Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangAidiladha merupakan musim muhasabah untuk melihat diri sendiri. Mungkin selama ini kita terlalu sibuk mencari binatang untuk disembelih, sedangkan Allah SWT menunggu kita menyembelih kesombongan, ketamakan dan kebergantungan yang berlebihan kepada dunia.
Setiap kali Aidiladha menjelang, masyarakat Islam pasti akan kembali berbicara tentang ibadah korban. Perbincangan ini kelazimannya berkisar tentang hukum-hakam, syarat sah sembelihan, pembahagian daging, harga binatang korban mahupun asnaf yang layak menerimanya. Semua perkara itu penting, namun kita sering kali terlupa bahawa hakikat korban bermula daripada keputusan hati yang tunduk kepada Allah SWT.
Kisah kehidupan Nabi Ibrahim a.s., Siti Hajar dan Nabi Ismail a.s. bukan sekadar sejarah ritual yang diulang pada saban tahun, tetapi penceritaannya mencerminkan sebuah wacana besar tentang makna pengorbanan, keutamaan hidup, struktur kekeluargaan dan hubungan manusia dengan Tuhan. Jika kita menelitinya, kisah ini barangkali sedikit sebanyak memberikan kesan kepada emosi manusia tentang tatkala sesuatu yang paling kita cintai mula diuji kedudukannya.
Manusia mungkin boleh mengaku bahawa mereka mencintai Allah SWT, tetapi ukuran sebenarnya bukan terletak pada ucapan yang mudah dilafazkan. Nilai cinta benar-benar teruji apabila berlaku pertembungan antara kehendak Tuhan dengan kehendak diri. Pada saat itu, manusia akan mengetahui sama ada suruhan Allah SWT benar-benar diletakkan di tempat yang tertinggi, atau sekadar sebutan ketika senang dan dilupakan ketika sukar.
Pengorbanan Bermula Sebelum Hari Korban
Nabi Ibrahim a.s. bukan diuji sekali, tetapi sepanjang hidupnya. Sebelum perintah penyembelihan Nabi Ismail a.s. berlaku, baginda telah berhadapan dengan pelbagai mehnah yang membentuk jiwa dan keteguhan imannya. Baginda pernah ditentang oleh ayahnya sendiri lantaran menolak penyembahan berhala, sebelum dihumban ke dalam api kerana bertegas mempertahankan tauhid sehingga terpaksa berhijrah meninggalkan tanah kelahirannya.
Selain itu, Nabi Ibrahim a.s. juga diuji dengan kehidupan tanpa zuriat selama bertahun-tahun. Bagi manusia biasa, ketiadaan anak mungkin dianggap sebagai suatu kekurangan peribadi. Namun begitu, bagi seorang nabi, zuriat bukan sekadar waris keluarga, tetapi tonggak kesinambungan dakwah dan pewaris perjuangan tauhid. Keinginan baginda untuk menimang cahaya mata bukan bersifat duniawi semata-mata, tetapi berakar daripada tanggungjawab agama.
Tatkala Nabi Ibrahim a.s. memanjatkan doa, baginda memohon kepada Allah SWT agar dikurniakan anak yang soleh. Hal ini merupakan pengajaran besar kepada ibu bapa pada hari ini. Kebanyakan kita terlalu sibuk meminta anak yang berjaya, cemerlang, kaya dan berkedudukan tinggi dalam masyarakat, tetapi kurang bersungguh-sungguh meminta anak yang dekat dengan Allah SWT dan memahami tujuan hidupnya sebagai hamba. Doa Nabi Ibrahim a.s. membetulkan paksi orientasi ini. Anak ialah amanah dakwah. Kejayaan hakiki terletak pada sejauh mana mereka mengenal Tuhan dan hidup dalam ketaatan.
Apabila anak yang ditunggu sekian lama pada akhirnya lahir, fasa ujian sebenar bermula. Allah SWT memerintahkan Nabi Ibrahim a.s. untuk meninggalkan isteri tercinta, Siti Hajar dan bayinya, Ismail di sebuah lembah tandus yang tidak berpenghuni. Tiada tanaman, tiada sumber air, dan tiada gambaran kehidupan yang selesa. Secara logiknya, tindakan tersebut mustahil untuk diterima dan seolah-olah menyalahi fitrah seorang suami dan ayah.
Jika dilihat menerusi lensa emosi semata-mata, keputusan baginda mungkin disalah tafsir sebagai satu pengabaian tanggungjawab. Walau bagaimanapun, kisah wahyu tidak boleh dinilai dengan logik manusia yang terbatas. Siti Hajar tidak terus mempersoalkan nasibnya, sebaliknya beliau bertanya satu soalan yang sangat besar maknanya, “Adakah ini perintah Allah SWT?” Soalan itu menjadi fokus utama kepada seluruh peristiwa besar ini. Persoalan utamanya ialah sama ada tindakan itu datang daripada Allah SWT atau sekadar kehendak manusia. Apabila jawapannya ialah perintah Allah SWT, maka seluruh tafsiran terhadap penderitaan berubah menjadi ibadah dan penyerahan diri.
Jawapan Siti Hajar selepas itu menjadi antara ungkapan tauhid paling kuat dalam sejarah manusia. Beliau berkata, “Kalau begitu, Allah tidak akan mensia-siakan kami.” (Hadis riwayat al-Bukhari, no. 3364). Walaupun kalimat ini ringkas, padanya terkandung kekuatan iman yang sangat luar biasa. Keyakinan kepada Allah SWT mampu mengatasi ketakutan terhadap masa hadapan yang tidak pasti.
Siti Hajar dan Makna Tawakal yang Sebenar
Tahap iman ini sukar difahami oleh manusia moden yang terlalu bergantung pada jaminan material. Kita mahu kepastian sebelum taat, mahu keselamatan sebelum berserah, dan mahu bukti sebelum percaya. Kita hanya yakin apabila ada perlindungan dan jaminan manusia. Siti Hajar memiliki sesuatu yang jauh lebih besar, iaitu keyakinan mutlak kepada Tuhan.
Keyakinannya tidak menjadikannya pasif. Siti Hajar tetap berlari antara Safa dengan Marwah mencari air untuk anaknya. Hal ini membetulkan salah faham besar tentang konsep tawakal. Kebanyakan kita menyangka tawakal bermaksud menunggu tanpa usaha, sedangkan hakikat tawakal ialah usaha sepenuh kemampuan dengan hati yang tetap bergantung pada Allah SWT, bukan pada hasil usaha itu sendiri.
Usaha itu pada akhirnya Allah SWT memunculkan air zamzam yang menjadi simbol rahmat Allah SWT kepada manusia pada hari ini. Menariknya, sejarah besar umat Islam lahir daripada langkah kecil seorang ibu yang enggan menyerah kalah. Kadangkala masyarakat terlalu memandang besar peranan tokoh lelaki sehingga terlupa bahawa tamadun juga dibina oleh kesabaran, keberanian dan keteguhan seorang wanita.
Siti Hajar bukan watak sampingan dalam kisah ini. Beliau ialah individu utama dalam pembentukan sebuah generasi. Daripada rahim dan didikannya, lahir Nabi Ismail a.s.; daripada pengorbanannya, lahir kota suci Makkah yang menjadi pusat umat Islam hingga hari ini. Kekuatan seorang ibu mampu membentuk sejarah yang jauh melangkaui sempadan rumah tangga.
Nabi Ismail a.s. dan Tarbiah Anak dalam Rumah Tauhid
Ujian yang paling besar mula hadir dalam bentuk perintah menyembelih Nabi Ismail a.s. Peristiwa ini menjadi simbol perayaan Aidiladha hingga hari ini. Orang ramai membaca kisah ini secara terlalu dangkal, seolah-olah hanya kisah kepatuhan seorang ayah dan seorang anak. Pada hakikatnya, peristiwa ini ialah ujian kedudukan cinta manusia terhadap Tuhannya.
Nabi Ibrahim a.s. tidak terus melaksanakan perintah tersebut secara membuta tuli. Baginda berbicara dengan anaknya terlebih dahulu, mengajaknya untuk memahami keadaan dan memberikan ruang untuk respons. Pendidikan dalam Islam bukan sekadar bersifat arahan satu hala, tetapi dialog yang membina kefahaman, adab dan kesedaran tentang makna sebuah ketaatan.
Jawapan Nabi Ismail a.s. pula menjadi bukti bahawa anak soleh tidak lahir secara kebetulan. “Wahai ayahku, lakukanlah apa-apa yang diperintahkan kepadamu.” (Surah al-Saffat 37: 102). Kalimat ini lahir daripada kefahaman iman yang mendalam. Anak seperti ini tidak dibentuk dalam sehari, tetapi melalui proses tarbiah yang panjang dan konsisten berasaskan tauhid.
Malangnya, kebanyakan ibu bapa pada hari ini menginginkan anak yang soleh, tetapi rumah yang dibina atas asas hiburan tanpa batas, pertengkaran tanpa adab, dan pengamalan agama pada waktu tertentu. Kita mahukan hasil kenabian, tetapi prosesnya terlalu duniawi. Kita mahukan anak yang menghormati agama, sedangkan mereka banyak melihat ibu bapanya tunduk kepada dunia daripada tunduk kepada Allah SWT.
Nabi Ismail a.s. hasil daripada rumah yang dibina atas iman. Pendidikan anak tidak bermula di sekolah, tetapi di rumah menerusi cara ibu bapa berbicara, menghadapi ujian, menjaga yang halal dan yang haram, serta mendidik Allah SWT menjadi tujuan utama dalam kehidupan seharian.
Pada akhirnya, Allah SWT menggantikan Nabi Ismail a.s. dengan sembelihan yang lain. Tujuan sebenar suruhan ini menjadi pembuktian ketaatan. Allah SWT tidak berhajat kepada penyembelihan itu, sebaliknya Dia mahu melihat hati yang sanggup meletakkan perintah-Nya mengatasi segala rasa cinta kepada perkara lain.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Haj ayat 37 menjelaskan bahawa peritnah itu bukan daging dan darah yang sampai kepada-Nya, tetapi ketakwaan yang sering dilupakan dalam ibadah korban. Matlamat ibadah ini ialah keberanian untuk menyerahkan sesuatu yang sangat kita cintai kerana Allah SWT.
Bagi Nabi Ibrahim a.s., Nabi Ismail a.s. ialah anak yang ditunggu sekian lama. Namun begitu, bagi manusia pada hari ini, “Ismail” dalam hidup ialah ego, jawatan, wang, kemewahan atau hubungan yang salah, tetapi sukar dilepaskan. Kadang-kadang kebiasaan buruk kita pertahankannya kerana sudah terlalu selesa menjadi sebahagian daripada diri sendiri.
Banyak orang mahu syurga tanpa pernah rela meletakkan “Ismail” mereka di atas altar pengorbanan. Kita mahu rahmat Allah SWT, tetapi tidak mahu melepaskan perkara yang dicintai. Kita mahu ketenangan jiwa, tetapi masih menggenggam perkara yang menjadi sebab kegelisahan. Kita mahu reda Tuhan, tetapi terlalu takut kehilangan dunia.
Kita juga mudah berkorban sesuatu yang besar sekali-sekala, tetapi gagal berkorban perkara yang kecil pada setiap hari. Mudah menangis ketika khutbah Aidiladha, tetapi sukar bangun untuk solat Subuh pada setiap pagi sedangkan Allah SWT sering menguji kita melalui pengorbanan kecil yang berulang.
Korban pada Hari Ini: Apakah “Ismail” dalam Hidup Kita?
Dalam konteks keluarga moden, kisah Nabi Ibrahim a.s. sangat relevan. Hari ini ramai pasangan bercakap tentang keluarga ideal dengan ukuran material seperti rumah besar, kereta selesa, sekolah terbaik, dan gambar keluarga yang sempurna dalam media sosial. Kisah Nabi Ibrahim a.s. menunjukkan bahawa keluarga ideal bukan keluarga tanpa ujian, tetapi keluarga yang meletakkan Allah SWT mengatasi segala-galanya.
Ada suami yang bekerja keras menyediakan keperluan material, tetapi gagal menjadi pemimpin rohani keluarga. Ada isteri yang mengurus rumah dengan cemerlang, tetapi rumah kosong daripada roh agama. Ada ibu bapa yang sanggup menghabiskan harta untuk pendidikan duniawi anak, tetapi berkira untuk pendidikan ukhrawi mereka.
Manusia boleh hidup dengan kemewahan tanpa bahagia, tetapi tidak akan tenang tanpa makna. Korban juga menuntut pengorbanan ego. Kebanyakan rumah tangga runtuh bukan kerana tiada cinta, tetapi kerana bersikap individualistik. Sedangkan keluarga Nabi Ibrahim a.s. dibina atas semangat kebersamaan yang tunduk kepada Tuhan.
Apabila Allah SWT menjadi tujuan utama, manusia berhenti berlumba untuk menjadi paling benar. Mereka belajar merendahkan diri, meminta maaf dan melihat rumah tangga sebagai amanah, bukan medan memenangkan ego. Usaha menyembelih kesombongan merupakan antara bentuk korban yang paling sukar pada zaman ini kerana jauh lebih sakit daripada menyembelih haiwan korban.
Kisah ini mencetuskan persoalan kepada kita, jika Allah SWT meminta sesuatu perkara yang paling kita sayang, adakah kita benar-benar bersedia? Jawapan tersebut boleh dilihat pada perkara yang kita dahulukan dan pertahankan dalam kehidupan seharian kita tatkala agama dan kepentingan diri saling bertembung. Aidiladha merupakan musim muhasabah untuk melihat diri sendiri. Mungkin selama ini kita terlalu sibuk mencari haiwan untuk disembelih, sedangkan Allah SWT menunggu kita menyembelih kesombongan, ketamakan dan kebergantungan yang berlebihan kepada dunia.
Penulis memiliki ijazah sarjana dalam bidang Pentabiran Pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau pernah bertugas sebagai guru Sekolah Kebangsaan Taman Seroja, Sepang dan berkecimpung dalam bidang penulisan karya kreatif kanak-kanak. Beliau kini sedang menyambung pengajian pada peringkat kedoktoran.