Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – “Kebijaksanaan kecerdasan buatan (AI) diakui belum mampu menandingi kepakaran dan ketelitian manusia, khususnya dalam memahami nuansa serta kehalusan sistem ejaan Jawi bahasa Melayu.”
Perkara itu ditegaskan oleh Ketua Bahagian Perkamusan DBP, Tuan Haji Mohd Riduwan Wahab dalam sesi perkongsian “Bijak Jawi Bersama-sama Munsyi Dewan (Jawi)” bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 yang berlangsung di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, petang tadi.
Menurut beliau, meskipun teknologi AI seperti aplikasi Gemini digunakan secara meluas sebagai rujukan pantas, sistem tersebut masih menunjukkan kelemahan dan melakukan kesilapan apabila melibatkan formula serta hukum penulisan Jawi yang kompleks.
“Dalam persoalan Jawi ini, saya cuba menyediakan slaid dengan bantuan Gemini, tetapi kita perlu mengakui bahawa AI masih tidak dapat menandingi kehebatan manusia. Kesilapan sengaja ditinggalkan dalam slaid hari ini untuk membuktikan bahawa kebijaksanaan AI ada hadnya, terutamanya dalam aspek ejaan Jawi,” jelas beliau.
Dalam pembentangan tersebut, tiga prinsip asas sistem ejaan Jawi moden telah diperincikan bagi memberikan kefahaman yang jelas kepada para penulis dan pendidik, iaitu mengekalkan ejaan tradisi warisan Pendeta Za‘ba tanpa huruf vokal (huruf saksi) untuk perkataan tertentu, contohnya jika dan lima; menggunakan huruf saksi sekiranya wujud kesamaran pada sebutan bagi mengelakkan kekeliruan makna; dan ejaan yang diguna pakai mestilah ejaan yang biasa dan tekal digunakan oleh para guru serta penulis Melayu secara menyeluruh.

Beliau turut berkongsi tentang peranan dinamik 37 huruf asas Jawi, termasuklah dua huruf khusus serapan Arab, iaitu ta marbutah dan alif maqsurah serta menjelaskan keunikan huruf wau dan ya yang memiliki dwifungsi sebagai huruf konsonan dan vokal.
Para peserta turut didedahkan dengan formula praktikal dalam menentukan sama ada sesuatu perkataan perlu diakhiri dengan huruf alif atau tidak melalui dua hukum utama, iaitu Hukum Darlung yang melibatkan perkataan dua suku kata asli bahasa Melayu yang berbunyi “A-A” seperti dada, bara, sawa dan nganga. Sekiranya suku kata akhir bermula dengan satu daripada lima huruf konsonan, iaitu dal, ra, lam, wau atau nga, huruf alif wajib ditulis di hujung perkataan.
Sementara itu, Hukum Kaga berlaku pada kata asli bahasa Melayu yang berakhir dengan suku kata berbunyi “ka” atau “ga” seperti baka, reka, tiga dan duga. Bagi kes ini, huruf alif di akhir suku kata tidak perlu ditulis (dieja dengan huruf kaf atau ga sahaja di hujung), tanpa mengira vokal pada suku kata pertama.
Bagi memeriahkan lagi suasana, majlis turut diserikan dengan aktiviti permainan kuiz interaktif menggunakan aplikasi Kahoot yang dibuka kepada penonton yang hadir. Slot santai tersebut berjaya menguji kefahaman spontan para peserta mengenai hukum dan formula ejaan Jawi yang baru dipelajari.
