Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKeikhlasan hati tatkala melaksanakan ibadah menjadi ukuran terhadap kemuliaan dan ketakwaan seseorang insan. Mudah-mudahan madrasah Ramadan yang bakal melabuhkan tirainya, meninggalkan kesan tarbiah dalam pembentukan peribadi Muslim yang soleh.
Firman Allah SWT:

Maksudnya: Sesungguhnya orang yang berkata, “Tuhan kami ialah Allah,” kemudian mereka tetap istiqamah (pada jalan yang benar dengan pengakuan iman dan tauhidnya itu), maka tidak ada kebimbangan (daripada sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka tidak (pula) bersedih hati. Mereka itulah para penghuni syurga yang kekal di dalamnya sebagai balasan amalan soleh yang telah dilakukan oleh mereka.
(Surah al-Ahqaf 46:13–14)
Rasa sayu dalam hati ini apabila terpaksa meninggalkan Ramadan. Bulan yang penuh dengan keberkatan, rahmat dan keampunan. Jaminan ganjaran pahala yang berlipat ganda serta kelebihan lailatulqadar yang lebih baik daripada seribu bulan sentiasa menjadi pencetus semangat dan dorongan buat ummah untuk terus menghidupkan bulan ini dengan ibadah. Suasana berada dalam bulan Ramadan ibarat menjalani latihan dalam madrasah kerohanian yang mendidik diri agar meningkatkan kesempurnaan ibadah, selain memperelok akhlak menerusi sifat ikhlas, sabar dan syukur.
Istiqamah beribadah bermaksud ketaatan, keteguhan hati serta tekad untuk melakukan ibadah serta amal soleh secara berterusan. Ayat 13 dan 14 Surah al-Ahqaf menjelaskan bahawa janji sebagai ahli syurga akan dikurniakan oleh Allah SWT kepada hamba yang memiliki keyakinan teguh terhadap-Nya dan bersungguh-sungguh melakukan ibadah dengan ikhlas dan istiqamah. Latihan sepanjang Ramadan sebenarnya telah membuka ruang untuk kita terus beristiqamah kerana tingkat dan nilai ibadah sedang berada pada tahap yang terbaik.
Istiqamah memerlukan keteguhan hati dan kekuatan tekad. Sesungguhnya, manusia sering kali dibelenggu oleh sifat lalai dan malas. Kedua-duanya menjadi penghalang utama untuk membolehkan kelangsungan momentum ibadah yang terbaik. Istiqamah menjadi kunci kejayaan dan lambang usaha yang berterusan untuk memperoleh kejayaan. Oleh itu, terdapat, beberapa cara dan pendekatan yang boleh diamalkan bagi memupuk sifat istiqamah. Antaranya termasuklah:
Pertama: Meneguhkan keyakinan dalam hati sebagai dorongan semangat bahawa sesiapa yang beriman, bertakwa dan istiqamah beribadah akan mendapat ganjaran syurga.
Kedua: Menetapkan niat yang ikhlas dalam setiap ibadah semata-mata mengharapkan keredaan Allah SWT, serta menjauhkan diri daripada sifat mahukan pujian dan sanjungan manusia.
Ketiga: Melakukan ibadah dan amalan soleh secara sederhana dan konsisten. Amalan yang dilaksanakan secara melampau dan keterlaluan akan menimbulkan rasa lelah, jemu dan terbeban, lalu pada akhirnya kita gagal mengekalkannya.
Keempat: Menghadiri majlis ilmu sebagai medium peringatan, pengukuhan iman dan penghayatan amalan agar pedoman hidup terus berlandaskan kebenaran.
Kelima: Mendampingi individu yang baik agar kita sentiasa berada dalam persekitaran yang sejahtera dan terpimpin ke arah kebaikan.
Rasulullah SAW turut mengingatkan umatnya tentang istiqamah melalui sabda Baginda:
![]()
Maksudnya: Amalan yang paling dicintai oleh Allah SWT adalah yang berterusan (istiqamah) walaupun sedikit.
(Hadis riwayat Bukhari, no. 6465 dan Muslim, no. 783)
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT yang telah mengurniakan peluang kepada kita sekali lagi untuk merasai bulan yang penuh barakah ini. Ramadan bukan sekadar medan untuk memperelok amalan zahir, malah kehadirannya membantu kita membersihkan jiwa dengan sifat terpuji seperti syukur, pemaaf, jujur, saling membantu dan menghubungkan silaturahim. Perbuatan bersyukur atas segala rezeki dan nikmat yang diperoleh serta bersederhana dalam semua perkara menjadi bukti amalan yang istiqamah dan dicintai oleh Allah SWT.
Oleh itu, bagi memastikan momentum ibadah ini tidak terhenti sebaik sahaja bulan Syawal menjelma, umat Islam disarankan agar mengambil langkah seperti yang berikut:
Pertama: Beristiqamah meneruskan ibadah yang telah dilatih sepanjang Ramadan seperti bangun awal pagi, solat berjemaah dan solat sunat, puasa sunat, aktiviti membaca dan bertadabur al-Quran, serta infak pada jalan Allah SWT.
Kedua: Bertekad untuk terus mengamalkan akhlak yang mulia sebagaimana diperintahkan oleh Allah SWT, di samping sentiasa membersihkan hati daripada sifat buruk. Jiwa yang bersih akan mencetuskan kekuatan dalaman untuk melakukan amalan soleh.
Ketiga: Sentiasa memohon dan berdoa kepada Allah SWT agar hati ditetapkan untuk beribadah secara istiqamah, dikurniakan taufik dan hidayah, serta dijauhkan daripada sifat malas dan lalai untuk mengerjakan ibadah.
Keempat: Bersyukur atas segala rezeki dan nikmat pemberian Allah SWT mahupun manusia kepada kita kerana sifat ini merupakan satu daripada tanda ketakwaan yang sejati.
Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 20 Mac 2026, bertajuk “Istiqamah Beribadah Selepas Ramadan Berlalu”.