Diterbitkan pada 19 Jun 2026, 12:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar – Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menyeru rakyat agar melaksanakan amanah dengan penuh keikhlasan dan menjadikan pekerjaan sebagai ibadah, serta menjauhi segala bentuk penyelewengan.

Titah DYMM Tuanku Syed Sirajuddin, sesebuah negeri hanya akan benar-benar maju apabila rakvatnva berilmu, berintegriti, beradab dan bersatu padu.

“Kemajuan MADANI yang hakiki bukan hanya diukur melalui pembangunan fizikal, tetapi juga melalui ketinggian ilmu, kemuliaan adab, kekuatan budaya, kematangan pemikiran dan keutuhan nilai masyarakat.

“Hayatilah nilai-nilai MADANI dalam kehidupan seharian, perkukuh perpaduan, tingkatkan ilmu, pelihara adab, dan laksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab,” titah baginda semasa berkenan menyempurnakan perasmian Majlis Maal Hijrah 1448H/2026M peringkat negeri di Dewan 2020, Kangar, semalam.

Mengiringi baginda ialah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut berangkat bersama-sama dengan baginda berdua, Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Yang Amat Mulia (YAM) Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail, YAM Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan YAM Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail; Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail; dan Waris Yang Kedua Negeri Perlis, YAM Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail ketika Majlis Maal Hijrah 1448H/2026M peringkat negeri di Dewan 2020, Kangar, semalam.

Selain itu, DYMM Tuanku Syed Sirajuddin bertitah bahawa kefahaman Islam yang sahih berpandukan al-Quran dan sunah perlu diperkukuh, manakala budaya politik matang dan beradab mesti dipelihara, serta rakyat diperkasakan agar lebih berdikari dan berdaya saing.

“Pembangunan ummah hendaklah terus menjadi keutamaan yang meliputi aspek agama, politik, ekonomi dan sosial.

“Sikap berani, bijak dan berdikari perlu diterapkan sebagai jati diri rakyat Perlis agar kita mampu membina masa depan yang lebih baik untuk generasi akan datang,” titah baginda.

Raja Perlis bertitah, rakyat perlu bersedia mendepani cabaran semasa seperti perkembangan teknologi, kecerdasan buatan, serta perubahan sosial dan ekonomi global; bukan sekadar menjadi pemerhati, sebaliknya sebagai pencetus idea, peneraju perubahan dan penyumbang kepada kemajuan.

Pada majlis tersebut, DYMM Tuanku Syed Sirajuddin berkenan menyampaikan pengurniaan Tokoh Maal Hijrah bagi negeri Perlis kepada Ahli Lembaga Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP), YBhg. Datuk Izham Mahmud.

Kredit Foto: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi