Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pertubuhan kebajikan dan kemanusiaan Islam terbesar di dunia, Islamic Relief Worldwide menggesa semua pihak yang terlibat dalam konflik ketenteraan di Timur Tengah agar segera mencari penyelesaian melalui saluran diplomatik, serta mengelakkan sebarang tindakan yang boleh memburukkan keadaan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Islamic Relief Malaysia pada Ahad, ketegangan yang semakin memuncak berisiko memutuskan akses bantuan pihaknya seperti makanan, tempat perlindungan, air bersih, dan penjagaan kesihatan kepada komuniti yang memerlukannya.
Selain itu, pertubuhan tersebut turut menyeru semua pihak agar mematuhi kewajipan di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa bagi melindungi nyawa orang awam, dan memastikan organisasi kemanusiaan dapat terus beroperasi dengan selamat.
Tambah kenyataan itu lagi, pihaknya sedang memantau rapi perkembangan situasi di seluruh rantau berkenaan, terutamanya di negara Islamic Relief aktif menyalurkan bantuan seperti Yaman, Lubnan, Iraq, Turkiye, Jordan, Syria dan Palestin.
“Kami amat bimbang sekiranya ketidakstabilan serantau yang lebih meluas akan menjejaskan keselamatan, lantas menyebabkan jutaan orang awam di seluruh Teluk dan kawasan sekitarnya kehilangan tempat tinggal,” katanya.
Jelasnya, Islamic Relief telah lama berkhidmat kepada golongan rentan di rantau tersebut, dan menyedari betapa pantasnya operasi kemanusiaan boleh terganggu apabila konflik mula merebak.
“Orang awam sentiasa menjadi pihak yang paling terjejas dalam setiap konflik ketenteraan, justeru perlindungan terhadap mereka mesti menjadi keutamaan.
“Ketegangan ini berlaku tatkala umat Islam sedang menyambut Ramadan, bulan yang penuh dengan nilai kasih sayang dan belas ihsan,” ujarnya.
Mengulas lanjut, pertubuhan itu menegaskan bahawa masyarakat yang berada di Timur Tengah berhak menyambut bulan suci ini dalam keadaan aman dan tanpa rasa takut.
Penderitaan orang awam, yang sebahagian besarnya hidup dalam kesusahan bertahun-tahun tidak sepatutnya diburukkan lagi oleh tindakan ketenteraan.
“Konflik ketenteraan yang berterusan berpotensi mencetuskan perpindahan besar-besaran orang awam, serta mewujudkan gelombang pelarian di seluruh rantau tersebut.
“Islamic Relief sentiasa bersedia untuk memperluas bantuan sekiranya terdapat keperluan kemanusiaan yang mendesak di lapangan,” katanya.