Diterbitkan pada 8 Julai 2026, 13:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Shah Alam – Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj tidak memberikan perkenan untuk mana-mana surau atau musala di pusat beli-belah di seluruh negeri itu diberikan kebenaran bagi mendirikan solat Jumaat buat masa ini.

Menurut Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), YBhg. Senator Dato’ Setia Haji Salehuddin Saidin menerusi satu kenyataannya hari ini, ketetapan berkenaan selaras dengan kuasa prerogatif baginda dalam hal ehwal pentadbiran agama Islam.

Beliau berkata, pelaksanaan solat Jumaat di pusat komersial dikhuatiri menjejaskan usaha mengimarahkan institusi masjid sebagai pusat ibadat utama umat Islam.

“Perkara ini diketatkan kerana situasi tersebut menyebabkan jumlah jemaah di masjid serta surau solat Jumaat sedia ada menyusut kerana umat Islam mempunyai pilihan lain di pusat beli-belah,” ujar beliau.

Katanya, berdasarkan statistik semasa, negeri itu ketika ini mempunyai sebanyak 448 buah masjid dan 379 buah surau yang diberikan kebenaran rasmi bagi mendirikan solat Jumaat.

“Jumlah ini menunjukkan bahawa masjid dan surau yang dibenarkan solat Jumaat mencukupi, serta mampu menampung jumlah umat Islam sedia ada bagi mendirikan solat Jumaat di Selangor,” jelas kenyataan tersebut.

Tegas beliau, ibadah solat Jumaat lebih sesuai dilaksanakan di institusi yang khusus dibina untuk beribadat, berbanding dengan surau dan musala di pusat beli-belah yang kelazimannya dikaitkan dengan aktiviti perniagaan, hiburan dan rekreasi.

Menyentuh tentang kekangan masa pekerja Muslim, beliau menyifatkan tempoh rehat yang diperuntukkan didapati sudah mencukupi untuk mereka bergerak ke masjid atau surau solat Jumaat yang terletak di kawasan berhampiran.

Sementara itu, bagi tujuan kebenaran tersebut, beliau memaklumkan bahawa MAIS perlu mengambil perhatian terhadap aspek pelantikan imam, bilal dan barisan petugas surau agar menepati segala peraturan dan dasar yang ditetapkan.

Ujar beliau, sekiranya petugas tersebut tidak dilantik oleh MAIS, hal itu akan mencetuskan kesukaran dari aspek pemantauan terutamanya bagi memastikan keseragaman teks pembacaan khutbah Jumaat yang disediakan oleh pihak MAIS.

Walau bagaimanapun, jelasnya, kelonggaran yang diberikan kepada sebuah surau pusat beli-belah di Selangor pada masa ini bersifat sementara berikutan ketiadaan kemudahan masjid yang berdekatan dengan premis terbabit.

Katanya lagi, kebenaran tersebut akan ditarik balik sekiranya terdapat pembinaan masjid baharu di kawasan berkenaan yang mampu menampung kapasiti penduduk setempat.

Selaras dengan ketetapan DYMM Sultan Selangor, MAIS menyeru seluruh umat Islam di negeri itu supaya terus mengimarahkan masjid dan surau agar institusi berkenaan menjadi pusat perpaduan umat Islam.

Dalam pada itu, pihak berkuasa agama tersebut mengambil maklum pendirian Kerajaan Persekutuan menerusi kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat (YB) Senator Dr. Zulkifli Hasan berhubung dengan cadangan mewujudkan surau solat Jumaat di pusat beli-belah seluruh negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi