Diterbitkan pada 19 Mac 2026, 12:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pakaian yang sopan, kemas dan beradab pada hari raya mencetuskan kesan psikologi yang positif terhadap Islam sebagai agama yang menekankan ketertiban dan kesantunan. Sekiranya penampilan umat Islam dilihat bercanggah dengan nilai kesederhanaan yang diajarkan, kekeliruan pasti timbul dalam kalangan masyarakat lain.

Kehadiran bulan Syawal saban tahun sentiasa membawa kemeriahan dan suasana yang tersendiri. Setelah sebulan menahan diri, mendisiplinkan jiwa dan memperhalus akhlak, umat Islam menyambut hari raya dengan penuh kesyukuran. Antara manifestasi kegembiraan perkara yang paling ketara termasuklah gaya pakaian bagi meraikan hari kebesaran Islam tersebut. Setiap individu sudah pasti ingin tampil kemas, segak serta indah berhias. Hal ini bukan sesuatu yang salah, bahkan budaya tersebut sebahagian daripada fitrah manusia yang turut diiktiraf oleh Islam. Namun begitu, cara berpakaian untuk meraikan Aidilfitri tidak wajar dilihat sekadar memenuhi adat atau kecenderungan fesyen semata-mata.

Dalam konteks Malaysia, suasana Syawal bukan sahaja meriah dengan gema takbir dan amalan ziarah-menziarahi, tetapi juga melibatkan persiapan yang teliti. Pusat membeli-belah dipenuhi oleh orang ramai, butik fesyen melancarkan pelbagai koleksi khas, serta media sosial dibanjiri oleh promosi busana sedondon seisi keluarga. Keadaan ini memperlihatkan bahawa pakaian menjadi satu daripada tumpuan utama masyarakat dalam persediaan menyambut Syawal.

Dalam keadaan masyarakat yang semakin cenderung menilai seseorang melalui penampilannya, sambutan hari raya telah berubah menjadi sebuah pentas besar berbanding dengan keutamaan menghayati matlamat sebenarnya. Tekanan sosial untuk tampil “sempurna” sama ada daripada ahli keluarga, rakan sekerja mahupun pengaruh visual di alam maya meletakkan pemilihan pakaian sebagai suatu keputusan yang sarat dengan pertimbangan. Persoalannya, adakah kesempurnaan yang dicari selama ini benar-benar berakar pada nilai atau sekadar memenuhi jangkaan sosial? Perkara ini wajar direnungi agar kegembiraan Syawal tidak terperangkap dalam perlumbaan imej, tetapi kekal sebagai manifestasi kesyukuran yang beradab.

Keindahan Berpakaian Berakarkan Prinsip

Pakaian membawa makna yang jauh lebih mendalam daripada sehelai kain yang menutup tubuh. Perkara tersebut ialah manifestasi identiti dan kefahaman individu terhadap nilai agama yang dianutinya. Cara seseorang Muslim berpakaian pada hari raya mengisyaratkan perihal terjemahan mereka terhadap konsep maruah, batas diri dan tanggungjawab sosial berikutan tradisi Melayu sendiri berakar teguh pada ajaran Islam, lantas adab berpakaian sentiasa dikaitkan dengan lunas agama.

Dalam kerangka budaya masyarakat Melayu, baju kurung dan baju Melayu lengkap bersamping dan bersongkok bukan sekadar busana budaya, tetapi simbol kesopanan dan kehormatan yang diwariskan secara turun-temurun. Potongannya yang longgar, tidak menampakkan bentuk tubuh, serta menutup tubuh dengan sempurna mencerminkan falsafah bahawa tubuh ialah amanah yang perlu dipelihara selaras dengan tuntutan syariat.

Jika ditelusuri dengan lebih mendalam, pakaian tradisi Melayu–Islam merupakan perlambangan struktur nilai yang membentuk sesebuah masyarakat. Reka bentuk yang tidak keterlaluan, potongan yang menjaga batas serta adab pemakaian yang tertib sebagai falsafah hidup yang menekankan keseimbangan antara keindahan dengan pengawalan diri. Tubuh bukan medium untuk memancing perhatian kerana manusia dinilai bukan pada penampilan fizikal semata-mata, tetapi melalui akhlak dan kesantunan yang terpancar daripada keseluruhan sikapnya.

Pemakaian busana tradisional yang berprinsip ini menjadi simbol kesinambungan warisan ketamadunan. Unsur keindahan tidak perlu dipisahkan daripada nilai, dan elemen kemodenan tidak semestinya perlu meninggalkan asas. Apabila prinsip ini terus dihargai, maka identiti masyarakat Melayu–Islam kekal sebagai komuniti yang menghargai maruah, kesederhanaan dan tertib dalam kehidupan bermasyarakat.

Kesederhanaan dalam rekaan busana Melayu memperlihatkan kematangan akal yang tinggi. Keindahan tidak dicipta melalui pendedahan tubuh atau sikap keterlaluan, tetapi melalui keharmonian warna, susunan potongan yang tertib dan adab pemakaiannya. Nilai sebenar sepasang pakaian bukan terletak pada harganya atau keupayaannya menarik perhatian, tetapi pada cara individu membawa dirinya dengan adab di hadapan orang lain.

Falsafah sedemikian amat penting untuk dipertahankan kerana inti patinya membezakan perayaan Melayu–Islam dengan perayaan budaya lain yang mungkin tanpa unsur jiwa. Apabila generasi muda memilih untuk mengenakan baju Melayu atau baju kurung pada hari raya kerana benar-benar memahami makna di sebaliknya, maka kesinambungan nilai itu berjaya dipupuk merentas generasi. Hal ini membuktikan bahawa pakaian bukan sekadar fesyen musiman, tetapi sebuah ungkapan identiti yang mempunyai makna tersirat.

Norma Berpakaian dalam Masyarakat Majmuk

Setiap tamadun di dunia mempunyai sempadan yang jelas tentang nilai yang dianggap sesuai dan tidak sesuai dalam ruang awam. Dalam Islam, garis panduan berpakaian berfungsi sebagai kerangka ketertiban sosial yang mengatasi kepentingan individu. Batas aurat, larangan berpakaian yang melampau serta tegahan menonjolkan diri secara berlebihan membentuk disiplin kolektif yang menjaga keharmonian masyarakat dan ruang awam kekal selesa untuk semua pihak.

Dimensi kemajmukan di Malaysia menjadikan situasi lebih kompleks dan signifikan. Syawal bukan sahaja disambut oleh umat Islam, tetapi turut diperhatikan oleh masyarakat bukan Muslim sebagai gambaran wajah Islam tempatan. Jiran Cina dan rakan sekerja India yang hadir ke acara rumah terbuka membentuk persepsi mereka terhadap Islam melalui apa-apa yang dilihat oleh mereka, termasuk cara tuan rumah dan tetamu berpakaian. Pendek kata, pakaian Syawal memaparkan ajaran Islam pada mata masyarakat berbilang kaum secara tidak langsung.

Persepsi awam pada realitinya sering terbina melalui pengalaman yang kecil, tetapi berulang. Pakaian yang sopan, kemas dan beradab pada hari raya mencetuskan kesan psikologi yang positif terhadap Islam sebagai agama yang menekankan ketertiban dan kesantunan. Sekiranya penampilan umat Islam dilihat bercanggah dengan nilai kesederhanaan yang diajarkan, kekeliruan pasti timbul dalam kalangan masyarakat lain. Oleh itu, norma berpakaian turut menyentuh dimensi tanggungjawab kolektif. Pakaian Syawal harus difahami sebagai sebahagian daripada adab bermasyarakat yang mengukuhkan sikap saling menghormati dan memperkasakan kestabilan sosial.

Tatkala batas difahami dan dihormati bersama, interaksi sosial menjadi lebih tertib dan selesa. Sebaliknya, jika norma berpakaian diabaikan atas nama kebebasan mutlak, ruang sosial menjadi longgar dan nilai bersama perlahan-lahan terhakis tanpa sedar. Dalam hal ini, garis panduan agama bertindak sebagai asas yang menyatukan kepelbagaian, memastikan perayaan diraikan dengan meriah tanpa mengorbankan adab dan keseimbangan sosial melalui proses toleransi antara kaum.

Kesederhanaan Berbusana Sesuai Budaya dan Syariat

Perkembangan fesyen moden membuka ruang kreativiti yang luas kepada umat Islam. Reka bentuk baharu, padanan palet warna yang berani dan sentuhan kontemporari menjadikan pakaian Syawal semakin dinamik. Perkara ini bukan sesuatu yang perlu ditolak mentah-mentah kerana Islam sendiri tidak pernah menghalang keindahan. Walau bagaimanapun, persoalan tanggungjawab perlu dihadapi dengan jujur dan berani dalam keterbukaan tersebut.

Gelombang media sosial pada hari ini harus diakui mempengaruhi pemilihan pakaian Syawal khalayak. Kebanyakan memilih busana disebabkan oleh keinginan untuk terlihat menarik dalam gambar yang bakal dimuat naik dalam platform digital. Pakaian yang ketat, jarang atau mendedahkan bentuk tubuh menjadi pilihan kerana dilihat fotogenik atau mengikut trend semasa. Kesannya, pertimbangan prinsip agama sering kali terpinggir dan dilupakan begitu sahaja.

Pada hakikatnya, fesyen moden bukanlah musuh kepada tamadun. Kebanyakan pereka fesyen Muslim tempatan telah membuktikan bahawa pakaian moden boleh tampil memukau tanpa menggadaikan tuntutan syariat. Pelbagai koleksi busana yang anggun, kontemporari dan menutup aurat dengan sempurna, sekali gus membuktikan bahawa kreativiti dan prinsip bukan dua perkara yang bercanggah. Perkara yang menentukan nilai sesebuah busana ialah keperibadian pemakainya dan prinsip yang memandu setiap pemilihannya.

Sehubungan dengan itu, terdapat beberapa pertimbangan yang boleh dijadikan panduan ketika memilih pakaian Syawal:

  • Menepati syarak: Memastikan pakaian menutup aurat dengan sempurna dan tidak ketat atau jarang sehingga menonjolkan bentuk tubuh.
  • Mesra Suasana: Mengutamakan kesesuaian dengan tradisi kunjung-mengunjungi yang melibatkan pelbagai lapisan umur dan latar masyarakat.
  • Sederhana: Mengelakkan unsur berlebihan (tabaruj) yang bertujuan menarik perhatian semata-mata, sama ada melalui potongan, hiasan mahupun gaya pemakaian.
  • Niat yang betul: Menilai kembali niat ketika berhias sama ada meraikan nikmat dengan penuh syukur atau sekadar memenuhi tuntutan pengiktirafan sosial.
  • Cerminan identiti: Memilih busana yang mencerminkan identiti Muslim yang sederhana, kemas dan beradab tanpa perlu mengorbankan nilai estetika.

Dalam kerangka ketamadunan Islam, cara berpakaian ialah cerminan disiplin diri dan kepekaan terhadap tanggungjawab kolektif. Busana yang sederhana, kemas dan beradab tidak menafikan unsur kreativiti memperlihatkan kematangan akal yang menyeimbangkan antara ekspresi diri dengan pemeliharaan maruah.

Pakaian sebagai Pendidikan Nilai antara Generasi

Syawal merupakan medan untuk menzahirkan hasil tarbiah Ramadan dalam bentuk yang dapat dirasai oleh masyarakat sekeliling. Jika Ramadan mendidik jiwa supaya menundukkan hawa nafsu dan menguatkan kawalan diri, maka Syawal menguji sejauh mana disiplin kerohanian itu mampu dipertahankan tatkala kegembiraan membara dan godaan semakin kuat.

Islam mengiktiraf keindahan sebagai sebahagian daripada fitrah manusia. Sabda Rasulullah SAW bermaksud, “… Sesungguhnya Allah itu indah dan Dia menyukai keindahan … .” (Hadis riwayat Muslim, no. 91). Namun begitu, keindahan dalam Islam sentiasa dipandu oleh prinsip keseimbangan yang teguh. Allah SWT turut mengingatkan manusia dalam Surah al-A‘raf ayat 31 agar tidak berlebih-lebihan dalam sesuatu perkara kerana sikap tersebut tidak disukai oleh-Nya.

Sesuatu tamadun yang luhur bukan tamadun yang mempamerkan kemewahan atau kebebasan tanpa sempadan, tetapi mampu menyeimbangkan antara keinginan dengan prinsip, antara ekspresi diri dengan tanggungjawab kolektif terhadap masyarakat. Apabila seorang Muslim mampu tampil kemas, indah dan kreatif pada hari raya, namun tetap dalam batas yang diredai Allah, maka itulah manifestasi sebenar ketinggian tamadun. Pakaian Syawal menjadi “bahasa” kepada tamadun, menyampaikan mesej bahawa Islam ialah agama yang membentuk budaya, adab dan keindahan dalam ruang sosial yang luas dan terbuka.


Penulis memiliki ijazah sarjana dalam bidang Pentabiran Pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau pernah bertugas sebagai guru Sekolah Kebangsaan Taman Seroja, Sepang dan berkecimpung dalam bidang penulisan karya kreatif kanak-kanak. Beliau kini sedang menyambung pengajian pada peringkat kedoktoran.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi