Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangRamadan yang baru sahaja berlalu merupakan bulan yang penuh keindahan, cahaya dan kesucian. Dalam suasana bulan yang mulia itu, jiwa dan hati orang beriman terasa lebih dekat kepada Allah SWT, seolah-olah semakin meningkat dalam perjalanan mendekatkan diri kepada Tuhan sekalian alam.
Ramadan diibaratkan sebagai sebuah madrasah tarbiah yang agung. Daripadanya, umat Islam memperoleh pelbagai pelajaran penting serta ibrah yang bermanfaat bagi membentuk keperibadian dan kehidupan beragama.
Antara tanda kesyukuran atas nikmat menyempurnakan Ramadan termasuklah dengan terus memelihara kebaikan dan keimanan yang telah dipupuk sepanjang bulan tersebut. Selain itu, pengagungan terhadap Tuhan Ramadan turut dizahirkan melalui kesinambungan ibadah kepada-Nya serta keikhlasan dalam setiap amal, sama ada pada bulan Ramadan mahupun selepasnya, kerana Dialah Tuhan bagi seluruh bulan.
Penurunan kesungguhan dalam ibadah selepas Ramadan bukanlah suatu hal yang luar biasa, kerana jiwa manusia adakalanya ditimpa futur, iaitu keadaan malas atau lemahnya semangat setelah sebelumnya berada dalam keadaan rajin dan bersungguh-sungguh. Namun demikian, perkara fardu tidak boleh diabaikan sama sekali. Pada masa yang sama, amalan sunah Nabi Muhammah SAW wajar terus dipelihara kerana amalan itulah yang menjadi benteng serta pelengkap kepada segala kekurangan dan kelalaian dalam ibadah.
Rasulullah SAW bersabda tentang futur dalam hadis yang bermaksud, “Sesiapa yang masa futurnya tetap berada pada sunahku, maka sesungguhnya dia telah berjaya. Sesiapa yang masa futurnya cenderung kepada selain itu, maka sesungguhnya dia telah binasa.” (Hadis riwayat Ahmad, no. 6958; dan Syeikh Ahmad Syakir dalam takhrij al-Musnad menilai sanadnya sebagai sahih).
Selepas Ramadan, solat berjemaah yang telah dipelihara dengan istiqamah sepanjang bulan tersebut tidak wajar ditinggalkan. Al-Quran yang menjadi sebab hati diperbaik dan dilembutkan juga hendaklah terus dibaca dan dihayati. Usaha untuk mendirikan qiamullail atau solat malam pula perlu diteruskan walaupun sekadar dua rakaat. Pada masa yang sama, akhlak mulia yang terpancar daripada amalan berpuasa serta keindahan sifat tersebut hendaklah terus dipelihara dalam kehidupan seharian.
Setiap Muslim dianjurkan agar memohon taufik, bantuan, keteguhan, serta penerimaan amal kepada Allah SWT. Dalam hal ini, segala bentuk ketaatan tidak wajar dipandang remeh walaupun sedikit kerana amalan yang paling dicintai oleh Allah SWT ialah amalan yang dilakukan secara berterusan meskipun dalam jumlah yang kecil dan sedikit. Hal ini sebagaimana yang dikhabarkan oleh Nabi Muhammad SAW yang bermaksud, “Sesungguhnya amalan yang paling disukai oleh Allah ialah amalan yang dikerjakan secara berterusan meskipun sedikit.” (Hadis riwayat Muslim, no. 782).
Selain itu, antara bentuk kesinambungan dalam amal soleh serta usaha meneruskan kebaikan selepas Ramadan ialah berpuasa enam hari dalam bulan Syawal. Amalan ini memberikan ganjaran yang besar kerana seseorang Muslim yang melaksanakannya akan memperoleh pahala seolah-olah berpuasa sepanjang tahun, sebagaimana yang dinyatakan dalam sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud, “Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan enam hari daripada bulan Syawal, maka dia seperti berpuasa sepanjang tahun.” (Hadis riwayat Muslim, no. 1164).
Istiqamah dalam ketaatan kepada Allah SWT merupakan suatu keindahan dalam kehidupan mukmin. Daripadanya, lahir ketenangan hati yang mendalam, iaitu hasil daripada ketaatan dan pengabdian yang berterusan kepada-Nya. Allah SWT berfirman yang bermaksud, “(Iaitu) orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah, dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia.” (Surah al-Ra‘d 13:28).
Selain itu, istiqamah dalam ketaatan kepada Allah SWT juga merupakan jaminan keselamatan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Sesungguhnya orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: ‘Tuhan kami ialah Allah,’ kemudian mereka tetap teguh pada jalan yang betul (dengan pengakuan iman dan tauhidnya itu), maka tidak ada kebimbangan (daripada sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. Merekalah ahli syurga, tetap kekallah mereka di dalamnya, sebagai balasan bagi amal soleh yang telah dikerjakan oleh mereka.” (Surah al-Ahqaf 46:13-14).
Ibadah kepada Allah SWT serta istiqamah dalam ketaatan kepada-Nya bagi seseorang Muslim tidak berakhir melainkan dengan kematian dan penutup kehidupan yang baik, iaitu husnul khatimah.
Perkara ini dijelaskan melalui firman Allah SWT yang bermaksud,“Wahai orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.” (Surah Ali ‘Imran 3:102).
Begitu juga firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan sembahlah Tuhanmu, sehingga datang kepadamu (perkara yang tetap) yakin.” (Surah al-Hijr 15:99). Menurut al-Baghawi dalam Ma‘alim al-Tanzil, perkara yang tetap lagi yakin dalam ayat tersebut merujuk kematian yang pasti.
Tambahan lagi, seorang lelaki datang kepada Nabi Muhammad SAW. Lelaki itu meminta wasiat yang ringkas, namun bermanfaat agar dapat dipegang teguh dalam agamanya. Oleh itu, Baginda bersabda yang bermaksud, “Katakanlah: ‘Aku beriman kepada Allah’, kemudian beristiqamahlah.” (Hadis riwayat Muslim, no. 38).
Antara faktor penting yang mendorong seseorang Muslim untuk terus beristiqamah dalam amal soleh serta menambah kebaikan termasuklah kesedaran bahawa dia tidak mengetahui sama ada amalan yang telah dilakukannya sebelum ini diterima oleh Allah SWT ataupun tidak, dan sama ada kehidupannya akan diakhiri dengan kebaikan ataupun sebaliknya. Kesedaran ini seharusnya menimbulkan kegelisahan yang mendorong seseorang untuk terus memperbaik diri.
Persoalannya, sejauh manakah perasaan tersebut benar-benar hadir dalam diri; dan sejauh manakah lidah sentiasa basah berdoa memohon agar Allah SWT menerima segala amalan yang telah dilakukan, khususnya sepanjang Ramadan?
Sesungguhnya salafussoleh terdahulu diriwayatkan berdoa kepada Allah SWT selama enam bulan agar dipertemukan dengan bulan Ramadan. Kemudian, mereka terus berdoa selama enam bulan berikutnya agar segala amalan yang dilakukan dalam bulan Ramadan diterima oleh Allah SWT. Sikap ini menggambarkan kesungguhan mereka menghargai Ramadan serta keprihatinan mereka terhadap penerimaan amal. Oleh itu, umat Islam wajar mencontohi mereka dan mengambil petunjuk daripada amalan tersebut.
Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Mereka (Nabi-nabi) itulah, orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah, maka turutlah olehmu (wahai Muhammad) akan petunjuk mereka.” (Surah al-An‘am 6:90).
Pesanan penting yang wajar sentiasa diingatkan kepada diri sendiri dan juga kepada masyarakat adalah agar diri sentiasa berhati-hati daripada sifat ujub dan perasaan terpedaya oleh pelbagai hasutan selepas Ramadan. Sebaliknya, setiap Muslim hendaklah terus mengekalkan sikap tunduk serta merendahkan diri di hadapan Allah SWT, Tuhan Yang Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.
Adakalanya hati manusia dibisikkan dengan perasaan seolah-olah telah memiliki simpanan pahala yang banyak, bahkan seseorang mungkin berasa kagum akan dirinya sendiri atas amalan yang telah dilaksanakan sepanjang Ramadan. Oleh itu, hendaklah sentiasa berwaspada daripada sifat berbangga diri atau berasa seolah-olah telah berjasa kepada Allah SWT dengan amal yang dilakukan.
Pada hakikatnya, kita tidak melakukan ketaatan melainkan dengan hidayah dan taufik daripada Allah SWT. Dalam Surah al-Hujurat ayat 17, Allah SWT mengingatkan hamba-Nya bahawa keimanan dan keislaman seseorang ialah kurniaan Allah SWT, bukan jasa manusia kepada agama. Maka itu, manusia sepatutnya bersyukur dan merendah diri.
Setiap Muslim hendaklah sentiasa berwaspada terhadap perosak amalan yang tersembunyi, seperti nifak; riyak, iaitu beramal kerana ingin dilihat manusia; dan ujub, iaitu perasaan kagum terhadap diri sendiri. Semoga Allah SWT memelihara kita daripada sifat tersebut dan menerima setiap amal kebajikan yang telah kita lakukan.
Penulis ialah Ketua Penyelidik di Maktabah al-Bakri.