Diterbitkan pada 30 Mei 2025, 14:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bulan Zulhijah ialah satu daripada empat bulan Islam yang suci, yang terkandung di dalamnya pelbagai kelebihan amal ibadah, terutamanya pada 10 hari pertama Zulhijah. Hal ini selaras dengan firman Allah SWT:

Maksudnya: “Demi waktu fajar; dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah).”

(Surah al-Fajr 89:1-2)

Sarjana tafsir, Ibn Kathir ketika mentafsirkan ayat 1 hingga ayat 2 Surah al-Fajr menyebutkan bahawa malam yang sepuluh, sebagaimana firman Allah SWT pada ayat berkenaan, merujuk 10 hari pertama bulan Zulhijah. Hal ini menandakan keagungan dan keistimewaannya sehingga Allah SWT sendiri bersumpah dengannya.

Rasulullah SAW menjelaskan kelebihan awal bulan Zulhijah berpandukan hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas r.a.  Sabda Baginda:

Maksudnya: “Tiada hari yang amalan soleh paling disukai Allah untuk dilakukan, melainkan hari-hari ini, Baginda memaksudkan 10 hari terawal Zulhijah. Para sahabat bertanya, ‘Wahai Rasulullah, walaupun jihad pada jalan Allah (tidak dapat menandinginya)?’ Baginda bersabda, ‘Walaupun jihad pada jalan Allah melainkan seorang lelaki yang keluar berjihad bersama-sama jiwa dan hartanya, kemudian harta dan jiwanya tidak kembali (syahid).’”

(Hadis riwayat al-Bukhari)

Ilmuwan Islam, Ibn Hajar menegaskan keutamaan pada 10 hari awal Zulhijah berbanding dengan hari-hari lain kerana terhimpun padanya pelbagai ibadah utama, iaitu ibadah solat, puasa, sedekah, haji dan korban, serta hari Arafah. Himpunan amalan seperti ini tidak berlaku pada bulan yang lain.

Di samping kelebihan ganjaran yang disediakan pada bulan ini, perbuatan maksiat dan kemungkaran juga hendaklah dijauhkan, kerana bulan yang suci ini seharusnya ditumpukan dengan ketaatan, maka tidak seharusnya dicemari dengan dosa seperti yang ditegaskan oleh ahli tafsir, Ibn Kathir dan al-Razi:

Maksudnya: “Sesungguhnya maksiat (yang dilakukan) padanya (hari tersebut), lebih berat akibatnya (dosa), dan ketaatan (yang dilakukan) padanya (hari tersebut), pahalanya berganda.”

10 hari pertama bulan Zulhijah hendaklah diisi dengan amalan soleh serta kegiatan yang mendatangkan kebaikan. Peluang yang menjelma setahun sekali ini jangan disia-siakan tanpa melakukan usaha untuk merebut kebaikan yang telah dianugerahkan oleh Allah SWT. Oleh itu, beberapa ibadah yang boleh dilakukan adalah seperti yang berikut:

Pertama: Melaksanakan ibadah haji

Ibadah haji merupakan kemuncak amal pada bulan Zulhijah. Bulan haji bermula dari 1 Syawal hingga 10 Zulhijah. Oleh itu, umat Islam yang berkemampuan dituntut mengunjungi Baitullah untuk menyempurnakan rukun Islam kelima, iaitu melaksanakan ibadah haji. Hal ini berpandukan firman Allah SWT:

Maksudnya: …“Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadah haji (dengan mengunjungi Baitullah), iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya … .”

(Surah Ali-‘Imran 3:97)

Kedua: Berpuasa pada 9 Zulhijah

Umat Islam yang tidak mengerjakan ibadah haji disunatkan berpuasa pada 9 Zulhijah kerana ganjaran besar disediakan bagi mereka yang berpuasa pada hari tersebut, iaitu diampunkan dosa mereka selama dua tahun. Hal ini berpandukan hadis Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Puasa hari Arafah, aku berharap kepada Allah supaya ia dapat menghapuskan dosa setahun sebelumnya dan juga tahun selepasnya.

(Hadis riwayat Muslim)

Bagi yang mengerjakan ibadah haji, Allah SWT mengurniakan satu hari yang sangat istimewa, iaitu 9 Zulhijah (hari wukuf di Arafah) yang dianggap sebagai waktu dan tempat terbaik dimakbulkan doa.

Ketiga: Memperbanyak bertakbir, bertasbih dan bertahmid

Umat Islam disunatkan memperbanyak memuji Allah SWT dengan amalan bertakbir, bertasbih dan bertahmid. Ibn Umar r.a. meriwayatkan sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Tidak ada suatu hari yang lebih agung di sisi Allah dan tiada pula hari yang lebih Dia cintai untuk beramal daripada sepuluh hari ini (Zulhijah), maka banyakkan tahlil, takbir dan tahmid.”

(Hadis riwayat Ahmad)

Keempat: Melaksanakan ibadah korban

Umat Islam yang berkemampuan dituntut melakukan ibadah korban pada hari-hari Tasyrik, iaitu bermula 10 Zulhijah hingga 13 Zulhijah. Ibadah korban bukan sekadar penyembelihan binatang ternakan, bahkan menterjemahkan sifat takwa kepada Allah SWT dan mentaati perintahnya selaras dengan firman Allah SWT:

Maksud: “Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban (sebagai tanda bersyukur).”

(Surah al-Kauthar 108:2)

Sebagai kesimpulan, disenaraikan empat perkara seperti yang berikut:

Pertama: Rebut peluang kelebihan beribadah semasa sepuluh hari pertama bulan Zulhijah. Banyakkan amal soleh seperti berbuat baik kepada ibu bapa, solat berjemaah, tadabbur al-Quran, berselawat, bersedekah, beristighfar dan berzikir.

Kedua: Berpuasa sunat sembilan hari pada sembilan hari pertama Zulhijah, setidak-tidaknya berpuasa sunat pada 9 Zulhijah, iaitu pada hari Arafah kerana ganjarannya sangat besar.

Ketiga: Melakukan ibadah korban sebagai tanda syukur atas nikmat kurniaan Ilahi. Bagi yang tidak mampu melaksanakan ibadah korban, dianjurkan melibatkan diri menghulur bantuan tenaga membantu urusan menyembelih, melapah dan mengagihkan daging korban.

Keempat: Menyemai niat dan azam mahu menunaikan ibadah haji. Lakukan perancangan awal melalui tabungan bulanan, serta mendaftar awal dengan Lembaga Tabung Haji.

 

(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 30 Mei 2025, bertajuk “Kelebihan Awal Zulhijah”)

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi