Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyalurkan peruntukan berjumlah RM337,200 bagi membantu meringankan beban pelajar Pra-Universiti (Tingkatan Enam) sebagai persediaan melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
Sebanyak 281 orang pelajar daripada sembilan buah sekolah menengah di negeri itu terpilih sebagai penerima, dengan masing-masing menerima sumbangan tunai RM1,200 seorang.
SMK Syed Alwi mencatatkan jumlah penerima dan peruntukan yang tertinggi dengan jumlah RM97,200 kepada 81 orang pelajar, manakala SMK Tengku Suleiman menerima RM79,200 yang melibatkan 66 orang pelajar.
Ketua Pegawai Eksekitif MAIPs, YBrs. Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor berkata, tujuh buah sekolah lain yang turut menerima agihan bantuan berkenaan termasuklah SMK Syed Sirajuddin dengan jumlah RM43,200 (36 pelajar), SMK Putra dengan jumlah RM36,000 (30 pelajar), SMK (A) Arau dengan jumlah RM27,600 (23 pelajar), SMK Agama (P) Alawiyah Kangar dengan jumlah RM26,400 (22 pelajar), SMK Derma dengan jumlah RM12,000 (10 pelajar), SMK Perlis dengan jumlah RM9,600 (8 pelajar) dan SMK Syed Hassan dengan jumlah RM6,000 (5 pelajar).
Penyerahan sumbangan itu disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dalam Majlis Penyerahan Bantuan IPT Serta-Merta MAIPs untuk Pelajar Tingkatan Enam Tahun 2026 Sekolah-Sekolah Negeri Perlis di SMK Syed Alwi.
Yang turut berangkat sama ialah Waris Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra al-Haj Jamalullail.
Majlis tersebut dihadiri oleh Pengarah Pendidikan Negeri Perlis, YBrs. Encik Rose Aza Che Arifin, Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri (Sektor Pengurusan Sekolah), YBrs. Encik Badrul Azmi Abdul Rahman dan para pengetua sekolah yang terbabit.