Diterbitkan pada 21 Jun 2026, 15:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pemilihan Malaysia sebagai lokasi pembukaan siri Pameran Pasaran Pelancongan Antarabangsa Haji dan Umrah (HUITM) 2026 membuktikan pengiktirafan masyarakat antarabangsa terhadap kedudukan negara sebagai antara peneraju utama pelancongan Islam dan ekonomi halal global.

Majlis perasmian pameran tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Puan Marhamah Rosli di sebuah hotel terkemuka pada 18 Jun lalu.

HUITM 2026 yang dianjurkan bersama oleh Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) dan Persekutuan Umrah dan Haji ASEAN (AFUH) dilihat selari dengan agenda Tahun Melawat Malaysia 2026 untuk memperkenalkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan Islam berkualiti tinggi, di samping memperkukuh kedudukan negara sebagai hab pelancongan dan ekonomi halal yang berdaya saing pada peringkat antarabangsa.

Dalam ucapan perasmiannya, YB Senator Puan Marhamah berkata bahawa HUITM bukan sahaja berperanan memajukan industri pelancongan, malah turut menyumbang kepada pemerkasaan syariah dalam sektor berkenaan.

Menurut beliau, Malaysia terus dikenali sebagai destinasi mesra Muslim yang menggabungkan nilai Islam, profesionalisme, keselamatan dan inovasi hasil kerjasama erat antara kerajaan dengan sektor swasta, serta pelbagai pihak berkepentingan dalam membangunkan industri pelancongan Islam.

“Industri umrah perlu dilihat lebih daripada sekadar produk pelancongan kerana hal ini merupakan satu perjalanan spiritual yang membawa tanggungjawab besar terhadap umat Islam yang ingin menjadi tetamu Allah SWT.

“Aspek amanah, integriti dan ketelusan perlu terus menjadi keutamaan bagi memastikan jemaah umrah tidak menjadi mangsa penipuan, janji pakej yang tidak ditunaikan atau kerugian kewangan akibat pengurusan yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa semua pihak dalam industri perlu memastikan pengurusan pakej umrah, pelancongan dan urusan jual beli dilaksanakan secara jujur, serta beretika bagi mengekalkan kepercayaan masyarakat terhadap sektor tersebut.

“Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan, industri umrah perlu terus diperkukuh berasaskan prinsip amanah, integriti, serta perkhidmatan yang berpusatkan jemaah,” tambah beliau.

Selain itu, YB Senator Puan Marhamah turut menekankan kepentingan penggunaan teknologi digital dalam meningkatkan ketelusan, kecekapan dan kualiti perkhidmatan dalam sektor umrah, serta pelancongan Islam.

Menurut beliau, pendigitalan bukan lagi suatu pilihan, sebaliknya telah menjadi keperluan, khususnya dalam aspek tempahan pakej, pengurusan visa, pembayaran dan pemantauan perjalanan bagi mewujudkan ekosistem perkhidmatan yang lebih cekap dan telus.

Pada masa yang sama, beliau mengingatkan masyarakat agar memanfaatkan teknologi secara bijaksana supaya manusia terus mengawal perkembangan digital, bukannya dikuasai oleh teknologi.

“Teknologi perlu diurus dengan baik bagi memastikan agenda ekonomi dan pelancongan dapat dilaksanakan dengan lancar,” ujarnya.

Sementara itu, Duta Besar Luar Biasa dan Mutlak Republik Uzbekistan ke Malaysia, TYT Dr. Karomidin Gadoev memaklumkan bahawa Malaysia dipilih sebagai lokasi pertama pameran pelancongan Uzbekistan kerana negara ini mempunyai pengalaman luas dalam industri pelancongan, selain menerima jumlah pelancong antarabangsa yang melebihi jumlah penduduknya.

TYT Dr. Karomidin Gadoev semasa menyampaikan ucapan alu-aluan Pameran Pasaran Pelancongan Antarabangsa Haji dan Umrah (HUITM).

“Uzbekistan masih berada pada peringkat awal pembangunan sektor pelancongannya. Namun begitu, kami yakin negara ini memiliki potensi besar untuk berkembang sebagaimana yang telah dicapai oleh Malaysia. Kami juga berhasrat untuk berkongsi keunikan Uzbekistan dengan rakyat Malaysia,” katanya.

Tambah TYT Dr. Karomidin Gadoev, Uzbekistan menawarkan pelbagai produk pelancongan, termasuk pelancongan sejarah, warisan Islam, gastronomi dan musim sejuk. Antara destinasi utama yang menjadi tarikan termasuklah Samarkand, Bukhara, Khiva, Tashkent dan Termiz yang kaya dengan warisan tamadun, serta seni bina bersejarah.

Yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Presiden MATA dan AFUH, YBhg. Datuk Seri Dr. Mohd Khalid Harun; Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, YBhg. Dato’ Shaharuddin Abu Sohot, serta Timbalan Presiden MATA, YBhg. Dato’ Jeffri Sulaiman.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi