Diterbitkan pada 4 Julai 2026, 11:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) mengumumkan pelantikan YBhg. Profesor Emeritus Dato’ Dr. Mohd Yusof Othman sebagai Pengerusi IKIM yang baharu, manakala YBhg. Profesor Dato’ Dr. Ashraf Md. Hashim sebagai Timbalan Pengerusi berkuat kuasa pada 18 Jun yang lalu.

Majlis penyampaian surat pelantikan daripada Perdana Menteri disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat Senator Dr. Zulkifli Hasan di Pejabat Menteri, Kompleks Islam Putrajaya pada Jumaat.

Ketua Pengarah IKIM, YBhg. Profesor Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil dalam satu kenyataannya berkata, pelantikan kedua-dua tokoh berkenaan dibuat berasaskan ketokohan, kewibawaan dan sumbangan besar mereka dalam bidang akademik, serta pembangunan pemikiran Islam di negara ini.

“Gandingan kepimpinan kedua-dua tokoh berkenaan diyakini mampu menerajui IKIM ke tahap yang lebih cemerlang, serta memperkukuh peranannya sebagai institusi pemikir yang mendukung agenda pembangunan ummah dan negara selaras dengan visi serta misi penubuhannya,” ujarnya.

YBhg. Profesor Emeritus Dr. Mohd Yusof merupakan tokoh akademik yang dikenali menerusi sumbangan beliau dalam bidang sains, tenaga boleh baharu, falsafah sains dan pemikiran Islam.

Beliau memperoleh Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Tenaga Solar dari Universiti Aston, United Kingdom, selain memiliki Ijazah Sarjana Sains dalam bidang Fizik dari Universiti London dan Ijazah Sarjana Muda Fizik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Sepanjang berkhidmat di UKM, beliau pernah memegang pelbagai jawatan penting termasuk Ketua Jabatan Fizik, Timbalan Dekan Fakulti Sains dan Teknologi, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi serta Pengarah Institut Islam Hadhari.

Tokoh Maal Hijrah 2006 itu aktif menyumbang kepada pembangunan dasar dan penyelidikan negara melalui pelbagai peranan strategik sebagai Ahli Panel Majlis Perunding Islam Jabatan Perdana Menteri, Pengerusi Panel Pakar Falsafah Sains dan Felo Akademi Sains Malaysia.

Sementara itu, pelantikan YBhg. Profesor Dato’ Dr. Ashraf sebagai Timbalan Pengerusi IKIM merupakan pengiktirafan terhadap kepakaran beliau dalam bidang syariah, kewangan Islam, tadbir urus serta pembangunan rangka kerja kawal selia pada peringkat nasional dan antarabangsa.

Beliau ketika ini menjawat jawatan profesor di Universiti INCEIF dan mempunyai pengalaman luas sebagai penasihat syariah pada peringkat antarabangsa, di samping memainkan peranan penting dalam pembangunan industri kewangan Islam melalui bidang akademik, penyelidikan, perundingan dan kepimpinan institusi.

YBhg. Profesor Dato’ Dr. Ashraf memiliki Ijazah Sarjana Muda Syariah dari Universiti Islam Madinah sebelum melanjutkan pengajiannya ke peringkat Sarjana dalam bidang Fiqh dan Usul Fiqh di Universiti Jordan.

Beliau kemudiannya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Undang-undang Islam dari Univeristi Birmingham, United Kingdom.

Dalam majlis yang sama, tiga orang ahli Lembaga Pengarah IKIM turut dilantik, iaitu YBhg. Datuk Haji Misnu Taha sebagai pelantikan semula, manakala YBrs. Tuan Haji Sakaria Samela dan YBrs. Profesor Madya Dr. Nur Izura Udzir sebagai pelantikan baharu.

Kredit Foto: IKIM
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi