Diterbitkan pada 18 Disember 2025, 22:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Program bicarawara agama, Forum Perdana Ehwal Islam yang bersiaran pada Khamis mengupas peranan bahasa kebangsaan dengan adab yang baik berupaya membentuk sebuah masyarakat beretika dan berperadaban.

Perkongsian forum berkenaan turut memperlihatkan kehalusan bahasa Melayu menjadi manifestasi nilai murni, etika, rasa hormat dan rendah diri seseorang individu, selain berfungsi sebagai wadah perpaduan dan jati diri negara.

Forum bertajuk “Kurik Kundi Merah Saga” anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur dengan kerjasama Radio Televisyen Malaysia dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia itu, bersiaran secara rakaman di Lembah Sireh, Kota Bharu bersempena dengan Karnival Lestari Bahasa (LESTARI) 2025 pada 23 Oktober lalu.

Selain itu, program tersebut menampilkan gandingan tokoh agamawan tersohor tanah air sebagai ahli panel, iaitu Dekan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, YBhg. Profesor Dato’ Dr. Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim; Ahli Lembaga Pemegang Amanah YADIM, Dr. Fatimah Syarha Mohd Noordin dan pendakwah bebas, Ustaz Ahmad Izzhar Ahmad Nazri.

Dalam sesi perkongsian forum tersebut, Dr. Mohd Izhar berkata, bahasa Melayu wajar dibanggakan dan terus dimartabatkan kerana keberadaannya mengangkat maruah bangsa serta menjadi simbol kejayaan sebuah negara yang merdeka.

Ungkapan “kurik kundi merah saga” menurutnya, kepentingan mendidik budi dan bahasa sejak awal usia dan sokongan institusi pendidikan membangunkan kekuatan dalaman individu.

Jelasnya, mukjizat fasahat al-kalam (kefasihan kata) pada Rasulullah SAW membuktikan keindahan dan ketepatan pertuturan yang sarat dengan makna memberikan pengaruh yang besar sehingga menjadi kaedah fiqh dalam penentuan hukum.

“Binalah adab dan pelajarinya dari rumah kerana adab membentuk keperibadian seseorang, manakala ilmu pula mematangkan fikiran,” kata beliau dalam perkongsiannya.

Sementara itu, Ahmad Izzhar pula merujuk dapatan kajian Universiti Malaya pada tahun 2023 yang mendedahkan bahawa sebahagian daripada pelajar universiti beranggapan penggunaan bahasa Inggeris melambangkan tahap pendidikan dan profesionalisme yang lebih tinggi.

Tegas beliau, berpunca daripada kecenderungan generasi muda meniru kelompok yang dikagumi atau dikenali dalam ilmu psikologi sebagai language prestige bias, hasil pendedahan meluas kepada media sosial dan platform digital.

“Bahasa bukan sekadar alat komunikasi, sebaliknya medium untuk menyampaikan kasih sayang sebagaimana nasihat Rasulullah SAW yang terus kekal dalam kehidupan kita pada hari ini walaupun Baginda telah wafat lebih 1400 lalu,” ujarnya.

“Fahaman ‘mulut jahat, hati baik’ pada hakikatnya tidak wujud kerana tutur kata yang terpacul daripada mulut berpunca daripada hati,” tambahnya lagi.

Oleh itu, beliau mengingatkan masyarakat khususnya golongan muda yang memiliki pengetahuan yang tinggi agar memperkukuh adab dan tidak terjerumus dalam sikap sombong intelektual atau intellectual arrogance.

“Pertuturan orang beriman terdiri daripada dua pilihan, iaitu berkata-kata baik atau diam,

“Diam bukan tanda suatu kelemahan, sebaliknya mampu menenangkan dan melapangkan hati,” jelasnya.

Dalam pada itu, Dr. Fatimah Syarha menyatakan bahawa kepelbagaian bahasa merupakan tanda kebesaran Allah SWT untuk manusia saling mengenal antara satu dengan lain.

Namun demikian, beliau memaklumkan bahawa proses saling mengenali itu menuntut kewujudan identiti yang jelas, dan dalam konteks Malaysia, bahasa Melayu berperanan sebagai asas penyatuan.

“Peruntukan bahasa Melayu dalam perlembagaan menjadi amanah dan janji kemerdekaan kita sebagai rakyat yang memiliki identiti yang jelas supaya kita dapat saling memahami dan bekerjasama,” tegasnya.

Mengulas isu semasa, Dr. Fatimah Syarha menzahirkan kebimbangan terhadap bahaya fitnah dalam era kecerdasan buatan dan dunia digital tanpa sempadan, khususnya akibat salah tafsir dan penyebaran maklumat tanpa tabayyun.

“Bahasa yang santun dan beradab merupakan pintu kepada pembinaan ketamadunan yang luhur, manakala bahasa kasar dan tidak terkawal menjadi punca budaya buli, kecaman dan kerosakan sosial,” katanya.

Bagi beliau, masyarakat perlu kembali kepada panduan al-Quran dan teladan Rasulullah SAW dalam amalan pertuturan serta menyantuni kesilapan, khususnya ketika mendidik generasi muda.

Didikan melalui bahasa yang penuh hikmah Rasulullah SAW terhadap para sahabat seperti Anas bin Malik r.a. dan Umar bin Abi Salamah r.a., dibesarkan dengan teladan kasih sayang dan adab mulia sehingga melahirkan generasi yang mencintai perjuangan Baginda.

Kredit Foto: Ihsan RTM
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi