Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangFirman Allah SWT,

Maksudnya: “Supaya kamu duduk tetap di atas belakangnya kemudian kamu mengingati nikmat Tuhanmu, apabila kamu telah duduk tetap di atasnya dan kamu (bersyukur dengan) mengucapkan, ‘Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, padahal kami sebelumnya tidak mampu menguasainya.’”
(Surah al-Zukhruf 43:13)
Pemanduan berhemah bermaksud mengendalikan kenderaan secara selamat, iaitu memerihalkan tatacara pemanduan yang cermat, tertib, tenang dan tidak tergesa-gesa serta mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya, di samping mengambil peduli akan keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain.
Amanah di jalan raya menuntut umat Islam untuk mengendalikan kenderaan secara berhemah dan memanfaatkan jalan raya dengan baik, sebagai laluan untuk memudahkan pengguna sampai ke destinasi yang dituju. Jalan raya merupakan kemudahan awam yang diguna setiap hari oleh pelbagai jenis kenderaan termasuklah para pejalan kaki. Jalan raya juga digunakan untuk pelbagai urusan harian seperti untuk ke tempat kerja, pulang ke kampung, menghantar anak ke sekolah, melancong, bermusafir dan menghantar barang.
Peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan ketika menggunakan jalan raya adalah bertujuan melindungi keselamatan dan nyawa pengguna. Di sisi Islam, memandu secara berhemah merupakan ikhtiar yang dituntut, demi melindungi diri dan keselamatan orang lain daripada musibah kemalangan. Banyak pihak akan mengalami kesengsaraan apabila berlaku kemalangan jalan raya, bukan sahaja dari segi kerugian harta dan kecacatan anggota, malah kehilangan nyawa.
Kini, teknologi moden telah membolehkan kenderaan dilengkapi dengan sistem keselamatan yang canggih yang bertujuan melindungi keselamatan dan nyawa pengguna. Walau bagaimanapun, keselamatan sangat bergantung pada sikap pengguna jalan raya.
Saban tahun kemalangan jalan raya semakin meningkat, dan tragedi kemalangan yang ngeri dan menyayat hati terus berlaku. Contohnya, sembilan orang anggota Pasukan Polis Simpanan Persekutuan (FRU) yang dalam perjalanan pulang selepas bertugas telah terkorban, sementara sembilan orang lagi cedera parah dalam kemalangan jalan raya yang sangat mengerikan di Teluk Intan pada pagi 13 Mei tahun ini. Pada 9 Jun pula, sebanyak 15 orang siswa dan siswi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah terkorban, dan 27 orang lagi cedera disebabkan kemalangan jalan raya yang sangat menghibakan yang berlaku di Gerik.
Kemalangan jalan raya boleh mengakibatkan pelbagai kecederaan seperti mengalami kecacatan secara kekal, hilang upaya disebabkan cacat, hilang anggota atau menjadi lumpuh. Tidak kurang pula yang terkorban sehingga mengakibatkan ibu bapa kehilangan anak, anak kehilangan ibu bapa, suami kehilangan isteri atau isteri kehilangan suami.
Dalam banyak kejadian, sikap mementingkan diri sendiri merupakan punca berlakunya kemalangan jalan raya. Antaranya termasuklah sikap terburu-buru, melebihi had laju, gagal mengawal emosi, memandu dalam keadaan mabuk atau dipengaruhi dadah, mengantuk atau kurang sihat, tiada tumpuan kerana menggunakan telefon semasa memandu, cuai dan leka, memotong di garisan berkembar, menyalahgunakan lorong kecemasan, menukar lorong secara mengejut tanpa memberikan isyarat, tidak menjarakkan kenderaan dengan betul, tidak memakai tali pinggang keselamatan atau topi keledar, dan keadaan kenderaan yang tidak diselenggarakan dengan baik.
Turut menjadi punca ialah keadaan jalan raya yang tidak diselenggarakan dengan baik seperti jalan tidak rata, berlubang dan berlopak, serta jalan yang tidak cukup pencahayaan dan tanda isyarat pada waktu malam.
Syariat Islam amat mementingkan nilai nyawa manusia. Nilai tinggi yang diletakkan pada nyawa terbukti melalui satu daripada maqasid syariah yang menekankan kepentingan memelihara nyawa. Hadis Rasulullah SAW yang dijadikan kaedah fiqh dalam penentuan hukum menetapkan larangan mendatangkan kemudaratan dalam kehidupan. Sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Tidak boleh memudaratkan (diri sendiri) dan tidak boleh memudaratkan (orang lain).”
(Hadis riwayat Ahmad)
Oleh itu, memandu secara berbahaya serta tidak mematuhi undang-undang jalan raya yang mengundang kemudaratan kepada nyawa amat ditegah oleh agama dan dianggap berdosa di sisi syarak. Umat Islam wajib mengamalkan sifat sabar, bertimbang rasa, bertenang dan bertolak ansur terhadap pengguna jalan raya lain selaras dengan hadis Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Sesungguhnya pada dirimu ada dua sifat yang Allah SWT menyukainya, iaitu lemah lembut dan bertenang.
(Hadis riwayat al-Tirmidzi)
Yang berikut merupakan beberapa peringatan kepada pengguna jalan raya:
Pertama: Sebelum memandu, periksa dan pastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat, serta telah diselenggarakan dengan baik berpandukan jadual yang ditetapkan.
Kedua: Pastikan pemandu mendapat tidur dan rehat secukupnya terutamanya untuk perjalanan yang jauh, atau rancang perjalanan dengan memandu secara bergilir bersama-sama teman perjalanan.
Ketiga: Mulakan pemanduan atau perjalanan dengan membaca doa seperti yang terkandung dalam ayat 13 dan ayat 14 Surah al-Zukhruf yang bermaksud, “Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, padahal kami sebelumnya tidak mampu menguasainya.”
Keempat: Ketika memandu, lakukan kegiatan bermanfaat yang boleh mendekatkan diri kepada Ilahi seperti mendengar bacaan al-Quran, mengulang hafalan al-Quran, berzikir, beristighfar dan berselawat.
Kelima: Mematuhi undang-undang, peraturan jalan raya, had laju dan had muatan seperti yang dibenarkan. Peka terhadap kawasan sekeliling seperti memperlahankan kenderaan ketika melalui kawasan sekolah, hospital, perumahan dan kawasan lintasan pejalan kaki.
Keenam: Jauhi perbuatan berbahaya seperti berlumba, membuli pengguna jalan raya, melakukan aksi ngeri dan memandu secara cuai.
Ketujuh: Pemilik dan pengusaha syarikat pengangkutan diingatkan supaya tidak hanya mementingkan keuntungan, tetapi hendaklah bertanggungjawab mematuhi had muatan barangan yang dibenarkan. Mereka hendaklah memastikan jadual kerja pemandu yang membebankan sehingga mereka tidak memiliki masa rehat yang cukup; melakukan ujian kesihatan berkala terhadap pemandu; serta memberhentikan perkhidmatan pemandu yang memiliki rekod kesalahan jalan raya yang tinggi.
Kelapan: Pihak berkuasa hendaklah meningkatkan usaha penyelenggaraan jalan raya secara berkala.
Kesembilan: Pihak penguat kuasa hendaklah menguatkuasakan undang-undang dan peraturan secara tegas tanpa pilih kasih terhadap pemandu dan kenderaan yang melanggar undang-undang dan peraturan.
(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 11 Julai 2025, bertajuk “Pemanduan Berhemah – Amanah di Jalan Raya”)