Diterbitkan pada 27 Jun 2025, 14:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan janganlah pula kamu melakukan kerosakan di atas muka bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya dan berdoalah kepada-Nya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan dengan perasaan berharap (supaya dimakbulkan). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat dengan orang yang memperbaik amalannya.”

(Surah al-A‘raf 7:56)

Penghijrahan Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah merupakan peristiwa amat bersejarah yang berjaya melonjakkan keagungan Islam. Peristiwa tersebut mencetuskan suatu anjakan perubahan yang menyeluruh dalam tataurus kehidupan insan yang tidak terbatas kepada hubungan makhluk dengan Penciptanya, malah merangkumi soal hidup bermasyarakat, hubungan sesama insan dan hubungan insan dengan makhluk lain, juga hubungan insan dengan alam sekitar yang luas; dengan keinsafan bahawa setiap kehidupan, makhluk dan alam dicipta oleh Ilahi yang membuktikan kebesaran-Nya.

Hijrah hendaklah dijadikan pengajaran untuk umat Islam menyemai semangat  berusaha meningkatkan nilai kebaikan, di samping berazam untuk meninggalkan tabiat buruk dan perbuatan mungkar, yang mengundang kemurkaan Allah SWT, bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Orang yang berhijrah itu apabila dia berhijrah meninggalkan perkara yang dilarang oleh Allah.”

(Hadis riwayat al-Bukhari)

Bumi ini yang akan diwariskan kepada generasi baharu sedang menunjukkan tanda keuzuran, dengan semakin kerap berlakunya bencana alam seperti gempa bumi, tanah runtuh, ketidaktentuan iklim, peningkatan suhu, kebakaran besar-besaran, banjir besar serta pelbagai musibah lain yang menyebabkan kemusnahan harta dan terkorbannya nyawa.

Dunia yang semakin kerap dilanda pelbagai bencana, semakin pula  mengancam kelestarian alam dan menjejaskan kesejahteraan hidup insan. Manusia sewajibnya sedar dengan ancaman yang sedang berlaku terhadap alam. Islam sebagai agama yang syumul, sangat mementingkan perlindungan terhadap alam sekitar dan mentakrifkan usaha memulihara alam sekitar sebagai ibadah.

Allah SWT memerintahkan manusia untuk memulihara alam dan seisinya kerana jika alam disakiti, manusia sebenarnya telah melakukan fasad (kerosakan) terhadap makhluk ciptaan dan milik Ilahi. Memulihara alam sekitar merupakan sebahagian daripada amanah Allah SWT, dan tanggungjawab fardu kifayah yang wajib didukung oleh manusia.

Berpandukan ayat 56 Surah al-‘Araf tersebut, Allah SWT memerintahkan manusia untuk tidak melakukan kerosakan di atas muka bumi ciptaan Ilahi yang telah menyediakan segala kebaikan dan diatur secara harmoni. Oleh hal yang demikian, umat Islam diingatkan tentang empat perkara yang berikut:

Pertama: Larangan melakukan kerosakan terhadap alam merupakan perintah Allah SWT. Islam memandang perbuatan mencemari alam sehingga mengakibatkan kesengsaraan kehidupan makhluk sebagai perlakuan dosa, dan pelakunya telah mengundang amarah kerana ingkar terhadap perintah Allah SWT.

Kedua: Rasulullah SAW tidak sekadar mengajar ibadah berbentuk ritual dalam agama.  Baginda turut mengingatkan bahawa manusia dan alam mempunyai hubung kait yang erat, lalu menegaskan tentang peri penting mengimbangi dan menjaga hubungan harmoni antara manusia dengan makhluk lain ciptaan Ilahi. Hubung kait ini juga merangkumi sumber alam seperti udara, air, laut, sungai, gunung, bukit dan gua, tumbuh-tumbuhan, haiwan, unggas dan penghidupan di air dan di lautan yang setiap satunya berkongsi berada di bumi yang sama dalam semangat saling mengimbangi. Pencabulan yang dilakukan terhadap mana-mana makhluk dan kehidupan akan menjejaskan keharmonian alam. Hal ini boleh menyebabkan berlaku ketidakseimbangan dan terjejasnya proses kitaran hidup alam semula jadi.

Ketiga: Bencana yang semakin merosakkan alam ini berpunca daripada perbuatan manusia yang kufur, melampaui batas, melanggar perintah Ilahi, manusia yang tiada perasaan kemanusiaan kerana didorong sifat bakhil, tamak dan haloba, serta manusia yang hanya mementingkan keuntungan diri dan keuntungan dunia, lalu tergamak hati bersifat zalim, mencabuli hak makhluk dan kehidupan lain.

Keempat: Bumi ialah tempat tinggal sementara yang dipinjamkan oleh Allah SWT kepada manusia sebelum manusia berpindah ke alam barzakh. Bumi ini diamanahkan kepada manusia sebagai khalifah untuk mengurus tadbirnya secara adil tanpa melakukan kerosakan. Penuhi amanah tersebut dengan penuh rasa bertanggungjawab, bertakwa dan bersifat ihsan.

Sedarilah bahawa hijrah bukan sekadar perubahan akidah terhadap ketauhidan Ilahi, tetapi turut merangkumi ibadah lain yang lebih menyeluruh, merangkumi gaya hidup lestari yang menolak segala perbuatan yang merosakkan kehidupan, serta menekankan tanggungjawab memulihara alam sekitar.

Kelestarian dalam konteks Islam turut bermaksud mensyukuri dan menghargai ciptaan Ilahi. Dalam konteks penjagaan alam, lestari membawa maksud keadaan alam sekitar yang terpelihara, seimbang dan dapat digunakan oleh generasi sekarang tanpa menjejaskan manfaat generasi akan datang. Umat Islam sewajibnya bersifat adil dan mempunyai sifat peri kemanusiaan dalam apa-apa juga usaha pembangunan yang hendak dilaksanakan. Alam semula jadi yang berharga ini hendaklah dilindungi agar tidak dicemari atau rosak melalui pelan kerja yang bijak lagi seimbang. Hal ini demi memastikan keharmonian alam tidak dikorbankan, untuk melindungi anak cucu daripada terpaksa membayar harga yang mahal atau menanggung sengsara disebabkan oleh alam sekitar yang telah rosak.

Peristiwa hijrah mengajar kita tentang prinsip kesatuan ummah, menghapuskan permusuhan, membina masyarakat berasaskan iman, bersifat tolak ansur dan mengambil tanggungjawab bersama. Rasulullah SAW menekankan kepentingan hidup berjemaah, saling membantu antara satu dengan lain demi kebaikan bersama, berpandukan firman Allah SWT: 

(Surah al-Ma’idah 5:2)

Hijrah bukan sekadar peristiwa perubahan tempat, malah berlakunya perubahan cara berfikir, perubahan sikap dan perubahan budaya mengurus kehidupan makhluk dan alam yang diamanahkan oleh Allah SWT kepada manusia sebagai khalifah di bumi.  Jika Rasulullah SAW dan para sahabat berhijrah untuk membina masyarakat yang lebih baik, maka kita juga wajib berhijrah ke arah budaya hidup lestari yang menghargai dan melindungi alam semesta daripada dimusnahkan.

 

(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 27 Jun 2025, bertajuk “Hijrah dan Kelestarian: Menyatukan Ummah – Memulihara Alam”)

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi