Diterbitkan pada 9 Julai 2026, 09:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Nilai – Sekumpulan mahasiswa dari Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengaplikasikan pendekatan gamifikasi interaktif bagi mendidik masyarakat, terutamanya golongan muda tentang kaedah membaca al-Quran berdasarkan disiplin ilmu tajwid.

Pelaksanaan pendekatan tersebut menerusi “Misi Iqra’” dalam penganjuran Bengkel Pemantapan Bacaan al-Quran adalah untuk memberikan nafas baharu terhadap metodologi pendidikan al-Quran agar kekal relevan dan dapat disampaikan secara kreatif mengikut peredaran zaman.

Program yang berlangsung pada Rabu di Akademi al-Ghazali itu melibatkan penyertaan sebanyak 35 orang peserta dengan matlamat memperkenalkan kaedah pembelajaran tajwid yang berfokus, mudah dan praktikal kepada komuniti.

Bagi memperbaharu kaedah pembelajaran konvensional yang tertumpu pada gaya pendengaran pasif, para peserta diuji secara dinamik melalui pelbagai aktiviti.

Antaranya termasuklah kuiz tajwid berasaskan aplikasi permainan digital, ujian pengecaman hukum tajwid menerusi audio, pembetulan kesalahan tajwid, serta penyambungan bacaan al-Quran secara bergilir-gilir.

Selain itu, tahap kecekapan peserta turut diuji menerusi pencarian contoh hukum tajwid dalam al-Quran, di samping penyusunan keratan ayat suci al-Quran.

Dalam pada itu, penganjuran program ini sebagai serampang dua mata bagi menterjemahkan cetusan idea daripada kursus pembelajaran mahasiswa di universiti kepada bentuk khidmat bakti masyarakat.

Usaha kreatif para mahasiswa tersebut menerima reaksi positif daripada Guru Diniyah merangkap Ketua Unit Tarbiah akademi berkenaan, Muhammad Ilyas Rosli yang menyifatkannya sebagai sebuah program bermanfaat buat para peserta.

“Saya amat menyokong usaha murni ini kerana penganjurannya mampu memupuk kecintaan yang mendalam terhadap al-Quran sebagai kalamullah yang suci.

“Suka untuk saya mengingatkan bahawa hukum membaca al-Quran dengan tajwid yang betul adalah wajib dan merupakan fardu ain bagi setiap Muslim,” ujarnya.

“Selain memastikan bacaan yang tepat, al-Quran mesti sentiasa dihayati dan dijadikan sebagai panduan utama dalam perjalanan kehidupan,” katanya lagi.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi