Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangFirman Allah SWT dalam Surah al-Saffat, ayat 102:
Maksudnya: “Maka, tatkala anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Ibrahim berkata, “Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya aku bermimpi bahawa aku akan menyembelihmu, maka fikirkanlah, bagaimanakah pendapatmu?” Dia menjawab, “Wahai ayahku, jalankanlah apa-apa yang diperintahkan kepadamu. Insya-Allah, kamu akan mendapati aku termasuk dalam golongan orang yang bersabar.”
Aidiladha ialah perayaan suci umat Islam. Pada hari tersebut, umat Islam dituntut memperbanyak amalan bertakbir, serta disunatkan melakukan ibadah korban mulai 10 Zulhijah hingga 13 Zulhijah, untuk diagihkan daging korban kepada golongan yang memerlukan, sebagai tanda ketaatan kepada perintah, dan kesyukuran atas kurniaan Allah SWT.
Aidiladha sewajarnya memperingatkan kita akan peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. dan kerelaan anaknya, Nabi Ismail a.s. Hal tersebut sekali gus menuntut kita menghayati falsafah yang terkandung di sebalik ibadah korban, serta meneladani sifat murni yang melambangkan ketaatan, keikhlasan, pengorbanan dan pengabdian diri kepada Allah SWT.
Islam amat menggalakkan amalan berkorban yang disebut sebagai ithar. Ithar bermaksud mengorbankan kepentingan diri sendiri untuk orang lain dan mendahulukan keperluan orang lain melebihi diri sendiri. Ithar ialah sifat yang sangat tinggi nilainya di sisi Allah SWT, serta melambangkan ketinggian akhlak yang mendorong seseorang sanggup berkorban demi kebaikan orang lain.
Nilai ithar ini terzahir menerusi ibadah korban yang bukan hanya dilakukan melalui penyembelihan binatang ternakan, bahkan turut menggugurkan sifat tamak dan juga menyisihkan sifat mementingkan diri sendiri. Ibadah korban mendidik ummah agar bersedia berkorban, iaitu kerelaan memberi dan berkongsi, kerana yakin bahawa perkara yang dilakukan merupakan ibadah di sisi Allah SWT yang tidak mendatangkan kerugian, sebaliknya membawa keberkatan.
Ayat 102 Surah al-Saffat menggambarkan ketaatan Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s. dalam peristiwa korban yang saling meredai untuk menyerahkan nyawa melalui penyembelihan anak kesayangan demi menjunjung perintah Ilahi.
Bagaimanakah kita mentafsir peristiwa ini dalam kehidupan seharian kita?
Sedar atau tidak, kisah Nabi Ibrahim a.s. ini ialah kisah kita. Kita juga menghadapi ujian seperti Nabi Ibrahim a.s. Nabi Ibrahim a.s. memiliki anak bernama Ismail. Nabi Ismail a.s. hendaklah dilihat bukan sekadar anak, malahan melambangkan kurniaan Ilahi yang amat disayangi; dan kurniaan Ilahi yang amat disayangi oleh manusia datang dalam pelbagai bentuk.
Ismail yang kita sangat sayangi pada hari ini mungkin dalam bentuk kemasyhuran, darjat, pangkat, kuasa, gelaran, paras rupa, harta dan kekayaan, atau perkara yang tanpa kita sedari sedang bertakhta dalam hati kita. Dalam kealpaan, perkara tersebut menjadikan kita manusia yang semakin tamak, haloba, riak dan angkuh. Ismail yang kita amat sayangi, mungkin kini menjelma dalam bentuk kediaman indah, kenderaan mewah, pakaian cantik, atau yang lebih memudaratkan, melalui sifat keji yang dibenarkan tumbuh subur dalam jiwa kita, seperti sombong, bongkak dan takbur.
Oleh itu, apakah yang perlu dikorbankan dalam kehidupan kita?
Nabi Ibrahim a.s. tidak disuruh untuk menyembelih Nabi Ismail a.s. secara harfiah. Hikmah di sebalik perintah untuk menyembelih putera kesayangan itu, Allah SWT sebenarnya menginginkan Nabi Ibrahim a.s. menggugurkan rasa hak memiliki Nabi Ismail a.s.
Raya korban ini bukan sekadar seruan untuk mengorbankan haiwan ternakan, tetapi peringatan untuk insan agar bersedia mengorbankan rasa pemilikan terhadap harta dan nikmat dunia yang amat disayangi dan bertakhta dalam hati kita. Raya korban hendaklah dijadikan peringatan untuk insan meleburkan sifat keji yang berdaki dalam diri kita kerana hakikatnya semua yang kita miliki ialah kurniaan yang dijadikan ujian oleh Allah SWT yang Maha Pemberi, sama ada berbentuk darjat, pangkat, kuasa, gelaran, paras rupa, harta mahupun kekayaan.
Sifat ithar digalakkan dalam urusan kehidupan dunia yang merangkumi ibadah zakat, wakaf, hibah dan sedekah. Ithar juga boleh diamalkan dalam kegiatan bermasyarakat seperti tolong-menolong, gotong-royong, menyertai program kesukarelawanan dan program kebajikan. Ithar juga boleh diamalkan pada perkara yang kita pandang remeh, seperti berhemah ketika memandu di jalan raya, mendahulukan pejalan kaki di lintasan pejalan kaki, mendahulukan golongan berusia, kanak-kanak, wanita dan ibu mengandung untuk mendapatkan tempat duduk di dalam pengangkutan awam, memberikan ruang kepada orang kelainan upaya, dan berhemah apabila menggunakan kemudahan awam.
Lawan kepada sifat ithar ialah sifat mementingkan diri, tamak haloba dan enggan berkongsi walaupun sedikit pelbagai kelebihan nikmat kurniaan Ilahi. Sifat buruk ini bukan sahaja menjauhkan kasih sayang Ilahi, malah menjauhkan kasih sayang sesama manusia.
Marilah kita mengambil pengajaran dengan menjadikan ibadah korban sebagai medan untuk menghidupkan semula semangat ithar. Ummah diseru untuk memupuk sifat ithar dalam jiwa melalui perkara berikut:
Ketika kita beriang ria menyambut Aidiladha bersama-sama dengan kaum keluarga, insafi dan hargailah pengorbanan saudara kita yang sedang melaksanakan pelbagai tugas fardu kifayah, misalnya anggota tentera, polis, bomba dan penyelamat, serta anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA). Begitu juga para petugas di lebuh raya dan di stesen minyak, para doktor, jururawat dan pemandu ambulans di hospital, para petugas media, serta golongan yang sedang memenuhi amanah dalam pelbagai bidang perkhidmatan 24 jam. Terima kasih kepada mereka yang memenuhi tugas fardu kifayah membolehkan kita menyambut Aidiladha dengan penuh kesyukuran.
Manfaatkan sambutan Aidiladha untuk merapatkan hubungan silaturahim sesama jiran, sanak saudara dan kaum kerabat. Jadikanlah hari ini sebagai hari untuk kita memaafkan segala sengketa serta memaafkan salah dan silap agar tersemai kasih sayang sesama ummah. Perbanyakkan amalan bertakbir memuji dan membesarkan Allah SWT sehingga berakhirnya hari tasyrik.
Disesuaikan daripada khutbah Hari Raya Aidiladha, 7 Jun 2025 bersamaan dengan 10 Zulhijah 1446, bertajuk “Menyelami Falsafah Tersirat di Sebalik Peristiwa Korban”.