Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangHulu Langat – Karnival Agensi Islam Selangor 2026 (KAI.Sel26) mencatatkan nilai transaksi jualan sebanyak RM2.1 juta dengan kehadiran lebih daripada 25 000 orang pengunjung sepanjang penganjurannya di tiga zon bagi seluruh kawasan negeri itu.
Menurut Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Negeri Selangor, Yang Berhormat Dr. Mohammad Fahmi Ngah, jumlah nilai transaksi tersebut merangkumi jualan rumah dan kereta oleh pihak pempamer yang terlibat dalam karnival itu.
“Pencapaian ini membuktikan bahawa sambutan amat menggalakkan daripada masyarakat terhadap program yang menggabungkan pelbagai pengisian keagamaan bersama-sama dengan Jelajah Pengurusan Halal Selangor,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Penutup KAI.Sel26 Zon 3 di Masjid Jamek As-Solihin, Kanchong Darat pada Ahad.
Tambah beliau, penganjuran KAI.Sel26 memperlihatkan program berteraskan dakwah dan penyampaian perkhidmatan kerajaan mampu mendapat tempat di hati masyarakat apabila dilaksanakan secara menyeluruh berkonsepkan pendekatan mesra rakyat.
Jelas beliau lagi, karnival itu bukan sekadar menjadi platform pendedahan mengenai peranan agensi Islam negeri kepada masyarakat, malah meningkatkan kefahaman tentang pelbagai perkhidmatan, inisiatif dan pengurusan halal yang disediakan kepada rakyat.
Berikutan kejayaan cemerlang penganjurannya di tiga zon sebelum ini, beliau turut memaklumkan bahawa inisiatif penganjuran karnival tersebut akan diperluas ke beberapa buah daerah lain pada masa hadapan.
Untuk rekod, karnival anjuran Pejabat Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Negeri Selangor yang diselaraskan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ini menjadi inisiatif strategik yang menghimpunkan pelbagai agensi Islam negeri bagi menyalurkan penerangan perkhidmatan, di samping memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap pengurusan hal ehwal Islam.