Diterbitkan pada 6 Jun 2026, 21:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) merancang untuk menubuhkan Majlis Penerbitan Buku Agama Malaysia sebagai platform penyelarasan dan pemerkasaan industri penerbitan buku agama negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, penubuhan majlis tersebut dicadangkan bagi memastikan pembangunan penerbitan buku agama dapat dilaksanakan secara lebih tersusun, sistematik dan strategik.

Beliau mengumumkan perkara itu ketika merasmikan Majlis Pelancaran Buku Siri Penghayatan Hadis 40 Imam Al-Nawawi dan Prapelancaran Siri Bawal Generasi Bestari anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026, hari ini.

Menurut beliau, permintaan terhadap buku agama di negara ini semakin meningkat, namun usaha penerbitan memerlukan penyelarasan yang lebih menyeluruh bagi mengelakkan pertindihan kandungan serta mengenal pasti bidang yang masih memerlukan penerbitan berkualiti.

“Kita sedang menggerakkan usaha untuk menubuhkan Majlis Penerbitan Buku Agama Malaysia. Kita melihat perlunya satu platform yang membolehkan semua pihak duduk bersama-sama bagi membincangkan hala tuju penerbitan buku agama negara,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa majlis tersebut bakal berperanan untuk menyelaraskan, menyeragamkan dan mengkoordinasikan penerbitan buku agama di samping menjalankan kajian bagi mengenal pasti keperluan semasa masyarakat terhadap bahan bacaan berteraskan agama.

Menurut beliau, 14 agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bersedia untuk memainkan peranan dalam menyusun gerak kerja tersebut.

Katanya, beberapa institusi utama termasuk DBP, penerbit universiti dan agensi berkaitan akan dijemput menyertai inisiatif tersebut.

“Sudah tiba masanya kita mempunyai pemetaan yang jelas terhadap penerbitan buku agama di negara ini supaya usaha yang dilakukan lebih berkesan dan memberikan impak yang besar kepada masyarakat,” katanya.

Selain memperkukuh penerbitan tempatan, beliau turut menyuarakan hasrat untuk memperluas pengaruh karya Islam Malaysia ke peringkat antarabangsa.

Menurut beliau, banyak negara Islam menunjukkan minat terhadap karya yang dihasilkan di Malaysia kerana pendekatan Islam yang sederhana, progresif dan berteraskan rahmah yang diketengahkan menerusi penerbitan tempatan.

“Saya didatangi oleh ramai duta negara Islam yang berminat untuk membawa dan menterjemahkan karya kita ke negara mereka, termasuk Pakistan dan Türkiye. Perkara ini menunjukkan bahawa Malaysia mempunyai kekuatan dari segi penghasilan karya yang bermutu tinggi,” katanya.

Beliau berkata, usaha memperluas pasaran antarabangsa bukan sahaja mampu memperkenalkan pemikiran Islam Malaysia kepada dunia, malah dapat mengangkat industri penerbitan negara ke tahap yang lebih tinggi.

Tambah beliau, buku agama merupakan medium penting dalam membentuk pemikiran, sahsiah dan nilai masyarakat, bermula daripada peringkat kanak-kanak sehingga dewasa.

Sehubungan dengan itu, beliau berharap penubuhan Majlis Penerbitan Buku Agama Malaysia dapat menjadi pemangkin kepada penghasilan lebih banyak karya agama yang berkualiti, relevan dan berimpak tinggi untuk manfaat masyarakat serta pembangunan negara.

Kredit Foto: Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi