Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBukit Mertajam – Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim mencadangkan agar setiap masjid menubuhkan jawatankuasa khas belia bagi memberikan ruang kepada pelibatan anak muda secara lebih terancang dan bermakna.
Menurut beliau, pendekatan sedemikian telah dilaksanakan oleh masjid di Cherok Tok Kun yang menyediakan ruang kepada golongan belia untuk menganjurkan kelas dan aktiviti khusus berdasarkan keperluan serta minat mereka, asalkan mematuhi peraturan yang ditetapkan.
“Apabila kita beri ruang kepada anak muda untuk mengadakan kelas dan kegiatan khas mereka sendiri asalkan mengikut peraturan yang dipersetujui, barulah masjid itu benar-benar dapat diimarahkan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Masjid Jamek Kubang Ulu pada Sabtu.
Bersempena perasmian masjid berkenaan, Anwar mengingatkan ahli kariah tidak terhenti setakat pembinaan masjid yang megah, sebaliknya perlu diteruskan dengan usaha mengimarahkannya.
“Mudah-mudahan jawatankuasa masjid meneruskan amanah ini supaya dapat memperkasakan peranan masjid sebagai pusat penyatuan umat, pencerahan pemikiran, pengukuhan akidah, pembaikan akhlak serta pembentukan generasi yang memiliki asas akidah dan akhlak,” katanya.
“Bagi saya, masjid perlu didirikan atas asas takwa, dan inilah keutamaan yang harus dijaga,” tambah beliau.
Sementara itu, Anwar menerusi kenyataannya di laman Facebook berkata, institusi masjid merupakan teras pembinaan insan yang menghidupkan iman, menyuburkan tradisi ilmu serta membentuk akhlak dan adab dalam kehidupan bermasyarakat.
“Dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara yang berbilang kaum, agama dan budaya, masjid harus berfungsi sebagai jambatan perpaduan, bukannya tembok pemisah.
“Peranan ini tidak menuntut pengorbanan prinsip atau pencairan akidah, sebaliknya menzahirkan wajah Islam yang sebenar berteraskan akhlak, ihsan dan kebijaksanaan,” ujarnya.
Tegas beliau, perkauman sempit dan sentimen kebencian tidak pernah menjadi ajaran agama.
“Islam tidak mengizinkan permusuhan sesama manusia, apatah lagi sikap melampau yang lahir daripada kefahaman sempit, jumud dan kolot sehingga merosakkan keharmonian serta mencarik perpaduan rakyat.
“Kerajaan akan terus memperteguh syiar Islam di negara ini dengan memelihara kesuciannya, memperkasakan institusi masjid dan memastikan Islam kekal sebagai sumber rahmah, keadilan serta penyatuan dalam pembentukan masyarakat dan negara yang beradab,” katanya.
Majlis perasmian tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Yang Berhormat (YB) Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid; Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Pengerusi Kariah Masjid Jamek Kubang Ulu, YBrs. Tuan Haji Mohd Halid Haji Othman.