Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangGlobal Sumud Flotilla (GSF) bangkit sebagai armada kemanusiaan antarabangsa, merentasi lautan dengan semangat sumud, iaitu keteguhan untuk menolak penindasan. Dalam setiap deruan ombak yang dilalui, kumpulan GSF membawa harapan dunia untuk menembusi tembok sekatan Gaza, seakan-akan menyatakan bahawa ketabahan rakyat Palestin merupakan denyut nadi yang tidak akan pernah terhenti sekalipun dihalang oleh sekatan, dilanda derita atau cuba dihapuskan oleh kezaliman.
Misi GSF pada kali ini menunjukkan betapa jahatnya kumpulan rejim Zionis apabila mereka menyebarkan fitnah terhadap GSF dengan mendakwa misi mereka dinaungi oleh pasukan Hamas, sedangkan GSF begitu jelas merupakan satu misi kemanusiaan yang tidak membawa sebarang senjata untuk berperang, kecuali mempertahankan diri apabila diperlukan.
Kita juga dapat melihat sokongan besar penduduk di seluruh dunia, antaranya termasuklah Sepanyol dan Itali yang mengambil keputusan menghantar kapal perang bagi melindungi GSF selepas berlaku serangan dron berhampiran perairan Greece yang mengakibatkan kerosakan terhadap beberapa buah kapal misi GSF. Dukungan daripada komuniti global merangkumi negara Islam dan kebanyakan negara Eropah yang semakin meluas dengan komuniti bukan Islam turut menunjukkan solidariti terhadap nasib rakyat Gaza di Palestin.
Tindakan ini membuktikan realiti yang berlaku dalam geopolitik dunia pada ketika ini, khususnya ketika Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) yang berlangsung baru-baru ini, agar memberikan fokus dan perhatian kepada keganasan teruk yang dilakukan oleh Israel terhadap rakyat Palestin.
Pada masa yang sama, langkah berani Turkiye dan Mesir yang memulakan latihan ketenteraan bersama, yang dinamakan Latihan Khas Operasi Laut Persahabatan Turkiye-Mesir di lautan Mediterranean Timur, secara tersiratnya sebagai langkah menyokong GSF.
Berdasarkan perkongsian oleh seorang daripada ahli misi dalam media sosial, langkah ini bertujuan sebagai suatu naratif yang dibina bersama oleh Mesir dan Turkiye sebagai alasan memantau GSF. Oleh itu, sekiranya Israel melancarkan serangan, maka Turkiye dan Mesir boleh memintas serangan tersebut atas dasar keselamatan terhadap pasukan tentera negara mereka.
Antara matlamat utama misi GSF termasuklah menghantar makanan, susu, air bersih dan ubat-ubatan kepada penduduk Gaza. Pada peringkat global, misi GSF turut disertai oleh tokoh berpengaruh, antaranya termasuklah aktivis alam sekitar, Greta Thunberg; aktivis hak asasi manusia Jerman, Yasemin Acar; Ahli Parlimen Poland, Franciszek Wojciech; dan cucu kepada bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela, iaitu Nkosi Zwelivelile Mandela. Oleh itu, misi GSF menjadi lambang kehebatan solidariti dan ketabahan serta semangat kemanusiaan yang merentasi agama, bangsa dan negara.
Di sebalik sokongan yang begitu meningkat dari seluruh dunia, hal tersebut membuktikan solidariti global terhadap Palestin, malah beberapa negara Barat termasuklah United Kingdom buat pertama kali mengiktiraf kewujudan Palestin selepas lebih 75 tahun menjadi penyokong kuat penubuhan Israel.
Kerajaan Malaysia juga mengambil langkah terbaik untuk membantu misi GSF pada kali ini, antaranya termasuklah mendapatkan bantuan daripada negara berhampiran sekiranya berlaku serangan rejim Israel terhadap penyertaan 45 negara dalam misi flotila tersebut.
Langkah terpuji Kementerian Pendidikan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang mengadakan majlis solat hajat dan doa selamat terhadap misi GSF di semua surau SMKA dan masjid serta surau selepas solat Maghrib di seluruh negara membuktikan pengharapan rakyat Malaysia agar misi GSF pada kali ini dipermudah oleh Allah SWT.
Jadikanlah wahyu Ilahi dalam Surah al-Hujurat ayat 10 sebagai pedoman kita bersama sebagai tanda kecintaan kita terhadap saudara di Palestin yang dalam kesusahan dan penderitaan yang amat dahsyat. Firman Allah SWT yang bermaksud,
Sebenarnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah antara dua saudara kamu (yang bertelingkah itu); dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.
Dalam sebuah hadis riwayat Muslim, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Perumpamaan orang mukmin dalam sikap saling mencintai, mengasihi dan menyayangi seumpama satu tubuh. Jika satu anggota tubuh sakit, maka anggota tubuh yang lain akan susah tidur atau berasa demam.”