Diterbitkan pada 4 Julai 2025, 14:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Sesungguhnya bilangan bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan (yang telah ditetapkan) dalam kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi termasuklah antaranya empat bulan yang dihormati. Itulah ketetapan agama yang lurus, maka janganlah kamu menzalimi diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya) ….”

(Surah al-Tawbah 9:36)

Muharam ialah bulan pertama menurut takwim Hijrah, iaitu satu daripada empat bulan suci yang dilipatgandakan amal kebaikan, juga bulan yang diharamkan berperang. Muharam telah dipilih oleh Sayidina Umar r.a. sebagai bulan pertama bagi kiraan tahun baharu umat Islam kerana pada bulan Zulhijah umat Islam menunaikan ibadah haji di Baitullah dan mendapat keampunan Ilahi. Maka Sayidina Umar r.a. berijtihad bahawa sebaiknya dipilih Muharam sebagai bulan pertama bagi permulaan tahun baharu Islam sebagai azam baharu untuk umat Islam membuka lembaran baharu dalam kehidupan yang lebih baik dan taat kepada Allah SWT.

Bulan Muharam mencatatkan kelebihan amalan dan beberapa peristiwa penting dalam sejarah Islam dan umat terdahulu, antaranya termasuklah:

Pertama: Nabi Musa a.s. diselamatkan daripada Firaun pada hari Asyura (10 Muharam).

Hari Asyura memerihalkan peristiwa Firaun berhasrat menangkap dan menjatuhkan hukuman terhadap Nabi Musa a.s. Pada hari tersebut Firaun bersama-sama tenteranya mengejar Nabi Musa a.s. dan para pengikutnya sehingga mereka terperangkap di tepi Laut Merah. Dengan perintah Ilahi, Nabi Musa a.s. memukul laut dengan tongkatnya, lalu laut terbelah dan membentuk laluan yang membolehkan Baginda dan Bani Israel menyelamatkan diri. Setelah mereka berjaya sampai ke seberang, Firaun bersama-sama tentera yang mengejar menggunakan laluan yang sama, ditenggelamkan apabila laut kembali bertaut.

Peristiwa ini menandakan keagungan dan kekuasaan Allah, serta membuktikan bahawa kezaliman dan penindasan pada akhirnya akan binasa. Kisah ini turut mengajar kita bahawa keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT menjadi asbab mendapat pertolongan-Nya, walaupun dalam keadaan yang kelihatan mustahil.

Rasulullah SAW juga mengiktiraf keistimewaan hari Asyura dengan menganjurkan berpuasa sunat seperti yang diriwayatkan dalam sebuah hadis:

Maksudnya: “Daripada Ibn Abbas r.a., beliau berkata: Ketika Nabi Muhammad SAW sampai di Madinah, Baginda mendapati orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Lalu mereka ditanya dan mereka berkata: ‘Ini ialah hari Allah memberikan kemenangan kepada Nabi Musa dan Bani Israel ke atas Firaun, dan kami berpuasa sebagai tanda mengagungkan hari tersebut.’ Nabi Muhammad SAW bersabda: ‘Kami lebih layak untuk Musa berbanding dengan kalian. Kemudian Nabi Muhammad SAW memerintahkan (umat baginda) untuk turut berpuasa.”

(Hadis riwayat al-Bukhari)

Kedua: Fadilat diampunkan dosa setahun yang lalu.

Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW tentang puasa Asyura, maka Rasulullah SAW menjawab:

Maksudnya: “Puasa hari Asyura (kelebihannya) aku berharap kepada Allah agar Dia dapat mengampunkan dosa setahun yang lalu.”

(Hadis riwayat Muslim)

Ketiga: Peristiwa Karbala

Satu lagi peristiwa yang wajar diambil iktibar ialah peristiwa Karbala, berlaku pada 10 Muharam 61 Hijrah; tercetus daripada pengkhianatan dan pertembungan politik yang berakhir dengan syahidnya cucu Rasulullah SAW, Sayidina Hussain dan sebahagian ahli keluarga serta pengikutnya.

Antara pengajaran penting daripada peristiwa ini termasuklah kerugian yang dialami oleh umat Islam akibat perpecahan dan pertelingkahan sesama sendiri, disebabkan perebutan kuasa. Konflik yang berlaku bukan sahaja mengakibatkan berlakunya pertumpahan darah dalam bulan yang diharamkan berperang, tetapi telah memecahkan dan melemahkan kekuatan umat Islam apabila perlu menghadapi musuh Islam yang sebenar.

Sejarah menunjukkan apabila umat Islam berpecah belah kerana persaingan politik dan perebutan kuasa, mereka kehilangan kekuatan yang sepatutnya digunakan untuk mempertahankan agama dan membina tamadun bagi menyejahterakan bumi. Peristiwa Karbala menjadi bukti bahawa perselisihan sesama umat Islam boleh mengakibatkan penderitaan yang merugikan serta melenyapkan nilai keadilan dan kasih sayang sesama Muslim.

Kesimpulannya adalah seperti yang berikut:

Pertama: Keimanan yang jitu serta keteguhan berpegang pada prinsip kebenaran akan membawa kepada kemenangan serta mendapat pertolongan Ilahi. Sifat Nabi Musa a.s. yang tidak tunduk, malah teguh menghadapi kezaliman Firaun, mengajar kita bahawa keimanan serta prinsip berpegang pada kebenaran tidak boleh digadaikan hanya kerana kepentingan duniawi, atau ketika menghadapi saat yang sukar dalam kehidupan. Sebaliknya keteguhan iman dan prinsip yang benar akan membantu meluruskan perjalanan kehidupan sekalipun menempuh rintangan yang berat.

Kedua: Perpecahan dan perbalahan dalam kalangan umat Islam sangat merugikan, malah boleh membawa kehancuran. Oleh itu, umat Islam wajib mengutamakan perpaduan, mengurangkan perselisihan, serta menolak segala perbalahan berunsur mazhab, perbezaan politik dan dendam warisan yang boleh memecahbelahkan ummah. Hanya dengan kembali kepada nilai tauhid, keikhlasan dan amanah bersama, umat Islam mampu kembali bangkit sebagai rahmat kepada seluruh alam.

Ketiga: Rasulullah SAW membimbing cara menyambut kejayaan dan kemenangan dalam bentuk kesyukuran kepada Allah SWT dengan membanyakkan amal kebaikan. Umat Islam dianjurkan berpuasa sunat Asyura pada 10 Muharam atau lebih afdal digandingkan puasa Asyura dengan sehari sebelum atau sehari selepasnya, iaitu pada 9 Muharam dan 10 Muharam atau pada 10 Muharam dan 11 Muharam sebagai tanda membezakan amalan umat Islam dengan amalan golongan Yahudi.

 

(Disesuaikan daripada khutbah Jumaat, 4 Julai 2025, bertajuk “Bulan Muharam: Sejarah dan Iktibar”)

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi