Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangFirman Allah SWT:

Maksudnya: “Tidak menjadi kesalahan bagi kamu untuk mencari kurnia (rezeki hasil perniagaan ketika mengerjakan haji) daripada Tuhanmu. Maka itu, apabila kamu telah bertolak dari Arafah (menuju ke Muzdalifah), berzikirlah kepada Allah (dengan doa, talbiah dan tasbih) di Mahsyar al-Haram (Muzdalifah). Dan berzikirlah (dengan menyebut nama) Allah sebagaimana yang ditunjukkan-Nya kepadamu dan sesungguhnya kamu sebelum itu benar-benar termasuk dalam kalangan orang yang salah jalan ibadahnya.”
(Surah al-Baqarah 2:198)
Kemuncak ibadah haji ialah wuquf di Padang Arafah, iaitu rukun haji yang kedua. Jemaah haji tanpa mengira bangsa atau warna kulit, darjat atau keturunan, kaya atau miskin, pemimpin atau rakyat biasa, wajib berhimpun di Padang Arafah walau seketika untuk menyempurnakan ibadah wuquf yang melambangkan kesatuan dan persaudaraan ummah.
Rasulullah SAW menitipkan pesanan yang amat bermakna menjelang akhir hayat Baginda ketika menyampaikan khutbah Hujjah al-Wida‘, iaitu khutbah terakhir Rasulullah SAW yang disampaikan di Padang Arafah pada waktu zohor hari Jumaat, 9 Zulhijah tahun kesepuluh Hijrah. Sabda Baginda SAW yang bermaksud, “Wahai manusia, setiap Muslim ialah saudara kepada Muslim yang lain. Sesungguhnya Tuhanmu satu, bapamu satu, semua kamu daripada Adam, Adam daripada tanah, kamu semua sama, tidak seorang pun lebih mulia daripada yang lainnya kecuali dengan takwa. Tiada lebihnya seorang Arab daripada bukan Arab kecuali dengan takwa.”
Menyingkap hikmah daripada ibadah wuquf, umat Islam perlu memberikan perhatian terhadap tiga nilai yang berikut:
Pertama: Kesatuan dan persaudaraan umat Islam.
Ibadah wuquf menzahirkan kesatuan ummah. Ibadah wuquf mendidik umat Islam agar menginsafi nilai kesamaan sesama manusia. Semasa berwuquf, para jemaah haji memakai kain ihram yang sama, berhimpun di tempat yang sama di Arafah, bertalbiah membesarkan Allah SWT, berdoa kepada Allah yang Esa, bermunajat, beristighfar, berzikir dan membaca al-Quran. Mereka mempunyai satu matlamat, satu perjalanan dan satu cita-cita untuk memperoleh haji yang mabrur yang tiada balasannya melainkan syurga Allah SWT. Falsafah ini harus difahami dan dihayati untuk menzahirkan kesatuan ummah dalam pelbagai sudut kehidupan.
Ibadah wuquf juga menzahirkan nilai persaudaraan sesama umat Islam. Jutaan manusia dari seluruh pelosok dunia terdiri daripada pelbagai bangsa, warna kulit dan keturunan, mengamalkan pelbagai adat dan budaya serta bertutur pelbagai bahasa, berpeluang untuk saling berkenalan, bertaaruf, menyelami ukhuwah islamiah, berkasih sayang, bertemu dan berpisah kerana Allah SWT. Jika falsafah ini difahami, diinsafi dan dihayati, insya-Allah nasib umat Islam akan terbela di mana juga mereka berada. Nilai kasih sayang dan persaudaraan sesama Muslim sangat berharga dan menjadi asas dalam Islam. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Sesungguhnya orang yang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah antara kedua-dua saudara kamu (yang bertelingkah) dan bertakwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat.”
(Surah al-Hujurat 49:10)
Kedua: Bayangan perhimpunan di Padang Mahsyar.
Ibadah wuquf merupakan bayangan Padang Mahsyar. Manusia akan dihimpunkan pada hari kiamat untuk diadili segala perbuatan mereka. Ibadah wuquf seharusnya mencetuskan rasa insaf dalam sanubari setiap insan. Andai kata sebelum ini berlakunya perbuatan memutuskan silaturahim, mengadu domba, memfitnah, mementingkan diri sendiri, berburuk sangka, menipu, bergaduh dan berkelahi sehingga meruntuhkan institusi keluarga, masyarakat berpecah belah, umat Islam menjadi lemah dan tidak berdaya maju, insaflah bahawa kita pasti akan dihimpunkan dan diadili di hadapan Allah SWT di Padang Mahsyar sepertimana berhimpunnya jemaah haji di Padang Arafah.
Ketiga: Berbantah-bantahan menjejaskan mabrur haji.
Antara perbuatan yang ditegah dan dicela semasa melaksanakan ibadah haji, khususnya ketika berwuquf di Padang Arafah, ialah berbantah-bantahan sehingga boleh membawa keburukan dan kemaksiatan. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “(Masa untuk mengerjakan ibadah) haji adalah beberapa bulan yang dimaklumi. Oleh itu, sesiapa yang menetapkan niatnya dalam bulan itu untuk mengerjakan haji, maka dia tidak boleh mencampuri isterinya, berbuat maksiat dan bertengkar semasa mengerjakan ibadah haji dan apa-apa yang kamu kerjakan berupa kebaikan, nescaya Allah mengetahuinya. Dan berbekallah sesungguhnya sebaik-sebaik bekal ialah takwa dan bertakwalah kepada-Ku, wahai orang yang berakal (yang dapat berfikir dan memahami).”
(Surah al-Baqarah 2:197)
Islam melarang perdebatan yang mengundang perbalahan sehingga mengakibatkan terputusnya silaturahim dan tercetusnya persengketaan. Semasa mengerjakan ibadah haji, perbuatan sedemikian akan menjejaskan mabrur haji. Islam tidak melarang umatnya berhujah dan berdebat secara ilmiah untuk mencari titik persamaan, tetapi jangan sampai mengorbankan nilai persaudaraan. Umat Islam seharusnya bijaksana mendepani perbezaan pandangan agar tidak berlaku perpecahan dalam masyarakat. Sifat bertolak ansur, berfikiran terbuka, mengakui kelemahan dan kesilapan diri, memaafkan sesama saudara seagama merupakan sifat terpuji, sebaliknya sifat taasub buta dicela dalam Islam.
Berbahagia dan beruntunglah umat Islam yang melakukan ibadah puasa sunat 9 Zulhijah. Semoga melalui ibadah berpuasa sunat ini, selaras dengan sabda Rasulullah SAW, Allah SWT mengampunkan dosa setahun yang lepas dan setahun akan datang.
(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 6 Jun 2025, bertajuk “Ibadah Wuquf: Lambang Kesatuan dan Persaudaraan Ummah”)