kita bahawa setiap hari, setiap bulan dan setiap tahun merupakan makhluk ciptaan Allah SWT. Tiada satu pun daripadanya membawa sial atau memberikan berkat secara zat. Sebaliknya, kebahagiaan seseorang ditentukan oleh keimanan, ketakwaan dan amal soleh, bukan nama sesuatu bulan.

Dengan kehadiran bulan Safar, marilah kita meninggalkan segala bentuk khurafat, memperkukuh keyakinan kepada Allah SWT, dan menghidupkan sunah Rasulullah SAW dalam setiap aspek kehidupan. Hakikat pemurnian tauhid ini membebaskan manusia daripada segala bentuk kepercayaan yang bercanggah dengan syariat.


Penulis merupakan Ketua Penyelidik Maktabah al-Bakri.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi