Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKota Bharu – Pemikiran progresif dan keberanian mantan Imam Besar al-Azhar, Syeikh Mahmud Syaltut yang menongkah arus dalam reformasi institusi keagamaan dan penyatuan ummah terus diangkat sebagai rujukan penting bagi mendepani krisis dunia pada era pascamoden.
Menurut Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia, YBrs. Dr. Mujahid Bakar, tokoh berkenaan mencetuskan revolusi pendidikan di Universiti Al-Azhar pada pertengahan abad ke-20 menerusi penubuhan fakulti perubatan, kewajipan penguasaan bahasa asing, serta pembukaan institusi itu kepada penuntut wanita.
Menyingkap sisi reformis beliau dalam bidang epistemologi, Dr. Mujahid menyifatkan kefahaman Syeikh Syaltut jauh mendahului zamannya.
“Beliau mencerakin pemahaman terhadap hadis dengan membahagikan sunah kepada dua paksi utama, iaitu sunnah tasyriʻiyyah (perundangan) dan sunnah ghair tasyriʻiyyah (bukan perundangan),” katanya dalam program Kolokium Tokoh-Tokoh Ketamadunan Islam 2026 di Gelanggang Seni pada Ahad.
Beliau ketika membentangkan kertas kerja “Relevansi Pemikiran Syeikh Mahmud Syaltut dalam Penyatuan Akidah, Syariah dan Islah Sosial” menjelaskan bahawa tidak semua tindakan Rasulullah SAW mengikat umat Islam secara mutlak.
“Tindakan Baginda sebagai panglima perang, ketua negara atau dalam urusan perubatan tradisional termasuk dalam kategori sunnah ghair tasyriʻiyyah.
“Pendekatan ini memberikan sifat dinamik dan budi bicara pihak berkuasa untuk mengadaptasi dasar mengikut keperluan sosiopolitik semasa tanpa terikat dengan bentuk harfiah masa lampau,” ujarnya.
Tambah beliau, instrumen maqasid syariah yang digunakan oleh tokoh itu merungkai polemik yang melibatkan isu kemanusiaan, terutamanya perkara yang berhubung dengan hukuman murtad.
“Syeikh Syaltut membawa paradigma baharu.
“Hukuman berat tersebut sebenarnya disasarkan kepada pengkhianatan atau pemberontakan bersenjata terhadap kedaulatan negara,” ujarnya.
“Kupasan yang meletakkan isu tersebut di bawah bidang kuasa undang-undang jenayah awam (takzir) menunjukkan bahawa hukum Islam sememangnya selari dengan prinsip hak asasi manusia moden sejak sekian lama,” katanya lagi.
Kata beliau, kelonggaran fatwa Syeikh Syaltut berhubung dengan perancangan keluarga demi memelihara kualiti kesihatan ibu dan kestabilan ekonomi institusi kekeluargaan.
“Syeikh Syaltut sebagai arkitek perdamaian yang meruntuhkan sentimen kebencian antara aliran Sunni dengan Syiah menerusi gerakan taqrib bayn al-mazahib.
“Pada tahun 1958, Syeikh Syaltut mengambil risiko mengeluarkan fatwa yang mengiktiraf mazhab Syiah Imamiyyah, dan meletakkannya setaraf dengan empat mazhab Sunni yang lain,” ujar beliau.
Beliau berkata, polemik takfir atau budaya mengkafirkan di sisi Syeikh Syaltut merupakan barah yang melumpuhkan umat, dan perbezaan cabang fahaman tidak seharusnya menjadi asbab kepada pertumpahan darah.
Sementara itu, penganjuran kolokium oleh Gabungan Penulis Muda Negeri Kelantan (GEMA) dengan kerjasama Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kelantan dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur itu menjadi platform yang menterjemahkan kebijaksanaan masa lampau sebagai pelan tindakan untuk mendepani krisis era pascamoden.