Diterbitkan pada 1 Ogos 2025, 14:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Kamu tidak sekali-kali dapat mencapai (hakikat) kebaikan yang sempurna sehingga kamu membelanjakan sebahagian daripada harta yang kamu sayangi. Dan apa-apa sahaja yang kamu belanjakan itu sesungguhnya Allah Maha Mengetahui.”

(Surah Ali ‘Imran 3:92)

Wakaf bermaksud sesuatu yang diberikan atau didermakan untuk kegunaan orang ramai. Menurut pengertian istilah syarak, wakaf bermaksud menahan sesuatu harta yang boleh digunakan tanpa susut fizikalnya, dengan menyerahkan hak miliknya untuk manfaat umum sebagai sedekah jariah demi mendekatkan diri dengan Allah SWT.

Wakaf merupakan amal jariah yang sangat dituntut dalam Islam. Allah SWT memuliakan para pewakaf kerana harta yang diinfakkan membolehkan manfaat yang berkekalan, malah menjamin kesinambungan manfaat untuk kegunaan awam. Jika seseorang mewakafkan sebahagian hartanya lalu digunakan dan dimanfaatkan oleh orang ramai, pahalanya kekal walaupun pewakaf telah meninggal dunia, selaras dengan sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Apabila mati seseorang anak Adam, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara, iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan doa anak soleh yang mendoakan ibu bapanya.”

(Hadis riwayat Muslim)

Melalui wakaf, manfaat harta yang disumbangkan boleh dijana dan dikembangkan. Tanah yang kosong boleh dibangunkan untuk memberikan manfaat ekonomi dan sosial. Wang tunai boleh dilaburkan untuk menampung kos pengurusan dan pembangunan masyarakat. Institusi wakaf hari ini telah berkembang menjadi sebuah pusat pembiayaan yang boleh mengurangkan kebergantungan pada dana kerajaan atau pinjaman.

Wakaf juga berperanan besar untuk memperkukuh kesejahteraan sosial. Melalui dana wakaf, bantuan dapat disalurkan kepada golongan fakir miskin, pelajar yang sedang menuntut ilmu, mangsa bencana, orang kurang upaya, ibu tunggal dan anak yatim. Wakaf menjadikan masyarakat saling menyantuni dan membantu, lantas menjalin hubungan kasih sayang dan membina perpaduan ummah.

Bentuk wakaf pada hari ini telah banyak berubah, tidak terbatas kepada wakaf berbentuk fizikal seperti tanah, bangunan atau harta tetap, sebaliknya bergerak bersama-sama dengan perkembangan kemajuan teknologi dan keperluan masyarakat semasa.

Salah satu bentuk wakaf yang semakin mendapat tempat dalam kalangan umat Islam ialah wakaf tunai. Umat Islam boleh berwakaf dalam bentuk wang tunai. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-77 yang bersidang pada 10 April 2007 sehingga 12 April 2007 telah memutuskan bahawa berwakaf dalam bentuk wang tunai dibolehkan dalam Islam.

Pendekatan ini membuka ruang yang lebih luas dan membolehkan setiap lapisan masyarakat turut serta dalam amalan wakaf, serta berpotensi memperkukuh dana kebajikan umat Islam secara lebih mampan dan berterusan.

Setiap sumbangan pewakaf, walau sekecil mana pun merupakan aset berharga yang boleh dikembangkan untuk memberikan manfaat kepada masyarakat merangkumi kegiatan agama, pendidikan, kesihatan, ekonomi, kebajikan dan kemaslahatan ummah.

Pihak yang bertanggungjawab akan mengurus dan mengembangkan harta wakaf secara profesional, telus dan strategik untuk menjamin limpahan pahala yang berterusan kepada pewakaf, bahkan menjadi pemangkin pembangunan negeri yang lebih baik seterusnya menjamin kesinambungan kesejahteraan umat Islam dan diberkati Ilahi.

Oleh hal yang demikian, umat Islam diingatkan tentang empat perkara yang berikut:

Pertama: Berwakaf merupakan amalan mulia yang sangat dituntut, memberikan manfaat untuk kepentingan awam dan insya-Allah diberi ganjaran kebaikan di dunia dan di akhirat.

Kedua: Penting untuk umat Islam berwakaf melalui badan yang berautoriti kerana pengurusan harta dijamin kekal bermanfaat dan tujuannya sesuai dengan niat pewakaf.

Ketiga: Umat Islam diseru menyokong usaha menjayakan program dan projek wakaf, serta berwakaf menerusi pelbagai kaedah yang disediakan, termasuklah melalui skim potongan gaji bulanan atau pembayaran secara dalam talian.

Keempat: Jawatankuasa kariah masjid dan surau diseru untuk menyemak dan mengemas kini status perwakafan tanah tapak masjid dan surau masing-masing bagi mengelakkan sebarang isu berbangkit berkaitan dengan pemilikan tanah.

(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 1 Ogos 2025, bertajuk “Wakaf: Meneguh Amal Jariah – Menjamin Kesinambungan”)

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi