Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya — Peristiwa Hijrah bukan sekadar catatan sejarah perpindahan lokasi, tetapi merupakan pemangkin kepada pembentukan peradaban manusia yang paling agung dan inklusif.
Perkara itu ditegaskan oleh Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 1448H/2026M, YBhg. Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar, menerusi Syarahan Perdana bertajuk “MADANI Nabawi: Mesej Peradaban daripada Peristiwa Hijrah” yang disampaikan di Auditorium Kompleks Islam Putrajaya, hari ini.
Menurut beliau, hijrah membuka fasa baharu dalam kerjaya kenabian yang membawa kepada transformasi kota Yathrib menjadi al-Madinah atau Kota Sempurna.
Beliau menjelaskan bahawa penukaran nama tersebut merupakan suatu tindakan strategik bagi membina identiti masyarakat yang berasaskan wahyu ilahi dan bebas daripada unsur jahiliah.
YBhg. Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman yang juga Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, konsep MADANI yang diasaskan oleh Rasulullah SAW menampilkan masyarakat yang memiliki ciri terpuji, serta mengutamakan keharmonian sosial melalui Piagam Madinah.
“Islam ingin berkongsi hikmah kepelbagaian manusiawi dengan seluruh umat manusia.
“Kemuliaan seseorang tidak terletak pada warna kulit atau keturunan, tetapi pada takwa dan akhlaknya,” ujar beliau.
Beliau turut menghuraikan tiga kemenangan besar yang lahir daripada peristiwa hijrah, iaitu Pembukaan Kota Makkah (Fath al-Makkah), penzahiran Islam sebagai cara hidup yang sempurna, dan pengukuhan kepimpinan Nabi Muhammad SAW sebagai pemimpin paling berpengaruh di dunia.
Menurutnya, peristiwa Pembukaan Kota Makkah menjadi piawai nabawi dalam politik kerana berjaya dicapai secara aman tanpa pertumpahan darah.
Katanya, kejayaan tersebut sekali gus menonjolkan Islam sebagai agama yang mendukung keamanan dan kedamaian sejagat.
Semalam, YBhg. Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan bagi tahun 1448H bersamaan 2026M.
Pengiktirafan itu diberikan atas sumbangan besar beliau dalam bidang falsafah, sains dan ketamadunan Islam, serta peranannya sebagai antara tokoh Muslim paling berpengaruh pada peringkat global.
Syarahan Perdana tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk mengarusperdanakan pemikiran tokoh ilmuwan sebagai panduan bagi membangunkan masyarakat MADANI di Malaysia dan peringkat antarabangsa.