Diterbitkan pada 13 Februari 2026, 20:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Seminggu terakhir ini menjadi momentum terbaik untuk kita menyusun strategi memburu kebaikan agar setiap saat dalam bulan Ramadan tidak disia-siakan begitu sahaja.

Seminggu terakhir sebelum menjelang bulan Ramadan merupakan waktu yang amat kritikal. Fasa ini akan menentukan sama ada kita akan “memacu kencang di litar ibadah” atau mengalami kejutan budaya yang mengakibatkan kelesuan emosi dan tenaga pada pertengahan bulan tersebut.

Jika para salafussoleh mempersiapkan diri enam bulan lebih awal, maka seminggu terakhir ini menjadi momentum terbaik untuk kita menyusun strategi memburu kebaikan agar setiap saat dalam bulan Ramadan tidak disia-siakan begitu sahaja. Terdapat beberapa langkah persiapan utama yang boleh kita lakukan, antaranya termasuklah:

Pertama: Mengukuhkan Niat dan Membina Strategi Ibadah yang Realistik.

Persiapan mental yang paling utama bukan terletak pada kuantiti, tetapi pada kejernihan niat dan istiqamah amalan. Kita sering kali memasuki gerbang Ramadan dengan semangat yang berkobar-kobar, namun akhirnya tewas pada pertengahan bulan. Hal ini berlaku kerana kita menetapkan sasaran tanpa mengambil kira kapasiti diri.

  • Kualiti Melebihi Kuantiti.

Dalam pemburuan pahala, kualiti ialah perkara yang lebih berharga. Ketika melaksanakan solat tarawih, fokus mental perlu diletakkan pada ketenangan dan penghayatan setiap ayat yang dibaca, bukannya sekadar mengejar jumlah rakaat yang banyak, tetapi dilakukan secara terburu-buru. Minda yang tenang akan melahirkan ketaatan yang mendalam, manakala minda yang tergesa-gesa hanya akan menghasilkan keletihan fizikal tanpa kesan spiritual.

  • Strategi Kemenangan Kecil.

Bagi memastikan momentum mental kekal stabil, kita perlu membahagikan sebuah matlamat besar kepada unit kecil yang mampu dilaksanakan.

    1. Al-Quran: Jika sasaran khatam al-Quran terasa berat, jangan biarkannya menjadi beban mental. Pecahkan kepada sasaran kecil dengan membacanya dua muka surat setiap kali selesai solat fardu. Keberhasilan mencapai sasaran kecil tersebut akan memberikan kesan psikologi yang positif untuk terus konsisten.
    2. Sedekah: Tetapkan satu jumlah kecil, namun konsisten pada setiap hari. Di sisi Allah SWT, amalan yang paling dicintai ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit.
  • Hindari Perangkap Kesempurnaan.

Mental yang sihat akan sedar bahawa terdapat hari yang mencabar seperti kekangan kerja atau keletihan melampau. Persiapan mental adalah untuk melatih diri supaya tetap konsisten pada tahap minimum berbanding dengan berhenti secara terus. Penetapan matlamat yang realistik membina ketahanan mental untuk terus berjuang dalam ibadah sehingga malam terakhir.

Kedua: Seni Memaafkan dan Pembersihan Hati.

Sebelum kita sibuk mengisi “beg pahala” pada bulan Ramadan, pastikan “tabungan” tersebut tidak bocor. Dalam konteks rohani, kebocoran ini sering berpunca daripada hati yang sarat dengan dendam, hasad dengki dan sengketa yang tidak berpenghujung. Mental yang tenang lahir daripada sekeping hati yang lapang.

  • Ramadan sebagai Medan Gencatan Senjata Sanubari.

Persengketaan ialah beban mental yang paling meletihkan. Jadikan seminggu berbaki ini sebagai tempoh “gencatan senjata”. Memasuki Ramadan dengan dendam yang tersimpan, ibarat membawa batu yang berat semasa mendaki gunung, dan hanya akan melambatkan langkah ibadah. Apabila hati bersih daripada kebencian, fokus akan beralih sepenuhnya daripada memikirkan kesalahan orang lain kepada memperbaik diri.

  • Membersihkan Ruang Ibadah Dalaman.

Analoginya mudah, kita tidak menuangkan air zamzam ke dalam gelas berlumpur. Begitu juga dengan limpahan pahala Ramadan yang sukar menetap dalam hati yang kotor.

    1. Audit Hati: Gunakan baki hari yang ada untuk melakukan “audit dalaman”. Adakah masih menyimpan rasa tidak puas hati terhadap ahli keluarga, rakan sekerja atau jiran tetangga?
    2. Langkah Proaktif: Jangan menunggu Syawal untuk memohon maaf. Mulakan sekarang. Menghantar pesanan ringkas atau menelefon untuk menjernihkan hubungan bukan tanda kekalahan, tetapi tanda kekuatan kematangan iman.
  • Hubungan Horizontal Mempengaruhi Hubungan Vertikal.

Dalam Islam, hubungan manusia dengan Pencipta mempunyai perkaitan dengan hubungan sesama makhluk. Hati yang tertutup untuk memaafkan manusia lain akan terasa “sesak” untuk merasai kemanisan bermunajat kepada Allah SWT. Dengan melapangkan dada dan melepaskan segala kekusutan emosi, kita sebenarnya sedang mempermudah urusan dengan Allah SWT. Jadikan tempoh ini sebagai waktu membasuh parut luka dalam hati agar saat Ramadan tiba, jiwa kita sudah terbang tinggi tanpa beban duniawi.

Ketiga: Latihan Mengawal Lisan dan Ketenangan Jiwa.

Puasa bukan sekadar menahan lapar, tetapi peperangan menentang hawa nafsu yang paling sukar dikawal, iaitu amarah dan lisan. Latihan intensif perlu dimulakan agar “otot sabar” tidak terkejut apabila diuji dengan keletihan dan dahaga kelak.

  • Menjaga Pertuturan.

Lidah yang tidak dilatih dengan ucapan yang baik mudah tergelincir ke lembah kelalaian, mengumpat atau mencela. Ibarat baldi yang bocor; penat mengisi pahala puasa, namun habis tumpah dek kata-kata yang menyakitkan hati orang lain. Sebagai permulaan, amalkan prinsip “bercakap yang baik atau diam”. Jika mahu mengulas perkara yang tidak bermanfaat dalam media sosial atau di pejabat, tarik nafas dan pilih untuk berdiam diri.

  • Kesedaran dalam Setiap Tindakan.

Dalam dunia kerjaya, rumah tangga atau kesesakan jalan raya, emosi kita sering diuji. Gunakan tempoh ini untuk mempraktikkan teknik ketenangan menerusi pendekatan yang berikut:

    1. Teknik pernafasan dan zikir: Usah terus bertindak balas tatkala berhadapan dengan provokasi atau tekanan. Gunakan teknik pernafasan dalam sambil beristighfar. Tindakan sedemikian membantu menurunkan paras hormon kortisol dan memberikan ruang kepada otak untuk berfikir sebelum bertindak.
    2. Sedar Diri: Sentiasa ingatkan diri, “Aku sedang mempersiapkan diri untuk Ramadan.” Kesedaran ini bertindak sebagai perisai mental daripada cepat melenting atau marah.
  • Mengurus Reaksi, Bukan Sekadar Emosi.

Perbuatan melepaskan amarah tanpa kawalan merupakan tanda kelemahan mental. Tempoh ini merupakan waktu terbaik untuk menukar reaksi kita. Mulakan latihan memaafkan secara spontan. Transformasi reaksi ini akan memudahkan kita mencapai tahap puasa yang berkualiti, iaitu puasa seluruh anggota badan daripada dosa.

Keempat: “Tempoh Tanpa Digital” dan Reorientasi Fokus.

Dalam dunia yang sarat dengan kerencaman maklumat, cabaran terbesar dalam memburu pahala pada bulan Ramadan ialah gangguan perhatian. Persiapan minggu terakhir ini menuntut kita melakukan “pembersihan ruang”—baik ruang digital mahupun ruang fizikal—supaya minda dapat memberikan fokus sepenuhnya kepada Allah SWT.

  • “Tempoh Tanpa Digital” Membebaskan Jiwa daripada Belenggu Skrin.

Media sosial sering menjadi punca utama kebocoran pahala dan gangguan emosi. Pendedahan yang berlebihan kepada gaya hidup orang lain boleh membibitkan rasa dengki, sikap membanding-bandingkan kehidupan dan amarah.

    1. Puasa Digital Awal: Mulakan latihan dengan mengehadkan masa skrin (screen time), dan kurangkan mengikuti akaun media sosial yang tidak memberikan nilai tambah kepada rohani diri.
    2. Mengurus Emosi: Dengan mengurangkan gangguan luar, kita memberikan ruang kepada mental untuk menjadi lebih tenang dan stabil. Hal ini penting agar minda kita tidak lagi ketagih mencari notifikasi, sebaliknya merindui kalam Tuhan.
  • Menyediakan “Mihrab” Peribadi.

Persekitaran fizikal mempunyai pengaruh besar terhadap kesediaan mental. Psikologi ruang membuktikan bahawa tempat yang bersih dan khusus akan menghantar isyarat kepada otak untuk fokus.

    1. Sudut Ibadah: Kemas satu sudut khas di rumah. Wangikan ruang tersebut, hamparkan sejadah dan pengudaraan yang selesa.
    2. Sauh Mental (Mental Anchor): Apabila kita memasuki ruang tersebut yang disiapkan dengan kelengkapan ibadah, minda secara automatik akan berasa bersedia untuk melaksanakannya dengan terbaik.
  • Reorientasi Fokus: Dari Luaran ke Dalaman.

Tujuan utama “tempoh tanpa digital” dan penyediaan ruang ini adalah untuk memindahkan fokus kita. Jika selama ini mata kita banyak melihat kehidupan orang lain, minggu ini menjadi waktu untuk muhasabah diri sendiri. Fokus yang tajam akan memudahkan kita mencapai sasaran ibadah yang ditetapkan tanpa terganggu oleh godaan dunia digital yang melalaikan.

Kelima: Pelarasan Jam Biologi.

Tujuan utama fasa ini adalah untuk memastikan otak kita kekal tajam dan emosi stabil walaupun waktu tidur berubah pada bulan Ramadan.

  • Anjakan Waktu Tidur Secara Berperingkat.

Usah tunggu malam pertama tarawih baru mahu tidur awal. Anjakkan waktu tidur 15 hingga 30 minit lebih awal. Tindakan ini membantu badan menyesuaikan diri tanpa rasa terpaksa. Apabila tidur menjadi berkualiti, hormon stres lebih terkawal. Kita akan lebih sabar berhadapan dengan kerenah orang sekeliling, dan lebih bertenaga untuk melakukan ibadah.

  • Mempraktikkan Qailulah.

Tidur sebentar (15 hingga 20 minit) sebelum atau selepas waktu Zohor. Menurut kajian, Qailulah sangat berkesan untuk menetapkan semula mental dan memberikan tenaga tambahan untuk bertahan sehingga waktu berbuka.

  • Kawal Pendedahan Cahaya Biru.

Elakkan penggunaan telefon pintar satu jam sebelum tidur. Cahaya biru (blue light) melambatkan penghasilan hormon tidur (melatonin). Gantikan aktiviti skrin dengan membaca buku atau berzikir agar kualiti tidur kita lebih baik.

  • Rutin Bangun Prasahur.

Mula tetapkan untuk bangun satu jam sebelum waktu subuh walaupun kita belum berpuasa. Gunakan waktu ini untuk minum air kosong atau melakukan solat sunat ringkas. Apabila Ramadan tiba, kita tidak lagi rasa malas atau terpaksa bergelut untuk bangun makan sahur.

Keenam: Detoksifikasi Kafein dan Gula Secara Berperingkat.

Tujuannya adalah untuk menetapkan semula sistem saraf supaya mental tidak mengalami kelesuan mendadak ketika bekalan gula dan kafein dipotong secara mengejut pada bulan puasa.

  • Teknik Peralihan Kafein.

Jika anda biasa minum dua cawan kopi sehari, mulakan dengan mengurangkan kepada satu cawan, atau campurkan kopi biasa dengan kopi tanpa kafein (decaf). Langkah ini membantu otak belajar berfungsi tanpa lonjakan hormon adrenalina yang tinggi.

  • Kawal Gula Tersembunyi.

Kurangkan pengambilan minuman manis dan pencuci mulut. Lebihan gula menyebabkan paras insulin naik turun dengan mendadak, lantas mengundang rasa cepat letih dan perubahan emosi (mood swing). Gantikan dengan gula semula jadi seperti kurma atau buah-buahan untuk tenaga yang lebih stabil.

  • Hidratkan Otak dengan Air Kosong.

Otak yang kekurangan air akan cepat mengalami stres. Amalkan minum air kosong secara konsisten dua hingga tiga liter sehari sebelum Ramadan bermula. Sel otak yang terhidrat dengan baik lebih mudah mengawal emosi berbanding dengan otak yang “kering”.

Mengapakah Persediaan Ini Penting untuk Mental?

Tanpa langkah “pemanasan” sebegini, kita berisiko mengalami Sindrom Sarak (Withdrawal Syndrome) pada awal Ramadan yang mengakibatkan iritabiliti (cepat marah dan kurang sabar dengan orang sekeliling), keletihan mental (malas untuk membaca al-Quran atau fokus dalam solat), dan gangguan fokus (sukar untuk kekal produktif di tempat kerja). Persediaan mental yang rapi menjadi bukti kesungguhan cinta kita kepada Allah SWT. Semoga Ramadan pada tahun ini menjadi madrasah terbaik untuk kita meraih darjat ketakwaan yang sejati.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi