Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPerbuatan menyambut kedatangan bulan Ramadan merupakan deklarasi penerimaan terhadap sebuah sistem kehidupan yang menyatukan wahyu dan rasionaliti. Kedatangannya menurunkan entropi moral, menstabilkan homeostasis diri, mempercepat reaksi perubahan akhlak dan menggandakan nilai kebajikan.
Jika bahagian pertama merungkaikan rahsia Ramadan dari sudut fizik, biologi dan kimia, maka penulisan pada kali ini akan meneroka dimensi matematik, kosmologi serta sosiologi. Kesepaduan sains dan spiritual telah meletakkan kedudukan ibadah puasa bukan sekadar sebuah perintah agama, sebaliknya sistem holistik yang bertindak sebagai arkitek peradaban insan.
Matematik Ganjaran dan Model Eksponen
Ramadan mengajarkan disiplin masa yang tepat dan terukur. Seperti mana yang kita ketahui, permulaan ibadah puasa bermula pada waktu terbitnya fajar sadiq, dan berakhir pada waktu terbenamnya matahari.
Penetapan waktu puasa yang bersandarkan pemerhatian astronomi dan pengiraan falak memperlihatkan bahawa ibadah dalam Islam bukan bersifat arbitrari (sewenang-wenangnya), sebaliknya berpaut kukuh pada hukum kosmos yang konsisten. Peredaran bumi dan bulan menjadi asas pengukuran waktu, sekali gus menghubungkan pengalaman rohani manusia dengan keteraturan alam semesta.
Dalam konteks matematik, ketepatan satu unit masa boleh mengubah keseluruhan keputusan. Perbezaan beberapa saat antara fajar kazib dengan fajar sadiq menjadi penentu sama ada puasa seseorang itu sah atau batal. Prinsip ini menyerlahkan nilai kejituan dan integriti dalam tindakan, lantas mendidik umat Islam agar menghargai waktu sebagai pemboleh ubah kritikal dalam “persamaan” kehidupan.
Dalam persamaan algebra, kesilapan kecil pada pemboleh ubah asas boleh meruntuhkan keseluruhan struktur jawapan. Demikian juga kelalaian kecil terhadap waktu boleh menjejaskan kesempurnaan ibadah.
Lebih jauh daripada itu, Ramadan membentuk kesedaran terhadap konsep keteraturan dan ketekalan. Setiap hari, puasa bermula dan berakhir pada titik masa yang ditetapkan dengan jelas. Rutin tersebut melatih kestabilan emosi dan kognitif kerana manusia bergerak dalam pola yang teratur.
Menurut psikologi tingkah laku, pengulangan rutin yang konsisten membentuk tabiat yang kukuh. Maka, disiplin masa dalam Ramadan bukan sahaja soal ketepatan astronomi, tetapi juga pembinaan struktur diri yang sistematik. Dimensi matematik Ramadan turut terserlah menerusi konsep ganjaran pahala yang digambarkan dalam bentuk gandaan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,
Sesiapa yang memberi makan orang berpuasa (untuk berbuka), maka baginya pahala sama seperti orang yang berpuasa itu, tanpa mengurangi sedikit pun daripada pahala orang tersebut.
(Hadis riwayat al-Tirmizi, no. 807)
Hadis ini memperlihatkan prinsip penggandaan nilai yang melampaui logik linear. Dalam matematik, pertumbuhan linear berlaku secara penambahan tetap, manakala pertumbuhan eksponen meningkat secara berlipat ganda. Ramadan beroperasi menurut model eksponen, iaitu kebaikan kecil menghasilkan impak yang berlipat kali ganda, terutamanya apabila dilaksanakan secara kolektif dalam masyarakat.
Secara metaforanya, Ramadan ialah musim pertumbuhan eksponen bagi modal moral masyarakat. Setiap sedekah, doa dan amal kebajikan bukan sahaja menambah nilai individu, malah menguatkan jaringan sosial secara kumulatif. Jika satu individu memberi makan seorang yang berpuasa, dan penerimanya pula terdorong untuk melakukan kebaikan yang sama, kesan gandaan berlaku dalam bentuk rantaian kebajikan. Inilah dinamik “matematik sosial” yang membentuk solidariti dan empati. Konsep gandaan berkenaan menanam optimisme moral.
Dalam bidang ekonomi, pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi akan meningkatkan komitmen pelabur. Demikian juga dengan Ramadan, gandaan pahala menggalakkan umat Islam memperbanyak amalan, seterusnya mewujudkan ekosistem spiritual yang mempercepat pertumbuhan akhlak dan kebersamaan.
Pendek kata, disiplin masa dan prinsip gandaan pada bulan Ramadan membuktikan bahawa ibadah berfungsi sebagai latihan intelektual dan sosial dengan gabungan ketelitian astronomi, kejituan matematik dan dinamik moral dalam satu pengalaman kolektif. Penghargaan setiap detik dan kebaikan pada akhirnya menjadi komponen yang signifikan dalam “persamaan besar” pembinaan tamadun.
Kosmologi dan Kesedaran Waktu
Penentuan awal Ramadan melalui peredaran bulan hasil daripada integrasi ilmu astronomi, matematik dan ibadah, sekali gus menafikan dikotomi palsu antara sains dengan agama. Takwim Hijrah yang berasaskan pergerakan bulan menuntut ketelitian cerapan, kefahaman terhadap fasa bulan serta disiplin pengiraan yang sistematik.
Tradisi keilmuan ini telah melahirkan ahli astronomi Muslim, Nasir al-Din al-Tusi (w. 672H) yang membangunkan model matematik dan astronomi bagi menjelaskan gerakan cakerawala dengan lebih tepat, sekali gus memperkukuh kefahaman manusia terhadap struktur kosmos.
Keteraturan orbit bulan mengingatkan manusia bahawa alam semesta beroperasi menurut hukum yang konsisten. Dalam ilmu kosmologi, setiap jasad langit bergerak dalam had masa dan ruang yang tertentu. Tiada orbit yang kekal tanpa perubahan.
Prinsip ini menjadi metafora kewujudan manusia, yang hidup juga bergerak dalam kitaran masa yang terbatas, menuju titik penghujung yang pasti. Ramadan hadir berulang pada setiap tahun dalam putaran kosmik yang terancang. Fenomena ini merupakan isyarat kesedaran eksistensial bahawa umur manusia semakin berkurang, sementara mempunyai peluang untuk bertaubat, memperbaik diri dan membina makna hidup yang semakin menyempit.
Kesedaran kosmologi tersebut melahirkan “etika waktu” dalam Islam. Ramadan bukan sahaja mengajar manusia untuk menghormati jadual ibadah, tetapi membentuk keinsafan bahawa masa ialah amanah yang tidak boleh diundurkan. Kefahaman terhadap masa sebagai sumber terhad akan mendorong manusia untuk merancang, bermuhasabah dan bertindak dengan lebih bererti. Sehubungan dengan itu, Ramadan menjadi titik pertemuan antara langit dengan bumi, antara peredaran bulan di angkasa dengan perjalanan jiwa manusia menuju keabadian.
Perspektif Sosiologi Tamadun dan Cabaran Kontemporari
Tokoh sosiologi Muslim, Ibn Khaldun (w. 808H) dalam karya agungnya al-Muqaddimah menegaskan bahawa sesebuah tamadun bangkit melalui kekuatan solidariti sosial. Kedatangan Ramadan memperkukuh solidariti melalui medium zakat fitrah, sedekah dan kebersamaan ketika berbuka puasa. Pengurangan jurang sosial sepanjang bulan ini membentuk ekosistem masyarakat yang berempati. Hal ini sejajar dengan prinsip keseimbangan dalam sains ekologi bahawa sistem yang stabil ialah sistem yang saling menyokong antara satu dengan lain.
Dalam era digital, manusia berhadapan dengan “ledakan rangsangan” yang berterusan. Ramadan mengajarkan budaya digital minimalism secara tidak langsung dengan mengurangkan penggunaan peranti, memperlahankan ritma hidup dan mengembalikan fokus kepada makna. Dari sudut psikologi positif pula, gabungan amalan bersyukur dan dalam satu kerangka ibadah bersedekah mampu meningkatkan kesejahteraan emosi.
Kesimpulannya, perbuatan menyambut kedatangan bulan Ramadan merupakan deklarasi penerimaan terhadap sebuah sistem kehidupan yang menyatukan wahyu dan rasionaliti. Kedatangannya menurunkan entropi moral, menstabilkan homeostasis diri, mempercepat reaksi perubahan akhlak dan menggandakan nilai kebajikan.
Dalam realiti intelektual yang cenderung memisahkan disiplin agama dengan sains, Ramadan menawarkan model integratif yang mempertemukan kedua-duanya secara konstruktif; menyatukan hukum fizik, dinamik biologi, proses kimia dan prinsip matematik dalam kerangka keimanan yang koheren agar manusia menjadi “saintis jiwa” dengan memerhatikan kembali diri, menguji niat, menilai tindakan dan membetulkan kesilapan secara sistematik.
Ahlan Wasahlan Ya Ramadan!
Penulis merupakan seorang guru penyelaras bagi mata pelajaran Kimia di Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Methodist Kuantan. Beliau banyak menghasilkan penulisan yang menggabungkan wacana sains, khususnya kimia, dengan sastera dan puisi sebagai medium refleksi intelektual dan pembinaan makna.