Diterbitkan pada 4 Jun 2025, 12:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah meluluskan Bantuan Insentif Khas Aidiladha daripada wang kutipan zakat berjumlah RM16.65 juta sempena sambutan Hari Raya Aidiladha 1446H/2025M.

Menurut MAIWP, agihan tersebut akan memanfaatkan sebanyak 33 ribu orang asnaf penerima bantuan zakat MAIWP yang terdiri daripada kategori asnaf fakir, miskin, mualaf dan al-riqab.

“Mereka akan menerima insentif ini yang berjumlah RM500 setiap seorang.

“Bantuan Insentif Khas ini akan dikreditkan ke dalam akaun penerima selewat-lewatnya pada 6 Jun 2025,” jelas MAIWP dalam suatu kenyataan, semalam.

Menurut MAIWP, agensi tersebut sentiasa berusaha dari semasa ke semasa untuk melihat keperluan asnaf selaras dengan hala tuju MAIWP menjadi peneraju kesejahteraan ummah secara holistik melalui pendekatan lestari.

“Bantuan ini sebagai tanda keprihatinan MAIWP kepada asnaf bagi membantu mereka membuat persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidiladha,” jelas MAIWP.

“Semoga wang zakat yang dibayar oleh para pembayar zakat melalui Pusat Pungutan Zakat (PPZ) MAIWP akan mendapat keberkatan daripada Allah SWT,” ujarnya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi