Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangJengka – Masjid At-Taqwa Felda Triang 3 melakar kejayaan yang membanggakan apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Kecemerlangan Rancangan FELDA bagi kategori Anugerah Masjid Cemerlang bersempena dengan Sambutan Hari Pembangunan Luar Bandar Sedunia 2026 di Stadium Tun Abdul Razak pada Isnin.
Penyampaian anugerah tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Yang Berhormat Datuk Hajah Rubiah Wang.
Sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan yang dicapai, masjid berkenaan menerima hadiah wang tunai berjumlah RM10,000 berserta plak dan sijil penghargaan.
Setiausaha Masjid At-Taqwa, Mohd Shukri Hussin berkata, kejayaan tersebut merupakan hasil usaha kolektif yang lahir daripada semangat kebersamaan, keikhlasan dan komitmen padu semua pihak yang memakmurkan institusi itu.
“Anugerah ini bukan milik individu atau jawatankuasa semata-mata, tetapi milik seluruh warga kariah, para penyumbang, sukarelawan dan semua pihak yang sentiasa menyokong setiap usaha pengimarahan Masjid At-Taqwa.
“Kejayaan ini pastinya menjadi pemangkin untuk kita terus memperkukuh peranan masjid sebagai pusat ibadah, ilmu, kebajikan dan pembangunan masyarakat,” katanya.
“Pengiktirafan ini juga merupakan amanah buat jawatankuasa masjid untuk terus memperkasakan pengimarahan dan memberikan manfaat yang lebih besar kepada agama, masyarakat, FELDA dan negara,” ujar beliau.
Menurut beliau, penganugerahan tersebut amat bermakna memandangkan pencapaiannya diperoleh ketika FELDA menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-70, sekali gus mengharumkan bukan sahaja nama FELDA Triang 3, malah FELDA Wilayah Mempaga, daerah Bera dan negeri Pahang di persada kebangsaan.
Sementara itu, Anugerah Masjid Cemerlang merupakan anugerah khas yang diberikan kepada masjid yang mempamerkan kepimpinan unggul dalam usaha mengimarahkannya, membimbing masyarakat, menyampaikan dakwah, memupuk perpaduan, serta menjadi teladan menerusi akhlak, keilmuan dan khidmat bakti kepada komuniti.