Diterbitkan pada 20 Mac 2026, 08:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Barangkali kita sering mendengar laporan mengenai isu pembaziran makanan saban tahun, khususnya tatkala umat Islam berbuka puasa pada bulan Ramadan. Bazar Ramadan yang meriah dengan pelbagai juadah mendorong masyarakat membeli makanan secara berlebihan sehingga menyebabkan sebahagiannya tidak dijamah dan terus dibuang. Masalah ini pada hakikatnya tidak terhenti sebaik sahaja Ramadan berkahir, malah berlanjutan sehingga bulan Syawal menerusi penganjuran rumah terbuka dan penyediaan hidangan yang melampaui keperluan sebenar.

Dalam kebanyakan keadaan, kuih raya seperti tart nanas dan biskut semperit masih tersusun rapi di dalam balang berbulan-bulan lamanya sesudah Syawal, bahkan ada yang rosak sebelum sempat dihabiskan menjelang Aidiladha. Situasi ini menunjukkan terdapat manifestasi jurang yang besar antara latihan kesederhanaan dan kerohanian sepanjang Ramadan dengan realiti sambutan perayaan yang sarat pembaziran. Penulisan ini mengupas isu pembaziran makanan dari Ramadan hingga Aidilfitri, di samping melihat implikasinya terhadap persediaan ibadah korban pada Aidiladha.

Realiti Pembaziran

Statistik semasa menunjukkan peningkatan sisa makanan yang amat ketara ketika musim perayaan walaupun Islam menekankan prinsip wasatiyah sebagai asas kehidupan. Data rasmi Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) melaporkan bahawa kira-kira 4005 tan makanan yang masih boleh dimakan telah dibuang setiap hari sepanjang bulan Ramadan. Angka ini menyamai lebih 120 000 tan sisa makanan untuk tempoh satu bulan sahaja. Jumlah berkenaan dianggarkan mampu menyediakan makanan kepada hampir tiga juta orang sebanyak tiga kali sehari.

Realiti pembaziran makanan semasa Syawal bukanlah sekadar suatu tanggapan moral, malah turut disokong oleh data rasmi yang menunjukkan peningkatan sisa pepejal setiap kali musim perayaan tiba. Laporan SWCorp pada tahun 2025 turut mendedahkan bahawa sisa makanan boleh mencecah sehingga 30 peratus daripada jumlah keseluruhan sisa yang dihantar ke tapak pelupusan ketika Aidilfitri.

Kebanyakannya berpunca daripada lebihan makanan daripada acara rumah terbuka dan hidangan perayaan. Data empirikal ini menunjukkan bahawa pembaziran pada bulan Syawal bukan lagi isu terpencil, sebaliknya satu tabiat sosial yang mempunyai implikasi negatif terhadap ekonomi, alam sekitar serta pembinaan etika tamadun Islam. Isu pembaziran merupakan realiti yang boleh diukur secara empirikal.

Tegahan Agama: Kesederhanaan sebagai Teras

Apabila angka ini dibandingkan dengan semangat puasa yang menekankan kesabaran dan Aidilfitri yang mengutamakan kesederhanaan, jelas memaparkan kepincangan amalan masyarakat dalam penghayatan nilai agama.

Bukankah al-Quran memberikan peringatan yang jelas tentang larangan sikap berlebih-lebihan? Firman Allah SWT yang bermaksud, “Wahai anak Adam, pakailah pakaian kamu yang indah pada setiap memasuki masjid, dan makan serta minumlah, tetapi jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan.” (Surah al-A‘raf 7:31).

Islam tidak menolak fitrah manusia untuk bergembira menikmati hidangan dan meraikan hari kebesaran, namun batas kesederhanaan perlu dipelihara. Imam al-Tabari dalam tafsirnya, Jami‘ al-Bayan ‘an Ta’wil Ay al-Qur’an menegaskan bahawa larangan ini turut merangkumi pembaziran makanan yang akhirnya tidak membawa manfaat.

Seterusnya, firman Allah SWT pula menyebut, “Sesungguhnya orang yang membazir itu ialah saudara syaitan, dan syaitan itu sangat ingkar kepada Tuhannya.” (Surah al-Isra’ 17:27). Teguran di sebalik ayat ini memberikan gambaran bahawa pembaziran bukan suatu kesilapan kecil, tetapi “racun” yang berupaya merosakkan jiwa untuk bersyukur.

Rasulullah SAW memberikan garis panduan yang sangat jelas berkaitan dengan etika pemakanan menerusi sabdanya yang bermaksud, “Tidak ada bekas yang lebih buruk dipenuhkan oleh anak Adam daripada perutnya. Cukuplah bagi anak Adam beberapa suapan yang dapat menegakkan tulang belakangnya. Jika dia perlu makan juga, maka jadikanlah sepertiga untuk makanan, sepertiga untuk minuman, dan sepertiga untuk nafasnya.” (Hadis riwayat al-Tirmizi, no. 2380). Hadis ini mengajarkan prinsip keseimbangan ketika menikmati makanan, termasuk ketika berbuka puasa mahupun berhari raya.

Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW turut bersabda yang bermaksud, “… Dan Dia (Allah) membenci bagi kamu perbuatan bercakap kosong, banyak bertanya, dan mensia-siakan harta.” (Hadis riwayat al-Bukhari, no. 1477). Allah SWT tidak menyukai perbuatan mensia-siakan harta. Setiap sisa lebihan makanan yang dibuang tanpa sebab merupakan pelanggaran terhadap adab rezeki.

Kemewahan Penganjuran Rumah Terbuka

Budaya penganjuran rumah terbuka yang berlanjutan sehingga berminggu-minggu sepanjang Syawal, malah adakalanya melepasi bulan berikutnya menjadi penyumbang utama kepada pembaziran. Pada asalnya, rumah terbuka bertujuan mengeratkan silaturahim dan berkongsi kegembiraan. Realiti semasa menyaksikan wujud majlis yang terus-menerus menyediakan hidangan walaupun kehadiran tetamu semakin berkurang, semata-mata demi mengekalkan imej kemewahan. Apabila perayaan dilanjutkan terlalu lama, hidangan seperti rendang, lemang, ketupat, serta pelbagai kuih raya terus dihidangkan walhal lebihan kuih-muih masih belum terusik. Situasi ini menyebabkan sebahagian makanan rosak sebelum sempat dimakan. Bukankah keadaan ini menunjukkan kegagalan kita mengimbangi niat murni dengan perancangan yang bijaksana?

Selain itu, pembaziran makanan meninggalkan kesan langsung terhadap tahap empati sosial umat Islam. Ibadah puasa pada asalnya melatih manusia merasai lapar agar lebih memahami penderitaan orang lain. Namun begitu, apabila Syawal dipenuhi dengan perlumbaan mempamerkan kemewahan hidangan, nilai latihan Ramadan tersebut boleh menghilangkan makna.

Islam menekankan konsep ihsan yang mengajak manusia berkongsi nikmat dengan mereka yang memerlukan. Ibadah zakat fitrah yang diwajibkan menjadi simbol bahawa kegembiraan perayaan mesti bersifat kolektif dan menyeluruh. Malangnya, apabila makanan dibazirkan, mesej sosial zakat fitrah menjadi tumpul kerana nikmat yang sepatutnya dikongsi telah lebur tanpa manfaat.

Kesan Pembaziran terhadap Persediaan Ibadah Korban

Satu dimensi penting yang wajar diberikan perhatian serius ialah perkaitan langsung antara pembaziran Aidilfitri dengan kemampuan melaksanakan ibadah korban pada bulan Zulhijah. Alangkah baiknya perbelanjaan yang terkawal pada bulan Syawal membolehkan kita melaksanakan ibadah sunat muakkad yang lebih besar ganjarannya, iaitu ibadah korban.

Ibadah korban menuntut persediaan kewangan yang rapi dan kesedaran rohani yang tinggi. Apabila kos perbelanjaan makanan pada bulan Syawal diurus tanpa sebarang kawalan, sebahagian individu terutamanya yang berpendapatan sederhana akan kehilangan peluang untuk melaksanakan ibadah korban walaupun mereka mempunyai niat yang baik.

Firman Allah SWT yang bermaksud, “Daging dan darah haiwan korban itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah ketakwaan kamu … .” (Surah al-Haj 22:37). Ayat ini menegaskan bahawa korban merupakan suatu bentuk latihan jiwa yang mengutamakan ketaatan, dan bukannya ritual perayaan semata-mata.

Kesimpulannya, Ramadan melatih kita tentang kesabaran, Syawal hadir menguji kesederhanaan dan Aidiladha mengajarkan makna pengorbanan. Jika budaya pembaziran makanan berbuka puasa terus berleluasa sehingga penganjuran rumah terbuka, maka persediaan bagi ibadah korban sudah pasti akan menjadi semakin sukar.

Kemeriahan Aidilfitri seharusnya tidak berakhir dengan kuih yang rosak atau hidangan yang dibuang, tetapi dengan kesedaran bahawa setiap rezeki ialah amanah menuju ibadah yang lebih besar. Apabila umat Islam berjaya mendidik diri untuk mengurus rezeki sejak Ramadan, meraikan Syawal dengan sederhana dan merancang kewangan dengan berhemah untuk Aidiladha, maka perayaan ini bukan sekadar kitaran acara tahunan, tetapi perjalanan spiritual yang membina ketamadunan berasaskan syukur dan pengorbanan.


Ustaz Mohamad Ehsan Sebri merupakan seorang pendakwah bebas dan calon dalam pengajian doktor falsafah di Jabatan Ilmu kemanusian, Universiti Sains Malaysia.

Profesor Dr. Makmor Tumin merupakan seorang pensyarah kanan di Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Pengajian Pembangunan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi