Diterbitkan pada 15 Ogos 2025, 14:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Hanya sanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid Allah ialah orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka diharapkan mereka menjadi daripada golongan yang mendapat petunjuk.”

(Surah al-Taubah 9:18)

Perkataan “masjid” berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud tempat bersujud. Masjid ialah tempat ibadah yang khusus seperti solat dan iktikaf bagi orang Islam. Masjid juga merupakan institusi sosial penting umat Islam yang berperanan sebagai pusat kebudayaan, muamalat dan perkembangan dakwah islamiah, serta pusat pelbagai kegiatan penting umat Islam. Semasa peristiwa hijrah, sebaik sahaja Rasulullah SAW sampai ke Madinah, Baginda terus membangunkan Masjid Quba, disusuli kemudiannya dengan Masjid Nabawi. Baginda meletakkan masjid sebagai pusat pelbagai kegiatan dan ibadah.

Di samping menjadi tempat memenuhi ibadah fardu ain untuk bersolat, bermunajat, berdakwah dan bertalbiah, masjid turut menjadi pusat mengurus tugas fardu kifayah seperti pemerintahan, tempat bermesyuarat, bermuhasabah dan mengadakan sumbang saran, selain sebagai tempat mengembangkan ilmu dan pengetahuan, melaksanakan kegiatan ekonomi dan kebajikan serta mengadakan latihan ketenteraan dan persenjataan.

Peranan masjid seharusnya tidak disempitkan dan terbatas hanya kepada kegiatan ibadah berunsur fardu ain yang menghubungkan manusia dengan Allah. Malah, peranan masjid hendaklah diimbangkan dan diperluas serta dilengkapi dengan kegiatan fardu kifayah yang mengaitkan hubungan manusia sesama manusia, dan hubungan manusia dengan masyarakat dan alam semesta yang luas. Masjid hendaklah diperkaya dengan pelbagai kegiatan yang dapat menarik minat pelbagai lapisan ahli kariah.

Masjid perlu disuntik dengan pengisian berbentuk roh keagamaan dan pengisian yang menghidupkan jiwa. Kegagalan melengkapi masjid dengan pengisian yang berjaya menarik minat ahli kariah akan menyebabkan masjid menjadi bangunan yang sepi, lengang dan kosong sebaik selesai solat fardu; sedangkan antara sunnah penting Rasulullah SAW termasuklah menyeru ummah untuk setiap masa memakmurkan masjid dengan ibadah dan pelbagai kegiatan berfaedah.

Ayat 18 Surah al-Taubah tersebut diikat dengan perkataan innama, iaitu merujuk pihak tertentu yang berhak mengimarahkan masjid. Ummah yang mengimarahkan rumah Allah sama ada dengan menunaikan solat lima waktu secara berjemaah atau menghidupkan masjid dengan kegiatan bermanfaat ialah ummah yang terpuji, yang insya-Allah diberikan kemuliaan pada hari akhirat, selaras dengan sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari yang bermaksud: “Satu daripada golongan yang akan mendapat naungan Allah pada hari kiamat ialah seorang hamba yang hatinya selalu terpaut dengan masjid.

Yang berikut merupakan 10 saranan untuk mengimarahkan masjid:

Pertama: Masjid hendaklah ditadbir secara harmoni dan bijaksana. Jawatankuasa kariah hendaklah melakukan pemerhatian dan menyelami keperluan ahli kariah di samping menganjurkan kegiatan yang memenuhi keperluan mereka merentasi warga emas, golongan dewasa, wanita, belia, pelajar dan kanak-kanak.

Kedua: Masjid sebagai pusat pengembangan ilmu. Kegiatan pengembangan ilmu di masjid hendaklah lebih menyeluruh dengan mempelbagaikan kandungan pengajian, merangkumi bidang kesihatan, pemakanan, pertanian, ekonomi, takaful, keselamatan, kesenian, sains dan teknologi dengan menjemput pakar dalam bidang tersebut mengisi program tazkirah dan ceramah.

Ketiga: Mengurus dana kewangan masjid secara bijak untuk faedah ahli kariah dan masyarakat setempat. Sumbangan orang ramai bukan untuk dibiarkan “kaku” dalam tabung. Masjid bukannya sebuah bank untuk berbangga dengan akaun lebihan yang tidak dibelanjakan. Sumbangan orang ramai hendaklah dibelanjakan untuk meningkatkan kemudahan demi keselesaan jemaah dan manfaat ahli kariah.

Keempat: Mengoptimumkan peranan dan kegunaan masjid serta kawasan masjid dengan menyediakan pelbagai kemudahan dan khidmat. Contohnya, Masjid Nurussalam di Gerik yang menerima anugerah Pengurusan Masjid Terbaik sempena sambutan Maal Hijrah 1447H atas usaha menyediakan rumah inap desa dan tandas yang bersih demi keselesaan orang ramai terutamanya para musafir.

Kelima: Menyediakan kemudahan dan menganjurkan program kelas bimbingan di sebelah petang atau pada hujung minggu untuk anak-anak pelajar dengan menjalinkan kerjasama dengan pertubuhan pelajar dan guru.

Keenam: Memperkenalkan kegiatan yang boleh menarik minat para belia mendampingi masjid dengan menganjurkan program seni mempertahankan diri, riadah, rebana dan kompang; dan kelas memasak dan berdandan kepada kaum wanita.

Ketujuh: Mengadakan taska untuk kanak-kanak.

Kelapan: Menyediakan tapak perniagaan dan perkhidmatan seperti dobi, peralatan mencuci dan mengeringkan pakaian.

Kesembilan: Menyediakan pusat khidmat kaunseling agama dan keluarga.

Kesepuluh: Menyediakan bank makanan untuk membantu fakir miskin yang memerlukan.

Mengimarahkan masjid merupakan tanggungjawab bersama setiap umat Islam sama ada secara kewangan, fikiran, tenaga mahupun masa. Pihak yang diamanahkan untuk mentadbir urus masjid sedang memikul tugas mulia, menyempurnakan fardu kifayah untuk mengimarahkan rumah Allah. Laksanakan amanah dengan hati yang ikhlas. Pohonlah panduan dan bimbingan daripada Allah SWT agar masjid berjaya diimarahkan, mencontohi pengimarahan masjid pada zaman Rasulullah SAW, diisi dengan pelbagai kegiatan ilmu, kemasyarakatan dan kemanusiaan yang berjaya mengangkat martabat umat Islam.

 

(Disesuaikan daripada khutbah Jumaat, 15 Ogos 2025, bertajuk “Memperkasakan Peranan Masjid”)

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi