Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – Sebanyak 600 orang murid dan warga pendidik Perlis berhimpun bagi mendalami dan memperkukuh penghayatan adab menerusi penganjuran Majlis Bicara Ilmu Generasi MADANI: Adab Seorang Muslim, di Surau Al-Irfan, Sekolah Menengah Agama (SMA) Al-Madrasah Al-Alawiyah Ad-Diniah, semalam.
Program kerohanian anjuran Bahagian Pendidikan Islam (BPI), Kementerian Pendidikan (KPM) bersama-sama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis itu meletakkan fokus utama terhadap kepentingan adab sebagai teras pembentukan peribadi Muslim yang unggul, meliputi aspek hubungan dengan Allah SWT, ibu bapa, guru dan masyarakat.

Pensyarah Kanan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), YBrs. Profesor Madya Dr. Mohamad Haeqal Ishak yang diundang sebagai penceramah utama menegaskan bahawa pencapaian akademik semata-mata tidak memadai tanpa adab yang baik.
“Kecemerlangan ilmu hendaklah sentiasa disertai dengan kemuliaan akhlak bagi melahirkan generasi yang berintegriti, berpekerti luhur dan mampu menjadi contoh kepada masyarakat,” katanya.
Menelusuri perkaitan antara ilmu dengan peradaban, YBrs. Dr. Mohamad Haeqal menyatakan bahawa kejayaan pembinaan sesebuah ketamadunan wajib bertitik tolak daripada penguasaan ilmu.
“Sesebuah bangsa itu tidak akan mencapai tahap peradaban atau tamadun yang sebenar sehinggalah mereka mempunyai adab.
“Untuk membina ketamadunan yang berkualiti, sesebuah bangsa perlulah bermula dengan ilmu,” ujarnya.
Mengakhiri ceramahnya, beliau sempat menitipkan pesanan bermakna kepada para pelajar agar terus menuntut ilmu dengan bersungguh-sungguh umpama menanam benih pepohon yang utuh.
“Belajarlah serajin yang boleh, ibarat benih yang ditanam sedalam-dalamnya sehingga tidak bergoyang walau ditiup angin kencang.
“Itulah metafora ketahanan diri adik-adik yang mampu mendepani pelbagai cabaran pada masa hadapan apabila dipasak dengan kekuatan ilmu,” katanya lagi.
Sementara itu, BPI KPM menerusi kenyataan rasminya menyifatkan program tersebut sebagai platform penting yang menterjemahkan aspirasi Malaysia MADANI bagi melahirkan generasi berakhlak terpuji.
“Melalui penghayatan nilai murni berteraskan ajaran Islam, murid diharapkan dapat membina jati diri yang kukuh, berakhlak mulia, serta bersedia menjadi generasi pemimpin masa hadapan yang mampu menyumbang kepada pembangunan agama, bangsa dan negara,” menurut kenyataan itu.
Hadir sama memeriahkan majlis ilmu tersebut ialah Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid JPN Perlis, YBrs. Encik Hamidi Md Saad dan Penolong Pengarah Sektor Pembangunan Program Adab dan Nilai BPI KPM, YBrs. Encik Muhammad Emre Abdul Razak.