Diterbitkan pada 22 Januari 2026, 10:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Islamic Relief (IR) Malaysia berhasrat untuk memperluas bantuan kemanusiaannya pada tahun ini secara lebih strategik dan mampan.

Menurut pihaknya, perancangan tersebut tertumpu pada agihan bantuan bulan Ramadan dan ibadah korban, bantuan kecemasan bencana, projek kehidupan mampan seperti hidroponik, keusahawanan, pelaksanaan projek pendidikan serta program kesukarelawanan yang berterusan.

Selain itu, IR Malaysia memaklumkan bahawa hal berkenaan turut merangkumi keutamaan bantuan musim sejuk di kawasan Timur Tengah yang berisiko tinggi, projek air, sanitasi dan kebersihan (WASH), di samping pengukuhan sokongan kesihatan serta pendidikan anak yatim dan keluarga terbabit pada peringkat antarabangsa.

“Seiring pertumbuhan industri sektor ketiga dalam negara, IR Malaysia menyatakan sokongan penuh terhadap penubuhan badan pemantau bebas seperti Suruhanjaya Kebajikan bagi memperkukuh tadbir urus, ketelusan dan akauntabiliti organisasi kebajikan dan kemanusiaan di negara ini,” katanya dalam suatu kenyataan pada Rabu.

“Memasuki tahun ke-22 operasi di Malaysia dan bernaung di bawah tadbir urus IR Worldwide, IR Malaysia komited untuk terus menyumbang kepakaran dan amalan terbaik demi membina sektor kemanusiaan yang profesional, mampan serta berdaya tahan selari dengan agenda kemanusiaan 2026,” ujarnya.

JeIas IR Malaysia, pihaknya akan terus berdiri sebagai organisasi kemanusiaan yang berprinsip, diyakini dan berkesan demi memastikan dunia yang lebih prihatin dan adil dapat diwujudkan.

Tambah pihaknya, sejak penubuhannya pada tahun 1984, IR sentiasa menitikberatkan amalan tadbir urus yang baik dengan penekanan yang jelas terhadap akauntabiliti dan ketelusan dalam pengurusan sumbangan dana awam.

“Setiap projek bantuan dilaksanakan melalui rangkaian pejabat IR pada peringkat negara dengan setiap transaksi kewangan tertakluk kepada proses kelulusan, pemantauan dan kawalan ketat oleh ibu pejabat IR Worldwide sebelum dana disalurkan kepada pejabat lapangan di negara operasi lain.

“Dalam melaksanakan mandat kemanusiaannya, IR berpegang teguh pada prinsip berkecuali, tidak berpihak dan bebas daripada sebarang pengaruh politik, serta komited menyampaikan bantuan secara adil, berprinsip dan berterusan selaras dengan mandat kemanusiaan jangka panjangnya,” tegasnya.

Dalam perkembangan lain, IR Malaysia telah memberikan manfaat kepada 36 793 orang individu dalam negara menerusi pelbagai inisiatif bantuan, selain membantu sebanyak 49 450 orang pada peringkat antarabangsa, meliputi bantuan kecemasan di Gaza dan Aceh, projek WASH di Bangladesh, Somalia dan Syria pada tahun lalu.

Ujarnya lagi, sebagai sebuah organisasi kemanusiaan antarabangsa, IR beroperasi di bawah pemantauan struktur tadbir urus global oleh Perhimpunan Agung Antarabangsa sebagai badan tertinggi bagi memastikan akauntabiliti dan pengawasan menyeluruh.

Komitmen ini diperkukuh melalui pematuhan Piawaian Teras Kemanusiaan, keahlian penuh Piagam Akauntabiliti Pertubuhan Bukan Kerajaan Antarabangsa, serta pematuhan Kod Tatakelakuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa.

Pada masa yang sama, IR diaudit secara berkala oleh Grant Thornton dan dipantau oleh Suruhanjaya Kebajikan United Kingdom bagi menjamin ketelusan dan akauntabiliti berterusan.

“Setiap sumbangan awam diurus secara telus, berintegriti dan bertanggungjawab melalui proses audit yang ketat supaya bantuan disalurkan kepada mereka yang memerlukan dengan bermaruah dan berimpak tinggi,” katanya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi