Diterbitkan pada 22 Januari 2026, 17:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bentong – Kerajaan persekutuan menyalurkan peruntukan sebanyak RM100,000 kepada Sekolah Agama Rakyat KAFA Saidatina Aisyah, Taman Harmoni bagi menampung perbelanjaan operasi sekolah, kerja penambahbaikan fizikal serta pengukuhan pembelajaran.

Perkara tersebut diumumkan oleh Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika berucap dalam Majlis Ramah Mesra Bersama Sekolah Agama Rakyat KAFA Saidatina Aisyah yang berlangsung di sekolah berkenaan pada Khamis.

Menurut beliau, pihak kerajaan terus memberikan keutamaan terhadap usaha memperkukuh syiar Islam, termasuk pembangunan institusi pendidikan agama yang menjadi asas pembentukan jati diri dan akhlak generasi muda.

“Dengan keadaan ekonomi negara yang semakin rancak dan berkembang, serta perencanaan kita, kerajaan menambah peruntukan kepada RM2.6 bilion bagi memperkukuh syiar Islam.

“Jumlah ini termasuk pertambahan RM200 juta yang diperuntukkan khusus kepada sekolah agama rakyat yang daif, dan perkara ini akan diteliti melalui Pegawai Daerah serta Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) bagi mengenal pasti keperluan sebenar, termasuk pusat pengajian ini,” katanya.

Dalam ucapannya, Anwar menegaskan bahawa institusi Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) perlu didukung kerana kewujudannya menyediakan asas pendidikan yang kukuh kepada kanak-kanak, khususnya dalam pembinaan akidah, akhlak dan nilai.

Ujar beliau, gagasan Malaysia MADANI berpaksikan nilai ihsan yang berteraskan keimanan serta ajaran Islam, bukan sekadar teori atau falsafah manusia semata-mata.

“Sebab itulah saya hadir ke sekolah agama rakyat ini walaupun singkat.

“Saya terharu melihat tekad pengasas dan rakan lama yang berjaya membangunkan satu program pendidikan yang amat bermakna,” jelas beliau.

Mengulas kepentingan pendidikan, beliau menambah meskipun penguasaan politik, ekonomi dan teknologi amat penting, asas semua perkara itu ialah ilmu.

“Al-Quran menjadi sumber ilmu, hikmah dan kekuatan dalam kehidupan,” katanya.

Sementara itu, beliau menerusi suatu kenyataan di laman Facebook rasminya berkata pusat pendidikan seperti KAFA Saidatina Aisyah merupakan sebahagian daripada inisiatif Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) sebelum ini bagi memenuhi keperluan asas agama pada peringkat awal, sekali gus menjadi akar pembentukan generasi muda yang mempunyai jati diri.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat (YB) Senator Dr. Zulkifli Hasan; Menteri Ekonomi, YB Tuan Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Kredit Foto: Pejabat Perdana Menteri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi