Diterbitkan pada 19 Mac 2026, 08:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Ibadah zakat mengangkat maruah orang miskin kerana mereka tidak perlu meminta-minta harta atau menagih simpati daripada golongan kaya. Sebaliknya orang kaya bertanggungjawab untuk mengesan dan menyerahkan hartanya kepada mereka.

Ramadan merupakan bulan suci buat umat Islam yang sentiasa dikaitkan dengan pelbagai amal ibadah bagi memperkukuh hubungan seorang hamba dengan Allah SWT. Pada bulan ini, umat Islam diwajibkan berpuasa selama sebulan sebelum menjelangnya Hari Raya Aidilfitri pada bulan Syawal. Selain puasa, antara ibadah lain yang wajib ditunaikan termasuklah zakat fitrah.

Pelaksanaan zakat fitrah pada bulan Ramadan merupakan sebahagian daripada jalan terbaik untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dan memperbanyak pahala amal soleh. Kefarduan zakat fitrah mempunyai kedudukan yang sama seperti puasa Ramadan kerana ibadah tersebut termasuk dalam rukun Islam.

Secara umumnya, zakat fitrah merupakan kewajipan bagi setiap Muslim yang berkemampuan untuk mengeluarkan harta mengikut kadar yang telah ditetapkan oleh syarak. Walaupun pelaksanaannya melibatkan unsur kebendaan, zakat fitrah sebenarnya memiliki dimensi adab atau nilai kerohanian yang sarat dengan makna.

Imam al‑Ghazali dalam Ihya’ ‘Ulum al-Din menekankan bahawa zakat bukan sekadar soal harta, sebaliknya merupakan suatu amalan yang memberikan kesedaran kepada individu mengenai hak Allah SWT dan hak manusia lain. Hal ini bertepatan dengan ajaran Islam yang sentiasa mengutamakan pelunasan hak dan kesempurnaan tanggungjawab. Dengan memahami hikmah ini, seseorang mukmin akan melihat zakat sebagai ibadah yang menyucikan jiwa, bukan hanya mengeluarkan sebahagian daripada harta.

Kecintaan kepada Allah SWT Mengatasi Kecintaan kepada Harta

Ibadah zakat merupakan satu daripada sendi utama dalam Islam yang menjadi manifestasi ketaatan hamba kepada perintah Allah SWT. Kesediaan seseorang melepaskan sebahagian daripada hartanya memperlihatkan kecintaan kepada Allah SWT mengatasi kepentingan duniawi. Meskipun zakat tidak melibatkan pergerakan fizikal seperti solat atau puasa, nilai batinnya sangat besar kerana ibadah ini menuntut sifat keikhlasan.

Individu yang mengeluarkan zakat membuktikan kekuatan dalaman untuk mengawal nafsu daripada sifat tamak dan bersedia untuk mendahulukan kepentingan orang yang lebih memerlukan. Oleh itu, zakat merupakan asas pembinaan iman dan akhlak yang membentuk struktur kehidupan beragama yang kukuh.

Agama Islam diasaskan atas paksi tauhid. Syarat kesempurnaan ucapan syahadat adalah apabila tiada lagi kecintaan lain dalam hati orang yang bertauhid selain rasa cinta kepada Allah SWT. Menurut Imam al-Ghazali, pengakuan tauhid dengan lisan semata-mata kurang kesannya terhadap pembangunan diri seseorang Muslim. Lantaran itu, setiap Muslim perlu diuji menerusi perpisahan dengan perkara yang paling dikasihi, iaitu harta. Harta sering kali memberikan kesenangan yang melalaikan sehingga manusia mudah lupa akan kematian dan hal ukhrawi, walhal hal itulah satu-satunya jalan untuk mereka bertemu dengan Kekasih yang sejati.

Kecintaan ini dapat dilihat berdasarkan kisah Sayidina Abu Bakar al-Siddiq r.a. Apabila Baginda Nabi SAW bertanya tentang perkara yang ditinggalkan untuk keluarganya setelah beliau menyerahkan seluruh hartanya untuk perjuangan Islam, beliau dengan penuh yakin menjawab, “Aku tinggalkan untuk mereka, Allah dan rasul-Nya.” (Hadis riwayat Abu Daud, no. 1678). Jawapan ini menggambarkan tahap tawakal yang luar biasa kerana keyakinan beliau terhadap sumber rezeki datang daripada Allah SWT.

Kisah ini mendidik kita bahawa pengorbanan harta menerusi zakat atau sedekah tidak akan menyebabkan seseorang kehilangan hartanya, sebaliknya memperkaya nilai batin dalam diri. Dalam konteks kerohanian, suatu pemberian menjadi simbol pembebasan hati daripada ikatan dunia.

Selain itu, atas kesedaran tentang kepentingan kedudukan zakat dalam Islam, Sayidina Abu Bakar r.a. pernah mengambil tindakan tegas terhadap golongan yang enggan menunaikan zakat selepas kewafatan Rasulullah SAW dalam Perang Riddah ketika beliau memegang jawatan sebagai khalifah. Beliau bertegas bahawa zakat tidak boleh dipisahkan daripada rukun Islam yang lain kerana melambangkan ketaatan kepada perintah Allah SWT serta tanggungjawab sosial dalam masyarakat. Tindakan beliau ini bertujuan mempertahankan kesatuan agama dan memastikan kewajipan zakat terus ditegakkan serta tidak boleh dipandang ringan, apatah lagi diabaikan.

Keikhlasan Hati dan Bahaya Riyak

Setiap ibadah dalam Islam, terutamanya zakat perlu diiringi dengan niat yang tulus semata‑mata kerana Allah SWT. Tindakan memulakan pemberian zakat dengan niat yang betul merupakan adab batin seorang hamba kepada Penciptanya. Pemberian yang tidak diniatkan kerana ibadah hanyalah perbuatan yang sia-sia. Apatah lagi jika zakat dilakukan secara riyak demi meraih pujian manusia atau untuk dikenali oleh orang lain (sum‘ah), sudah pasti tidak akan menyucikan harta, sebaliknya hanya mengotorkan hati.

Imam Ghazali turut menyatakan bahawa amal ibadah seperti zakat atau sedekah sebaik-baiknya dirahsiakan atau disembunyikan bagi menjauhkan pelakunya daripada sifat riyak. Seseorang yang sengaja menceritakan pemberiannya kepada orang lain dikhuatiri tergolong dalam kalangan mereka yang mahu mencari nama. Begitu juga orang yang memberikan sedekah di hadapan khalayak.

Bagi memelihara keikhlasan, beliau mengumpamakan sedekah yang terbaik adalah seperti meletakkannya pada tangan orang yang buta atau menyelitkan sedekah di dalam kain orang miskin yang sedang tidur sehingga dia tidak mengetahui pemberinya. Perkara ini amat relevan sebagai teguran buat masyarakat hari ini agar lebih berhati-hati apabila berkongsi amalan zakat dan sedekah dalam media sosial Perbuatan menzahirkan amalan secara berlebihan kepada tatapan umum berisiko menjerumuskan seseorang terhadap sifat riyak yang membinasakan pahala ibadah.

Manfaat dan Kelebihan Ibadah Zakat

Semangat zakat yang sebenar adalah untuk membantu golongan asnaf tanpa mengharapkan pengiktirafan atau pujian daripada manusia. Dalam hal ini, pengurusan zakat di Malaysia telah menterjemahkan semangat berkenaan apabila agihan bantuan dilakukan tanpa penerima perlu mengenali identiti penyumbang, kerana ia diuruskan oleh institusi amil (pusat zakat) yang berautoriti.

Pengurusan zakat secara berpusat mendatangkan hikmah yang besar dari sudut kemaslahatan masyarakat kerana memastikan agihan zakat dapat dilakukan secara sistematik kepada golongan asnaf, di samping mendidik masyarakat bahawa ibadah ini sebagai sebahagian daripada ekosistem sosial yang memacu kesejahteraan ummah.

Pelaksanaan zakat menunjukkan bahawa harta yang dimiliki bukanlah hak milik mutlak. Harta yang dikumpulkan adalah untuk asnaf, terutamanya golongan fakir dan miskin. Zakat membina rasa tanggungjawab dan kepedulian sesama manusia, lantas menjadi satu bentuk latihan empati dan kasih sayang. Hati yang ikhlas mengambil peduli terhadap penerima lebih bernilai berbanding dengan jumlah wang yang dihulurkan.

Selain itu, ibadah zakat mengangkat maruah orang miskin kerana mereka tidak perlu meminta-minta harta atau menagih simpati daripada golongan kaya. Sebaliknya orang kaya bertanggungjawab untuk mengesan dan menyerahkan hartanya kepada mereka. Dalam hal ini, pengeluar zakat dituntut untuk menyegerakan kewajipannya sebelum disempitkan peluang atau hilang kesempatan untuk melakukannya. Imam al-Ghazali menjelaskan bahawa tindakan sedemikian merupakan adab orang yang beriman dalam usaha mentaati perintah Allah SWT, seterusnya menerbitkan perasaan kegembiraan dalam hati orang fakir.

Adapun tindakan melewatkan pemberian zakat barangkali mendedahkan seseorang dengan kesempitan yang sukar dijangka pada masa hadapan sehingga menyebabkan tuntutan zakat tidak dapat dilangsaikan. Apatah lagi hati manusia yang berbolak-balik mudah terpedaya oleh bisikan syaitan yang sentiasa menghasut manusia untuk melakukan kemungkaran.

Di samping itu, ibadah zakat juga membebaskan jiwa manusia daripada sifat mazmumah seperti kikir, tamak dan cinta akan dunia yang berlebihan. Perbuatan mengeluarkan zakat dengan lapang dada merupakan satu daripada kaedah pembersihan hati. Sifat bakhil tidak akan lenyap selagi seseorang itu terus diperhambakan oleh hartanya. Jiwa manusia perlu dilatih untuk sentiasa memberi, khususnya melalui ibadah zakat fitrah pada bulan Ramadan.

Proses ini secara tidak langsung “memaksa” dirinya berpisah dengan sesuatu yang dicintainya demi mencapai kebebasan rohani dan ketaatan kepada Allah SWT. Apabila ibadah zakat dilakukan secara berterusan, pengamalannya menjadi “detoks” rohani yang mampu melembutkan hati serta mengikis sikap mementingkan diri.

Pengeluaran zakat mengiringi ibadah seseorang dengan zikir dan rasa syukur kepada Allah SWT. Hati yang mengingati Allah SWT ketika mengeluarkan zakat akan merasai keberkatan harta yang hakiki. Imam al-Nawawi menyebut dalam kitabnya, al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab bahawa terdapat doa yang dianjurkan untuk dibaca dalam urusan penyerahan zakat, iaitu:

Maksudnya: Semoga Allah memberikan balasan yang baik terhadap apa-apa yang engkau berikan, dan semoga Allah memberkati harta yang engkau tinggalkan dan menjadikannya harta yang bersih untukmu.

Begitu juga dengan doa:

Maksudnya: Ya Allah, berkatilah harta mereka.

Zakat ialah ibadah yang menyeluruh dan meliputi aspek zahir, batin dan sosial. Perbuatan mensyukuri nikmat merupakan suatu tuntutan bagi setiap individu Muslim, dan zakat sebagai jalannya. Oleh sebab itu, Imam al-Ghazali menyatakan bahawa ibadah badan ialah jalan untuk mensyukuri nikmat badan, manakala ibadah harta seperti zakat fitrah ialah jalan bagi mensyukuri nikmat harta.

Kesimpulannya, ibadah zakat fitrah melangkaui soal pengurusan harta atau pemilikan seseorang, serta merupakan ibadah yang memperkasakan dimensi batin dan kerohanian umat Islam. Zakat fitrah memberikan pelbagai manfaat dalam pembersihan harta, penyucian jiwa, pemupukan rasa empati dan syukur yang berpanjangan kepada Allah SWT. Bulan Ramadan ini ialah masa terbaik untuk memahami hakikat ibadah ini yang menghubungkan aspek lahir dan batin, selain membina keperibadian mukmin yang seimbang serta bertakwa.


Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Teras, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Beliau mempunyai kepakaran dalam bidang Falsafah dan Pemikiran Islam, Etika, Dasar Awam serta Usuluddin.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi