Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBagan Datuk – Dalam usaha memperkasakan ekosistem pendidikan tahfiz negara, pelaksanaan Standard Pengiktirafan Tahfiz Malaysia (SPTM) bakal bermula secara berperingkat di seluruh negara pada tahun hadapan.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, standard berkenaan berfungsi sebagai mekanisme penilaian menyeluruh yang merangkumi aspek tadbir urus, kurikulum, prasarana, kebajikan pelajar serta pembangunan profesional guru.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan sempena Himpunan Huffaz 2025 dan Simfoni Dakwah Nusantara di Masjid Tuminah Hamidi pada Ahad.
“Pendekatan menyeluruh ini melibatkan kerjasama strategik antara kerajaan persekutuan, kerajaan negeri, pihak berkuasa agama negeri, institusi pengajian tinggi serta rakan strategik lain,” ujarnya.
Sementara itu, Sekretariat Himpunan Huffaz 2025 dan Simfoni Dakwah Nusantara memaklumkan bahawa institusi yang mencapai prestasi cemerlang berpandukan SPTM akan diberikan pengiktirafan dan insentif sebagai galakan kepada amalan terbaik.
“Dalam konteks pengukuhan ekosistem sokongan, kerajaan menyalurkan peruntukan sebanyak RM150 juta pada tahun 2025 bagi tujuan penyelenggaraan dan penaiktarafan prasarana institusi pendidikan Islam termasuk institusi tahfiz di seluruh negara.
“Skim Pembiayaan Huffaz (SPH) dengan peruntukan RM7 juta setahun terus disediakan bagi membuka peluang kepada para hafiz melanjutkan pengajian pada peringkat lebih tinggi, sama ada di dalam mahupun di luar negara,” katanya.
Tambahnya lagi, program tersebut memperkukuh tradisi tahfiz negara dengan pendekatan dakwah, kesenian Islam, kerjasama serantau serta pelibatan strategik agensi kerajaan.
“Sehingga Oktober 2025, Sistem Maklumat Pendidikan Islam merekodkan sebanyak 10 081 orang guru dan 61 494 orang pelajar tahfiz berdaftar di seluruh negara dengan melibatkan 1401 buah institusi.
“Data ini mencerminkan keyakinan masyarakat terhadap pendidikan tahfiz, di samping menuntut usaha berterusan untuk memastikan institusi ini kekal relevan dengan keperluan semasa negara,” jelasnya.
Pihaknya turut menyatakan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Darul Quran berjaya melahirkan 12 597 orang alumni yang kini menyumbang dalam pelbagai sektor termasuk pendidikan, dakwah, perkhidmatan awam, profesional dan keusahawanan.
“Kerajaan turut memperkukuh ekosistem pendidikan tahfiz melalui pembangunan Model Pengajian Tahfiz Malaysia, merangkumi Tahfiz Turath, Tahfiz Akademik, Tahfiz Kemahiran dan Tahfiz Intervensi.
“Inisiatif ini membuka laluan pendidikan lebih luas kepada pelajar tahfiz, termasuk integrasi dengan pendidikan tinggi serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET),” tegasnya.
Katanya, sehingga November 2025, sebanyak 2327 orang pelajar tahfiz mengikuti program Tahfiz TVET melalui pelbagai inisiatif seperti Techno-Huffaz, Huffaz Profesional Ulul Albab dan TVET Tahfiz.
“Pendidikan tahfiz tidak lagi dilihat dalam kerangka tradisional semata-mata, sebaliknya berperanan sebagai pemangkin pembangunan masyarakat dan negara melalui penggemblengan ilmu, kemahiran dan nilai rabbani,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, majlis tersebut turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan jabatan agama Islam negeri, institut pengajian tinggi dan institut kemahiran sebagai langkah strategik ke arah usaha pemerkasaannya.
Penganjuran Himpunan Huffaz 2025 dan Simfoni Dakwah Nusantara merupakan wadah penyatuan para hafiz, pendakwah, asatizah dan penggiat al-Quran dari seluruh negara serta rantau Nusantara.
Bertemakan “Warisan Qurani, Membina Generasi Rabbani”, inisiatif ini mencerminkan iltizam kerajaan memartabatkan al-Quran sebagai asas pembinaan negara yang sejahtera, berakhlak dan berdaya tahan.
Majlis berkenaan turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat (YB) Senator Dr. Zulkifli Hasan; Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir; Ketua Pengarah JAKIM, YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee; Pegawai Daerah Bagan Datuk, Orang Besar Jajahan Bagan Datuk, Ketua Polis Daerah Bagan Datuk serta Presiden Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Kebangsaan.