Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangFalsafah ilmu kimia hakikatnya mengajar manusia untuk memahami takdir diri mereka. Setiap tindak balas, sama ada di dalam tabung uji atau dalam hati, mengandungi hikmah besar yang mendidik manusia untuk insaf, reda dan yakin bahawa setiap tenaga kebaikan tidak akan pernah musnah.
Ada saat dalam hidup, kita ingin mengawal segalanya sama ada keputusan, perasaan, bahkan hasil daripada setiap usaha yang kita curahkan. Namun begitu, dunia ini tidak selalu tunduk menurut kehendak manusia. Sama seperti dalam falsafah hukum kimia, alam juga berfungsi mengikut prinsipnya sendiri. Di situlah tersingkap keinsafan bahawa sains dan kehidupan bukanlah dua garis yang terpisah, sebaliknya saling bertaut bawah hikmah yang sama.
Tenaga Tidak Pernah Hilang
Hukum Termodinamik Pertama menyatakan bahawa tenaga tidak dapat dicipta atau dimusnahkan, tetapi hanya berubah bentuk. Tenaga haba boleh bertukar menjadi tenaga cahaya atau tenaga kinetik di dalam makmal.
Dalam kehidupan pula, barangkali perubahan itu hadir dalam bentuk yang lebih halus seperti keletihan bertukar menjadi sebuah kekuatan, kehilangan menjadi pengalaman dan luka menjadi hikmah. Begitu juga kasih sayang yang tidak pernah hilang. Mungkin sifat ini mampu berubah menjadi doa, kenangan atau semangat untuk kita berbuat lebih baik.
Apabila seorang guru mendidik dengan ikhlas, tenaga itu tidak akan lenyap walaupun murid telah meninggalkan sekolah. Keadaannya terus bergetar dalam setiap denyut nadi tindakan murid tersebut melalui pendekatan berbicara, membantu atau memberikan inspirasi kepada orang lain. Hal ini juga sebahagian daripada bentuk tenaga, cuma tidak diukur dengan alat kalorimeter, tetapi dengan hati.
Ilmu kimia mengajarkan keinsafan kepada kita bahawa setiap usaha walaupun kecil, tidak akan hilang dengan sia-sia. Kesungguhan yang dikerjakan selama ini hanyalah bertukar bentuk. Kadangkala usaha itu menjadi hasil nyata dan ada kalanya menjadi ketenangan batin.
Entropi dan Ketidakteraturan Hati
Hukum Termodinamik Kedua memperkenalkan konsep entropi, iaitu kecenderungan semula jadi sesuatu sistem menuju ketidakteraturan. Dalam dunia nyata, hal ini dapat dilihat menerusi fenomena ais yang mencair, logam yang berkarat atau tenaga yang tersebar tanpa arah.
Walau bagaimanapun, “entropi” dalam kehidupan manusia hadir dalam bentuk yang berbeza seperti hati yang serabut, hubungan yang renggang dan impian yang kabur. Kita berusaha mengekalkan “susunan” kehidupan, tetapi masa dan ujian sering membawa ketidakteraturan yang tidak dapat dielakkan.
Keinsafan lahir apabila kita menyedari bahawa tidak semua kekusutan perlu dilawan. Dalam alam, setiap sistem pada akhirnya akan mencari keseimbangan baharu. Air mendidih bukan kerana ingin melawan panas, tetapi sedang mencari keadaan stabil yang baharu. Umpama hati manusia sesekali perlu “mendidih” dengan ujian agar akhirnya menemukan ketenangan.
Keinsafan bukan tanda menyerah kalah, tetapi bukti kematangan untuk belajar reda dengan sesuatu ketentuan, sama seperti tindak balas kimia yang mencapai equilibrium (keseimbangan dinamik). Kita juga perlu menerima bahawa hidup ini bukan tentang menang atau kalah, tetapi mencari keseimbangan antara usaha dengan tawakal.
Tenaga Bebas Gibbs: Antara Kehendak dengan Takdir
Dalam termodinamik, Tenaga Bebas Gibbs (G) menentukan sama ada sesuatu tindak balas berlaku secara spontan atau tidak. Jika nilai G negatif, tindak balas berlaku secara sendiri seperti besi yang berkarat atau larutan gula di dalam air. Namun begitu, sekiranya nilai G adalah positif, tenaga tambahan diperlukan untuk memulakannya.
Hidup juga begitu. Ada perkara yang berlaku tanpa kita rancang. Sebagai contoh, rezeki yang datang secara tiba-tiba atau jodoh yang hadir dalam diam. Selain itu, terdapat juga situasi yang memerlukan “tenaga tambahan” melalui doa, usaha dan keberanian. Tidak hairanlah jika Tuhan menangguhkan “tindak balas” kerana suhu hati kita belum sesuai.
Keinsafan lahir apabila kita menyedari bahawa tidak semua perkara yang lambat itu, sia-sia. Dalam ilmu kimia, sifat pemangkin mempercepat tindak balas tanpa mengubah hasil akhirnya. Sabar dalam kehidupan dianggap sebagai pemangkin yang tidak mengubah takdir, tetapi mempercepat ketenangan untuk menerimanya.
Eksperimen Keinsafan
Eksperimen mudah seperti proses peneutralan asid dengan larutan alkali, dengan titisan natrium hidroksida ditambahkan perlahan-lahan ke dalam asid hidroklorik, warna penunjuk fenolftalein mula berubah daripada merah jambu kepada jernih. Pada titik itu, nilai pH menjadi tujuh, iaitu neutral yang menandakan keseimbangan mula tercapai.
Begitulah hati manusia. Ada kalanya terlalu “asid” dengan amarah, dendam atau kecewa. Kita memerlukan “bes” berupa kasih sayang, sabar dan kemaafan untuk meneutralkannya. Dalam kimia, proses peneutralan menghasilkan garam dan air, iaitu dua bahan yang menenangkan, menyembuhkan dan mengekalkan kehidupan.
Dalam kehidupan pula, hasilnya ialah reda yang sememangnya tidak mengubah apa-apa yang berlaku, namun berupaya menenangkan jiwa yang bergolak. Bukankah keadaan itu juga sejenis tindak balas? Tindak balas spiritual yang melahirkan keseimbangan dalaman?
Kehidupan sebagai Makmal Terbesar
Makmal sebenar bukan hanya ruang berdinding jubin, berbatu bata dan berbau asid sulfurik, makmal sejati merupakan kehidupan itu sendiri, tempat manusia menjalani eksperimen terhadap emosi, kepercayaan dan pilihan.
Kita menimbang “mol” keputusan pada setiap hari, sama ada harus bertindak atau menunggu; memaafkan atau terus marah; memberi atau menyimpan. Kadangkala tindak balasnya gagal. Sebagaimana dalam eksperimen, kegagalan itu sendiri merupakan data berharga yang menunjukkan bahawa perkara yang tidak menjadi, hakikatnya mendekatkan kita kepada kebenaran.
Ilmu kimia mengajar kita bahawa setiap tindak balas melibatkan faktor dan keadaan tertentu untuk berlaku seperti suhu, tekanan, kepekatan, masa dan kehadiran pemangkin. Begitu juga hidup, setiap doa, usaha dan cinta memerlukan waktu yang tepat untuk menjadi hasil yang indah.
Menemukan Tuhan dalam Atom
Dalam zarah sekecil proton, neutron dan elektron, terserlah kebesaran Ilahi yang menakjubkan. Setiap pergerakan partikel itu tunduk pada hukum yang sama sejak alam diciptakan. Tiada kekacauan dalam ciptaan-Nya, hanya kita yang kadangkala gagal membaca keteraturannya.
Sains tidak pernah menolak Tuhan, sebaliknya ilmu tersebut mencari jejak-Nya dalam struktur dan hukum alam. Tatkala kita memahami ilmu kimia, kita sedang belajar memahami hikmah tentang cara sesuatu perkara mengalami perubahan, mencapai keseimbangan dan asal tenaga kehidupan itu sendiri.
Kesedaran ini membangkitkan keinsafan bahawa manusia juga sebahagian daripada tindak balas besar alam semesta ini. Kita mungkin hanya zarah yang kecil, tetapi bergerak dalam sistem yang teratur.
Keseimbangan dan Reda
Hukum termodinamik bukan sekadar membicarakan haba atau tenaga, tetapi perjalanan kehidupan manusia itu. Aturannya mengajar kita bahawa:
Falsafah ilmu kimia hakikatnya mengajar manusia untuk memahami takdir diri mereka. Setiap tindak balas, sama ada di dalam tabung uji atau dalam hati, mengandungi hikmah besar yang mendidik manusia untuk insaf, reda dan yakin bahawa setiap tenaga kebaikan tidak akan pernah musnah.
Dalam erti kata lain, keindahan makna ilmu kimia terletak pada kesedaran bahawa segala peristiwa yang berlaku dalam hidup merupakan reaksi yang telah diseimbangkan oleh Allah SWT sejak azali. Tugas kita hanya perlu menghayati dan belajar menyelami persamaannya dengan hati yang jernih dan jiwa yang tenang.
Penulis merupakan seorang guru penyelaras bagi mata pelajaran Kimia di Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Methodist Kuantan.