Diterbitkan pada 20 Jun 2025, 14:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, apabila kamu berbisik secara rahsia, janganlah kamu berbisik untuk melakukan dosa, permusuhan dan derhaka kepada rasul. Akan tetapi, (sebaliknya) berbisiklah tentang perbuatan kebajikan dan takwa. Dan bertakwalah kepada Allah yang kepada-Nya kamu akan dikumpulkan kembali (pada hari kiamat untuk dihitung amalan kamu dan menerima balasan).”

(Surah al-Mujadilah 58:9)

Media sosial kini menjadi perantara komunikasi yang paling popular. Penguasaan kemahiran peranti digital membantu menyelesaikan sebahagian besar keperluan kehidupan dengan mudah dan pantas, bahkan boleh dianggap sebagai talian hayat untuk mencapai sesuatu tujuan. Namun begitu, kemajuan komunikasi digital turut memberikan kesan buruk kepada generasi dan umat Islam sekiranya gagal diurus dengan baik.

Sering berlaku dalam kalangan umat Islam, yang tanpa malu dan silu menjadikan ruang sosial secara maya ini sebagai medan penyebaran bahan kandungan yang tidak baik. Ada sebahagiannya pula tanpa rasa bersalah menularkan berita yang diragui kesahihannya sehingga menimbulkan fitnah dan sangkaan buruk. Berpandukan ayat di atas, Allah SWT menegaskan bahawa perbuatan sedemikian sebagai pelaku dosa yang akan menerima balasan pada hari kiamat. Media sosial sepatutnya digunakan secara berhemah dan berakhlak agar manusia mendapat manfaat daripada kemudahan yang telah dikurniakan oleh Allah SWT.

Seseorang Muslim seharusnya menjaga adab dan tatasusila dalam apa-apa jua bentuk perlakuan. Seluruh Muslimin diseru agar sentiasa mengamalkan akhlak dan adab seorang Muslim terutamanya ketika mengendalikan media sosial agar tidak terjerumus dalam golongan yang dimurkai oleh Allah, bahkan lebih dahsyat lagi bakal dihumban ke dalam api neraka.

Antara akhlak yang baik ketika menggunakan media sosial termasuklah:

Pertama: Mengutarakan pandangan dan bersuara mengikut adab dan syariat serta lunas undang-undang.

Banyak dalam kalangan umat Islam terbabas ketika menyuarakan pendapat sehingga melanggar sempadan agama, institusi beraja, undang-undang negara dan kepekaan masyarakat. Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan memberikan hak kebebasan bersyarat ketika mengemukakan pandangan dan saranan selagi tidak menyentuh isu sensitif dan perkara yang boleh mengancam kepentingan keselamatan. Kita dilarang mengeluarkan kata-kata hinaan dan kritikan yang tidak berasas, menyalahi adab dan akhlak yang ditetapkan oleh Islam. Rasulullah SAW mengingatkan bahawa orang yang beriman hendaklah mengeluarkan kata-kata yang baik, atau lebih baik diam daripada menuturkan perkataan buruk sekiranya tidak mampu berkata baik.

Kedua: Memastikan maklumat yang ditularkan sahih.

Orang beriman seharusnya berhati-hati apabila menyampaikan sesuatu maklumat atau berita. Allah SWT menegaskan dalam Surah al-Isra’ ayat 36 yang mafhumnya melarang kaum Muslimin mengikuti perkataan atau perbuatan yang tidak diketahui kebenarannya untuk mengelak berlakunya penyebaran berita palsu yang mendatangkan kemurkaan Allah SWT. Bahkan, orang yang melakukannya dianggap sebagai pendusta seperti yang diperingatkan melalui sabda Rasulullah SAW.

Maksudnya: “Cukuplah bagi seseorang itu dianggap berdusta apabila dia menceritakan apa-apa sahaja yang didengarnya (tanpa tabayun).”

(Hadis riwayat Muslim)

Ketiga: Memilih kandungan yang mendatangkan manfaat kepada diri dan orang lain. Islam mendorong umatnya untuk sentiasa menyampaikan sesuatu yang bermanfaat. Hendaklah dijadikan pedoman hadis Rasulullah SAW yang bermaksud, “Sesiapa yang dapat menunjukkan suatu kebaikan (kemudian diikuti dan dilakukan kebaikan tersebut oleh orang lain), maka dia akan mendapat pahala seperti orang yang melakukannya.” Rasulullah SAW turut meninggalkan pesan, “Sesungguhnya orang yang dapat menyampaikan ilmu yang bermanfaat kepada orang lain, baginya pahala yang tidak putus walaupun telah meninggal dunia.”

Keempat: Tidak membuka aib dan menjatuhkan maruah orang lain.

Setiap manusia tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Namun begitu, umat Islam dinasihatkan agar tidak menjadikan kesalahan dan aib seseorang sebagai kandungan atau cerita yang dipilih untuk didedahkan kerana perbuatan menjatuhkan maruah  sangat tercela.  Jika kita memiliki sesuatu bahan berkaitan dengan perlakuan salah seseorang, cukup sekadar dijadikan bukti untuk diserahkan kepada pihak berkuasa untuk diambil tindakan sewajarnya; tiada keperluan untuk kita pula mendedahkannya sebagai tatapan umum. Rasulullah SAW mengingatkan bahawa sesiapa yang menutup aib seorang Muslim, maka Allah SWT akan menutup aibnya pada hari kiamat.

Perkongsian dan kandungan yang tidak sesuai dan berbahaya akan dipantau dan dikawal di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia (1998) yang memperuntukkan beberapa hukuman tertentu. Dan ingatlah bahawa Allah SWT juga turut menyediakan balasan di akhirat bagi perlakuan buruk yang dilakukan. Umat Islam diseru agar sentiasa bertanggungjawab terhadap kandungan yang dikongsi menerusi media sosial, antaranya termasuklah:

Pertama: Hentikan sebarang bentuk penyebaran berita yang boleh menimbulkan fitnah dan sangkaan buruk agar kita tidak tergolong dalam kalangan mereka yang mendapat kecelakaan besar seperti yang digambarkan melalui ayat pertama Surah al-Humazah yang bermaksud: “Celakalah bagi setiap pencaci dan pengeji.”

Kedua: Jangan menjaja keburukan orang lain di media sosial kerana sesungguhnya al-Quran memperingatkan bahawa orang yang melakukan perkara sedemikian ibarat memakan daging saudaranya yang sudah mati dan akan diberikan balasan neraka walaupun mempunyai amalan solat malam, puasa sunat dan seumpamanya.

Ketiga: Jangan dibiarkan diri hanyut dan lalai melayani media sosial sehingga merugikan pahala kebaikan sebagai bekalan akhirat, disebabkan kurangnya waktu yang diperuntukkan untuk melakukan ibadah.

Keempat: Takutlah akan hari pembalasan apabila setiap anggota kita akan dipertanggungjawabkan terhadap apa-apa yang telah kita lakukan ketika berada di dunia. Lidah yang berkata-kata dan tangan yang menulis cerita akan menjadi saksi di akhirat nanti.

 

Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 20 Jun 2025, bertajuk “Akhlak Muslim dalam Penggunaan Media Sosial”.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi