Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Peranan mutawali wakaf atau dikenali sebagai nazir khas wakaf dalam negara perlu diperkasakan bagi menggiatkan lagi pengurusan aset wakaf secara menyeluruh dan berkesan.
Timbalan Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Datuk Amar Haji Fadillah Haji Yusof berkata, Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) serta ahli akademik disarankan untuk meneliti isu berkenaan secara mendalam.
Menurut beliau, kerangka perundangan sedia ada ketika ini memperuntukkan MAIN sebagai pemegang amanah tunggal harta wakaf, selain dibenarkan untuk melantik mana-mana badan menjadi pengurus dan pelaksana aktiviti wakaf.
“Model yang dibangunkan oleh Majlis Islam Negeri Johor (MAINJ) melantik Waqaf An-Nur sebagai nazir khas bagi menguruskan pewakafan saham kumpulan Johor Corporation (JCORP),” katanya ketika berucap merasmikan program Muakarah Waqaf 1.0 di Royale Chulan Kuala Lumpur pada Khamis.

“Selaras dengan aspirasi ekonomi MADANI, kerajaan berhasrat menjadikan wakaf sebagai sektor ketiga ekonomi negara dengan sasaran yang menyumbang 10 peratus kepada sektor kewangan sosial Islam menjelang tahun 2030,” katanya lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan bahawa Pelan Induk Wakaf Nasional (PIWN) kini berada pada fasa akhir penyediaannya dan akan dilancarkan dalam masa terdekat sebagai kompas utama yang memandu hala tuju pembangunan wakaf negara.
Ujar beliau, gerakan memperkasakan wakaf perlu digerakkan secara menyeluruh melalui gabungan kepakaran dan kerjasama pelbagai pihak.
“Usaha untuk mengarusperdanakan wakaf harus diteruskan menerusi pelbagai instrumen kewangan inovatif seperti dana dagangan bursa (ETF) berasaskan wakaf, parallel waqf (wakaf selari), wakaf sukuk ataupun takaful mikro dan bank komoditi berteraskan wakaf.
“Inisiatif ini bukan sahaja memperkukuh ekosistem wakaf negara, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi umat yang mapan dan terangkum,” tambahnya.
Fadillah menegaskan bahawa instrumen wakaf perlu digerakkan dengan lebih agresif, strategik dan bersifat sofistikated agar umat Islam tidak terus ketinggalan ketika menghadapi cabaran ekonomi semasa.
“Daripada sistem wakaf yang matang, kita mampu membanteras penyakit ketaasuban terhadap gaya kapitalisme yang menjangkiti banyak negara Islam.
Beliau menjelaskan bahawa pengaruh sistem kapitalisme melebarkan jurang antara si kaya dengan si miskin, serta menimbulkan kezaliman terhadap golongan rentan dalam sistem ekonomi yang tidak seimbang.
Selain itu, beliau turut mengingatkan bahawa kebergantungan sepenuhnya kepada kerajaan atau sektor swasta bukanlah penyelesaian mutlak kerana kedua-dua sektor itu mempunyai kekangan dari segi pulangan ekuiti, prestasi, kedudukan kewangan dan risiko pelaburan.
Sebaliknya, kata beliau, sektor ketiga seperti sedekah, infak dan wakaf mempunyai sifat yang lebih dinamik dan lestari.
“Wakaf korporat yang berkembang pesat pada hari ini hasil gabungan kepakaran, tadbir urus yang cemerlang, pengurangan birokrasi serta objektif yang jelas,” ujarnya.
Kata beliau, instrumen wakaf sentiasa memerlukan sentuhan keberanian para ulama untuk berijtihad supaya fatwa yang dikeluarkan sentiasa relevan dengan keadaan zaman, seterusnya membuahkan hasil yang signifikan.
“Melalui sistem wakaf yang tersusun, pelbagai ruang dan peluang baharu dapat diwujudkan, termasuk dalam bidang keusahawan, penjanaan pekerjaan, jaminan sumber makanan, pendidikan berkualiti, kesihatan serta pembangunan ekonomi yang mampan dan lestari,” katanya.
Dalam majlis yang sama, beliau turut melancarkan buku Waqaf An-Nur 25 Tahun bersempena dengan sambutan jubli perak institusi wakaf berkenaan pada tahun ini.
