Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMasa berlalu begitu cepat, hari bertukar minggu, minggu bertukar bulan dan bulan bertukar tahun. Cepatnya masa berlalu juga merupakan antara tanda kiamat menurut sabda Rasulullah SAW. Tanpa sedar, kita telah memasuki tahun baharu permulaan awal Muharam 1447H.
Peristiwa hijrah sering dikaitkan dengan tibanya bulan Muharam walaupun peristiwa hijrah Rasulullah SAW ke Madinah sebenarnya berlaku pada bulan Safar. Hal ini berlaku kerana Sayidina Umar al-Khattab selaku khalifah yang kedua pada waktu itu berpandangan bahawa kalendar Islam hendaklah bermula dengan tahun penghijrahan Baginda kerana peristiwa hijrah melambangkan pemisahan antara hak dengan batil. Hal itu bersamaan dengan tahun ke-14 setelah Baginda dilantik menjadi nabi dan rasul.
Walaupun garis masa hijrah Rasulullah SAW pada bulan Muharam, tetapi para sahabat telah diperintahkan berhijrah lebih awal daripada hijrah Baginda. Bahkan Rasulullah SAW sendiri memulakan hijrah bermula dari bulan Safar dengan tindakan secara sulit Baginda pergi ke rumah Sayidina Abu Bakar r.a., kemudian ke Gua Thur, dan seterusnya hingga tiba di Quba’ dan Yathrib pada 8 Rabiulawal dan 12 Rabiulawal. Hal ini menunjukkan bahawa permulaan tahun hijrah tidaklah bertepatan dengan peristiwa hijrah Rasulullah SAW, tetapi hanya mengambil semangat tahun itu berlakunya hijrah Baginda.
Terdapat beberapa pandangan tentang penentuan bagi permulaan kalendar Islam. Pandangan pertama adalah pada awal kedatangan Islam. Suatu ketika dahulu, masih belum wujud kalendar Islam atau takwim hijriah kerana pada zaman tersebut kebanyakan bangsa Arab hanya menggunakan kiraan bulan semata-mata. Dikhabarkan pada suatu hari, Abu Hurairah r.a. mengutus surat kepada Amirul Mukminin Sayidina Umar r.a., dan menulis bahawa “suatu peristiwa berlaku pada bulan Rejab”, maka dijawab semula kepada Abu Hurairah, “Pada bulan Rejab yang mana satu, tahun lepas ataupun tahun sebelumnya lagi?” Disebabkan timbulnya kekeliruan tersebut, maka selepas itu muncul idea untuk mewujudkan takwim islami yang turut mengambil kira tahun, dan bukannya hanya berpandukan bulan semata-mata.
Pandangan kedua adalah berdasarkan suatu riwayat yang menyatakan bahawa takwim hijriah dimulakan selepas Sayidina Abu Musa al-Asy‘ari membalas surat Amirul Mukminin Sayidina Umar bin al-Khattab r.a. dengan menulis “Telah selamat sampai kepada kami kiriman (kitab) tuan yang tiada tercatat tarikhnya.” Selepas peristiwa tersebut, maka diadakan mesyuarat dalam kalangan para sahabat.
Dalam mesyuarat tersebut, terdapat sahabat yang mengusulkan pengiraan tahun Islam mengikut kiraan tahun Rom dan Parsi, malah ada juga yang mahu dimulakan dengan tahun kelahiran Rasulullah SAW, namun tidak dipersetujui oleh Sayidina Umar kerana pada tahun kelahiran Baginda, kaum Arab Musyrikin masih kuat menyembah berhala, dan jahiliah masih menebal, serta tiada apa-apa pun peristiwa berkaitan dengan umat Islam pada masa tersebut.
Maka itu, diusulkan pula cadangan dengan mengambil permulaan tahun hijriah dengan tahun Israk dan Mikraj, serta ada juga mengusulkan dengan permulaan turunnya al-Quran (nuzul al-Quran), tetapi pada akhirnya Sayidina Umar memilih tahun Rasulullah SAW dan umat Islam mula berhijrah dari Makkah ke Madinah sebagai permulaan tahun takwim Islam. Hal ini demikian kerana Sayidina Umar berpandangan bahawa pada tahun itulah umat Islam mula memiliki sebuah negara, serta memiliki sistem pentadbiran politik dan kerajaan Islam Madinah yang tersendiri.
Seterusnya, Sayidina Umar al-Khattab memilih bulan Muharam sebagai bulan pertama dalam kalendar umat Islam memandangkan bulan tersebut ialah bulan yang muncul sebaik sahaja umat Islam selesai menunaikan ibadah haji pada bulan Zulhijah. Ketika musim haji, kesemua jemaah haji pastinya memohon rahmat dan keampunan daripada Allah SWT dan bertaubat kepada-Nya agar diterima segala amal ibadah yang dilakukan sewaktu manasik ibadah haji dilakukan. Hal ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang bermaksud, “Sesiapa yang menunaikan haji, kemudian tidak melakukan rafath dan fasik, nescaya keluar dosa-dosanya seperti baru dilahirkan oleh ibunya.” Rafath yang disebutkan dalam hadis ini ialah nama bagi setiap perkara yang melalaikan, kata-kata yang keji, perlakuan maksiat dan juga gurau senda yang melampau tanpa wujud perasaan malu dalam jiwa.
Memetik kata-kata Sayidina Umar, “Sesungguhnya hijrah ialah peristiwa yang membezakan antara hak dengan batil, maka hendaklah kita menetapkan tahun Islam bermula daripada peristiwa hijrah.” Berdasarkan kata-kata Sayidina Umar inilah, hijrah yang dilakukan oleh Baginda dan para sahabat menjadi sebuah manifestasi perjuangan bagi menegakkan kebenaran dan memadamkan perkara yang dilarang oleh Allah SWT. Sekiranya pangkat dan harta menjadi tujuan utama Baginda, sudah semestinya Baginda dan para sahabat tidak perlu berhijrah meninggalkan tanah air yang tercinta di bumi Makkah untuk menegakkan syiar Islam di bumi Madinah.
Kisah peristiwa hijrah Rasulullah SAW telah disebutkan dalam al-Quran, iaitu dalam Surah al-Tawbah, ayat ke-40 yang bermaksud, “Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad), maka sesungguhnya Allah telah menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedangkan dia seorang daripada dua (sahabat) ketika mereka berlindung di dalam gua. Pada ketika itu, dia berkata kepada sahabatnya: “Janganlah kamu berdukacita, sesungguhnya Allah bersama-sama kita.” Maka Allah menurunkan ketenangan kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang kafir terbawah (kalah dengan sehina-hinanya) dan kalimah Allah (Islam) adalah yang tertinggi (selama-lamanya) kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”
Berdasarkan ayat ini, para ulama mengatakan bahawa Rasulullah SAW dan Abu Bakar al-Siddiq r.a. telah menempuh pelbagai ujian dan cubaan ketika ingin berhijrah ke Madinah atau nama asalnya Yathrib, sehinggakan Baginda terpaksa bersembunyi di dalam sebuah gua bagi mengelak dijejaki oleh kaum musyrikin pada waktu itu. Selain itu, ayat tersebut juga menerangkan bahawa terdapatnya perancangan kaum musyrikin Makkah dalam usaha mereka untuk membunuh Rasulullah SAW seperti yang diusulkan dalam suatu perbincangan khas di Darul Nadwah. Maka itu, Allah SWT memerintahkan Baginda agar keluar berhijrah dan meninggalkan tanah airnya yang tercinta.
Peristiwa hijrah mengajar kita beberapa mutiara hikmah yang tidak ternilai harganya, iaitu:
Pertama: Kepatuhan Rasulullah SAW terhadap perintah Allah serta perancangan yang begitu teliti bagi menjayakan usaha yang telah dirancang. Sebelum peristiwa hijrah berlaku, Baginda telah bermimpi dengan suatu perintah Allah SWT seperti yang tercatat dalam sebuah hadis riwayat al-Bukhari yang bermaksud, “Aku telah bermimpi bahawa sesungguhnya aku berhijrah dari kota Makkah menuju ke suatu tempat yang ada pohon kurma padanya. Lalu aku mengira tempat itu ialah al-Yamamah atau Hajr. Akan tetapi, tempat itu sebenarnya ialah Yathrib (nama lama bagi kota Madinah).”
Rentetan daripada peristiwa tersebut, sebaik sahaja kaum Muslimin mendengar sahaja ucapan Baginda, ada dalam kalangan mereka yang terus bergegas melakukan hijrah ke kota Madinah. Begitu juga dengan sebahagian kaum Muslimin yang sedang berada di Habsyah, mereka segera berangkat menuju ke Yathrib.
Kedua: Hijrah juga memerlukan pengorbanan. Lihat sahaja ketika Rasulullah SAW berhijrah bersama-sama para sahabat, terdapat cubaan untuk membunuh Baginda oleh seorang lelaki yang handal dalam ilmu peperangan, iaitu Suraqah bin Malik, namun diselamatkan oleh Allah SWT. Kata Suraqah, “Aku arahkan kuda itu membawa aku sehingga hampir dengan mereka. Tiba-tiba kudaku tergelincir lalu aku terjatuh. Aku bangun semula, lantas menghulurkan tanganku ke dalam sarung anak panah dan aku keluarkan beberapa anak panah, dan dengan anak panah itu aku cuba membuat ramalan, adakah aku dapat memudaratkan mereka ataupun tidak? Akan tetapi, yang terbit ialah perkara yang aku tidak suka. Aku pun terus menunggang kuda dan tidak mempedulikan ramalanku. Kudaku membawa aku semakin hampir sehingga aku mendengar bacaan al-Quran oleh Rasulullah SAW. Rasulullah SAW tidak berpaling sedikit pun, tetapi Abu Bakar yang berpaling. Tiba-tiba kaki hadapan kudaku terbenam ke dalam bumi hingga paras lutut, lalu aku terjatuh lagi. Aku bangun dan menarik kudaku. Tatkala sudah hampir kakinya mahu keluar dan sudah mula berdiri betul, tiba-tiba kelihatan di hadapannya debu yang berkilau-kilauan di langit seperti asap.”
Malah, Rasulullah SAW mengambil masa yang agak lama dalam perjalanan untuk berhijrah sekitar 10 hari hingga 15 hari termasuklah hari Baginda dan Sayidina Abu Bakar r.a. di Gua Thur seperti yang dinyatakan oleh Syeikh Said Ramadan al-Bouti dalam Fiqh al-Sirah dan Syeikh Sofi al-Rahman al-Mubarakfuri dalam al-Rahiq al-Makhtum. Oleh itu, pastinya mereka yang ingin berhijrah ke arah kebaikan juga memerlukan masa seperti mereka yang ingin beristiqamah menuntut ilmu agama yang memerlukan mujahadah dan kesungguhan serta kesabaran ketika proses menuntut ilmu berlangsung.
Selain itu, peristiwa hijrah juga mengajar kita untuk menyemai sifat tawakal dengan meletakkan harapan yang tinggi kepada Allah SWT dengan diiringi usaha yang berterusan. Tidak cukup sekadar mempunyai berbagai-bagai niat sahaja dan hanya bertawakal kepada Allah SWT, tanpa berusaha dengan memanfaatkan sebaik mungkin pinjaman akal dan kesihatan tubuh badan kurniaan daripada-Nya. Ambillah iktibar beberapa tindakan Rasulullah SAW seperti keluar daripada kediaman Baginda sambil membacakan beberapa ayat daripada Surah Yasin serta mendapatkan pertolongan daripada sepupu yang dikasihi, Sayidina Ali untuk menggantikan Baginda di tempat tidur.
Malah, beberapa strategi Baginda, antaranya termasuklah menggunakan jalan yang tidak selalu digunakan oleh pedagang untuk ke Yathrib serta berhenti seketika di Gua Thur memperlihatkan bahawa untuk melakukan penghijrahan kepada kebaikan, hendaklah mempunyai kebijaksanaan agar matlamat untuk memperoleh kebaikan akan dipermudah oleh Ilahi. Memetik kata-kata Rasulullah SAW ketika ucapan pertama Baginda apabila sampai di bumi tercinta, Madinah al-Munawwarah, dalam sebuah hadis riwayat al-Bukhari yang bermaksud, “Jikalau bukan kerana hijrah, maka aku daripada kaum Ansar. Jikalau manusia mengharungi suatu lembah dan kaum Ansar mengharungi lembah yang lain atau lereng, nescaya aku akan mengharungi lembah kaum Ansar atau lereng kaum Ansar.”
Semoga kita semua sentiasa berazam untuk berhijrah ke arah kebaikan, dan sedia berkorban untuk misi hijrah melawan hawa nafsu demi meraih reda Allah SWT.
————————————
Penulis merupakan graduan Ijazah Doktor Falsafah Pengajian Islam (Syariah), Bahagian Pengajian Islam, Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Universiti Sains Malaysia (U SM).