Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Kubu Bharu – Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) melakar sejarah tersendiri apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Kolaborasi Terbaik 2026 oleh Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Pengiktirafan berprestij itu diumumkan bersempena dengan Istiadat Konvokesyen Darul Quran JAKIM Kali Ke-34 yang berlangsung di Dewan Muktamar Darul Quran, pada 4 Julai lalu.
“Penganugerahan tersebut merupakan satu bentuk manifestasi penghargaan terhadap komitmen jitu dan kecemerlangan PSA dalam menjayakan Program Pensijilan Tahfiz Darul Quran JAKIM.
“Pencapaian ini sekali gus membuktikan keberkesanan model Techno-Huffaz yang digagaskan oleh PSA bagi melahirkan graduan yang cemerlang dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dan pengajian tahfiz,” kata PSA menerusi hantaran Facebook, semalam.

Majlis istiadat konvokesyen tersebut disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat (YB) Senator Dr. Zulkifli Hasan.
Majlis yang sama turut menyaksikan sebanyak 11 orang pelajar Techno-Huffaz dari PSA berjaya menamatkan pengajian dan menerima sijil masing-masing.
Mereka diraikan bersama-sama dengan barisan graduan Darul Quran dan pelajar Program Pensijilan Tahfiz dari pelbagai IPT jaringan kolaborasi di seluruh negara.
“Semoga pengiktirafan ini menjadi pemangkin kepada PSA untuk terus memperkasakan pembangunan ummah,” ujar PSA.