Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangDuyuf al-rahman bermaksud para tetamu Allah SWT. Perkataan ini sering kali kedengaran apabila tibanya musim umat Islam menunaikan ibadah haji, iaitu satu daripada rukun Islam.
Allah SWT menyatakan perihal kewajipan menunaikan ibadah haji menerusi firman-Nya yang bermaksud, “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadah haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkar akan kewajipan ibadat haji), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu) daripada sekalian makhluk.” (Surah Ali ‘Imran 3:97).
Pada setiap tahun, jutaan manusia membanjiri tanah suci bagi menunaikan ibadah haji. Bagi tahun 2025M/1446H, Kerajaan Arab Saudi telah meluluskan sebanyak 31,600 kuota haji untuk jemaah Malaysia. Para jemaah mengunjungi Baitullah semata-mata untuk mendapat keampunan dan keredaan daripada-Nya. Meskipun proses menunaikan ibadah haji memerlukan wang yang banyak, namun mereka tetap menyahut seruan Ilahi ini untuk mendapatkan keredaan-Nya yang lebih bernilai daripada dunia dan seisinya.
Begitulah bentuk pengorbanan yang perlu dilakukan oleh jemaah haji dengan niat yang ikhlas untuk mendapatkan keredaan-Nya. Sesungguhnya sebahagian daripada rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada para hamba-Nya mesti dimanfaatkan untuk menunaikan tanggungjawab sebagai seorang Muslim.
Kewajipan menunaikan ibadah haji tertanggung di atas bahu setiap individu Muslim yang berkemampuan. Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud,
Sempurnakanlah ibadah haji dan umrah kerana Allah … .
(Surah al-Baqarah 2:196).
Ayat ini secara jelas menunjukkan bahawa ibadah haji wajib ditunaikan semata-mata untuk mengharapkan keredaan Allah SWT. Setiap halangan yang datang perlu ditangani dengan penuh sabar dan mengharapkan pertolongan-Nya. Oleh itu, beruntunglah bagi golongan yang berjaya mendepani setiap halangan untuk menunaikan ibadah haji dengan cara yang terbaik.
Allah SWT menjelaskan perihal para tetamu-Nya yang datang dari setiap pelosok dunia bagi menunaikan ibadah haji dalam firman-Nya yang bermaksud, “Dan serulah umat manusia untuk menunaikan ibadah haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhanmu) dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus, mereka datang dari pelbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.” (Surah al-Haj 22:27).
Hayati Pensyariatan Ibadah Haji
Setiap ibadah yang dilakukan sepanjang musim haji mempunyai erti dan pengajaran yang tersendiri. Pemakaian ihram dan ibadah tawaf contohnya, memberikan gambaran bahawa setiap manusia mempunyai taraf yang sama di sisi Allah SWT. Hanya takwa yang dicerminkan melalui mutu ibadah masing-masing dapat membezakan darjat antara satu dengan lain.
Allah SWT juga menjelaskan perihal Baitullah, iaitu Kaabah yang merupakan tempat ibadah yang dimuliakan-Nya. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud, “Sesungguhnya rumah ibadah yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadah kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Makkah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia.” (Surah Ali ‘Imran 3:96).
Umat Islam sememangnya dianjurkan untuk berusaha menunaikan ibadah di masjid yang menjadi tempat suci. Rasulullah SAW mengingatkan umatnya agar bersungguh-sungguh mendapatkan peluang beribadah di tanah suci, dan musim haji merupakan masa terbaik untuk berada di tempat tersebut. Baginda bersabda yang bermaksud, “Janganlah kamu bersusah payah mengembara (atau bermusafir bagi tujuan ibadah) melainkan ke tiga buah masjid, iaitu Masjidilharam, Masjid Nabawi dan juga Masjidilaqsa.” (Hadis riwayat al-Bukhari).
Selain itu, semua larangan dalam ihram ketika menunaikan ibadah haji dan umrah sarat dengan hikmah yang menuntut kesabaran dan ketelitian ketika melaksanakan ibadah. Hal ini secara jelas memberikan pengertian bahawa setiap ibadah yang diwajibkan ke atas umat Islam perlu ditunaikan dengan penuh teliti dan bukan sekadar melepaskan batuk di tangga.
Wukuf di Arafah memberikan gambaran suasana di padang mahsyar yang bakal dilalui oleh setiap manusia. Suasana ini bukan sahaja dirasakan oleh para jemaah haji, bahkan orang yang menyaksikannya dari tanah air masing-masing juga turut berasakan keinsafan. Pada saat manusia berkumpul di suatu kawasan yang luas terbentang, masing-masing menadah tangan memohon doa ke hadrat Ilahi. Secara jelas, manusia hanya insan kerdil yang sentiasa mengharapkan pertolongan Allah SWT.
Allah SWT menjelaskan perihal para jemaah haji yang berusaha melaksanakan perintah-Nya menerusi ayat al-Quran yang bermaksud, “Kemudian apabila kamu bertolak dari Arafah (menuju ke Muzdalifah), maka sebutlah nama Allah dengan doa talbiah dan tasbih) di tempat masy‘ar al-haram (di Muzdalifah), dan ingatlah kepada Allah dengan menyebut-Nya sebagaimana Dia telah memberikan petunjuk hidayah kepada kamu.” (Surah al-Baqarah 2:198).
Ibadah sai di antara bukit Safa dengan bukit Marwah pula membawa umat Islam menghayati pengorbanan seorang wanita yang akur terhadap perintah Tuhannya. Sifat reda dan tawakal yang ditunjukkan oleh Hajar, iaitu isteri Nabi Ibrahim a.s. mengajar manusia agar sentiasa meletakkan perintah Allah SWT melebihi segala-galanya. Dengan kesabaran dan berserah diri kepada Allah, maka dibukakan jalan keluar baginya untuk mengharungi kehidupan tanpa suami tercinta.
Inilah antara bukti kekuasaan Allah SWT yang diperikan melalui pensyariatan ibadah haji. Sesungguhnya pertolongan Allah SWT sentiasa memayungi hidup hamba yang taat kepada perintah-Nya. Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud, “Sesungguhnya Safa dan Marwah itu sebahagian daripada syiar (lambang) agama Allah, maka sesiapa yang menunaikan ibadah haji ke Baitullah atau mengerjakan umrah, maka tiadalah menjadi salah dia bersai di antara kedua-duanya.” (Surah al-Baqarah 2:158).
Pasak Keazaman ke Tanah Suci
Setiap individu Muslim sewajarnya berazam untuk menunaikan ibadah haji. Bagi golongan muda, niat harus diletakkan sejak awal agar hasrat murni tersebut dipermudah oleh Allah SWT. Niat memainkan peranan yang penting dalam pelaksanaan amal ibadah dalam Islam. Niat yang murni bukan sekadar niat, namun disertai dengan usaha dan gerak kerja berstrategi ke arah hasrat yang ingin dicapai.
Marilah kita bersama-sama menabung, meletakkan impian serta mempersiapkan diri agar usaha murni kita dipermudah oleh Allah SWT. Bagi yang masih belum mempunyai simpanan dalam akaun Tabung Haji, segeralah berbuat demikian dan seterusnya mendaftar haji kerana niat tanpa usaha ibarat angan-angan kosong semata-mata.
Selain itu, ambillah kesempatan menziarahi para jemaah haji apabila mereka pulang ke tanah air. Pengalaman mereka menunaikan perintah Allah SWT sewajarnya ditimba agar dapat memotivasikan diri untuk melakukan perkara yang sama.
Hadirkan juga diri ke majlis ilmu atau kursus bimbingan berkaitan dengan pelaksanaan ibadah haji. Sesungguhnya pelaksanaan ibadah haji mesti berdasarkan ilmu yang betul kerana sesuatu ibadah mungkin ditolak oleh Allah SWT jika pelaksanaannya tidak menepati rukun, syarat dan hukum yang berkaitan dengannya.
Meskipun kita belum mengetahui masa yang tepat untuk menjadi tetemu-Nya di tanah suci, usaha untuk menimba ilmu pengetahuan berkaitan dengan ibadah haji mestilah dilakukan agar setiap amal ibadah yang dilakukan semasa menunaikan ibadah haji nanti menepati ketetapan syarak, seterusnya diterima oleh Allah SWT.
Semoga para jemaah haji dari Malaysia yang kini berada di Tanah Suci dikurniakan kesihatan yang baik, dipermudah semua urusan oleh Allah SWT, seterusnya mendapat haji mabrur. Rasulullah SAW menjelaskan ganjaran besar bagi orang yang menunaikan haji menerusi sabdanya bermaksud: “Haji mabrur tidak ada ganjaran baginya melainkan syurga.” (Hadis riwayat Ahmad)
Rasulullah SAW juga bersabda yang maksudnya: “Sesiapa yang datang ke Baitullah ini untuk menunaikan haji dan menjauhi segala perbuatan keji dan maksiat, maka dia kembali seperti semula pada hari ibunya melahirkannya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).