Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangFirman Allah SWT,:

Maksudnya: “Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilai dengan kehidupan akhirat) hanyalah ibarat hiburan dan permainan. Dan sesungguhnya negeri akhirat ialah kehidupan yang sebenarnya. Jika mereka mengetahui (hakikat ini nescaya mereka tidak akan melupakan hari akhirat).”
(Surah al-‘Ankabut 29:64)
Setiap mukmin wajib meyakini bahawa kehidupan di dunia hanyalah sementara, manakala kehidupan akhirat hendaklah dijadikan matlamat utama. Manusia diibaratkan tetamu di muka bumi, yang singgah seketika berkelana mencari bekalan sebelum menemui ajal yang telah ditetapkan.
Kematian bukanlah penamat kehidupan, tetapi merupakan permulaan menuju kehidupan yang kekal abadi; bermula dari alam kubur sehingga berlaku kiamat, disusuli hari kebangkitan di padang mahsyar, iaitu hari setiap manusia dihitung timbangan amal sehingga diputuskan sama ada terpilih sebagai penghuni syurga ataupun dicampakkan ke neraka. Semoga kaum keluarga dan zuriat keturunan kita dilindungi daripada azab api neraka.
Dalam ayat al-Quran terdapat banyak ayat yang menyeru manusia untuk mengutamakan kehidupan akhirat, serta peringatan untuk tidak menjadikan dunia sebagai matlamat hidup. Al-Quran menyifatkan “kehidupan dunia” sebagai permainan, tipu daya, hiburan, kelalaian dan meletakkan kedudukan dunia berada pada tahap rendah jika dipenuhi dengan kegiatan untuk melayan keperluan nafsu atau semata-mata untuk mengecap nikmat dunia, tanpa menghiraukan perintah dan petunjuk wahyu Allah SWT serta sunnah Rasulullah SAW.
Al-Quran menggambarkan tabiat manusia amat menyukakan habuan, kebendaan dan berlumba-lumba mengumpul kesenangan dunia sehingga tidak sedar bahawa kematian semakin hampir seperti yang firman Allah SWT:

Maksudnya: “Kamu telah dilalaikan (daripada melakukan amalan soleh) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat sebanyak-banyaknya (harta benda, anak pinak, pangkat dan pengaruh). Sehingga kamu masuk ke dalam kubur.”
(Surah al-Takathur 102:1-2)
Sarjana tafsir, al-Razi ketika mentafsirkan ayat 64 Surah al-‘Ankabut menggambarkan ancaman tipu daya kehidupan dunia yang membuatkan manusia terpedaya dalam arus kelazatan hiburan, lantas hanyut dalam kebatilan.
Sayugia diingatkan bahawa umat Islam wajib berwaspada dengan tipu daya kehidupan dunia. Dorongan nafsu sentiasa digandingkan dengan bisikan syaitan, yang menggoda manusia dengan menghiasi perkara yang syubhah menjadi harus – perkara haram menjadi indah, lalu menghasut manusia mendekati syubhah – berbuat kemungkaran, mengejar kemewahan, mendambakan kemasyhuran, mengimpikan jawatan sekalipun dicapai melalui penipuan, penyelewengan, pecah amanah dan rasuah yang nyata bersalahan dengan syarak.
Islam tidak melarang umatnya untuk mengumpul kekayaan asalkan tidak menjadi hamba dunia sehingga sanggup melanggar batas yang ditetapkan oleh syarak, serta menjadikan harta dan pangkat sebagai kiblat hidup. Agama Islam sangat mendorong kemajuan dan menuntut umatnya untuk berusaha memperoleh harta yang banyak agar dapat bersifat dermawan, melakukan kebajikan, dan menghulurkan bantuan kepada orang yang memerlukan melalui amalan bersedekah, berwakaf dan berinfak.
Mengutamakan akhirat bermaksud memanfaatkan kehidupan dunia sebagai ladang bercucuk tanam untuk dituai di akhirat. Bekalan yang dituntut bukanlah harta dan wang ringgit, pangkat dan jawatan, ataupun gelaran dan kemasyhuran, tetapi takwa dan akidah yang tulen, mengabdikan diri semata-mata kepada Allah SWT, mengesakan-Nya dan tidak mensyirikkan-Nya, menjauhi tahyul dan khurafat, mendahulukan kehendak Allah dan rasul dalam semua perkara, dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala yang diperintahkan dan menjauhi larangan-Nya.
Kematian itu pasti, akhirat juga pasti menanti. Insaflah bahawa kematian semakin hari semakin hampir dengan kita. Hakikat ini hendaklah menginsafkan kita untuk bermuhasabah. Adakah kita sedang mengutamakan akhirat, atau masih terbuai dengan kesenangan dunia? Adakah kita masih melengah-lengahkan kewajipan bersolat? Adakah kita masih memilih mahu berdendam dan bermusuhan sesama insan? Adakah kita masih mahu menipu, mengambil harta orang lain, melakukan rasuah dan pecah amanah? Adakah kita memilih sengaja berlengah dan tidak mahu membayar hutang serta terus memungkiri janji? Adakah kita berterusan mengadu domba dan menyebarkan fitnah? Adakah kita bersifat anak derhaka? Adakah kita masih menghabiskan masa dengan hiburan yang tidak berfaedah? Dan adakah kita masih bersifat dengki sombong, bongkak dan takabbur?
Ketahuilah bahawa ketika kita dihimpunkan di mahkamah Rabbuljalil, kita tertanya-tanya tentang apakah nasib yang bakal menimpa diri, adakah berat timbangan amal kebaikan kita ataupun sebaliknya? Pada ketika itu tidak ada peguam bela yang boleh dilantik untuk membela kita, juga tidak ada saksi yang boleh diupah untuk tidak bercakap benar. Apa-apa yang akan dibentangkan di hadapan Allah SWT ialah catatan daripada Raqib dan ‘Atid, termasuklah apa-apa yang didengari oleh telinga, dilihat oleh mata, dilafazkan oleh mulut, dikerjakan oleh tangan dan di tempat mana kaki pernah melangkah.
Oleh hal yang demikian, umat Islam diberi peringatan tentang empat perkara:
Pertama: Kematian, pertanyaan malaikat Munkar dan Nakir, kiamat dan hari kebangkitan, syurga dan neraka ialah perkara benar yang pasti berlaku dan umat Islam wajib beriman dengannya, serta dituntut melakukan persiapan untuk menghadapinya.
Kedua: Niatkan segala perbuatan termasuklah ketika menyempurnakan kerja harian dilakukan semata-mata kerana Allah SWT agar dinilai sebagai ibadah bagi mencapai maksud dunia sebagai ladang melakukan kebaikan untuk bekalan persediaan hari akhirat.
Ketiga: Abdikan diri kepada Allah SWT, jauhi maksiat dan amalan syirik, serta tidak bersifat lebih takut dan taat kepada manusia sehingga bersubahat melakukan kemungkaran. Perbanyakkan amal soleh, berbuat baik kepada ibu bapa, menyambung silaturahim, bersedekah dan berwakaf. Sentiasa beristighfar, membaca al-Quran dan bersolat sunat taubat pada setiap hari agar pengakhiran kita sentiasa dalam keadaan bersih daripada dosa dan noda.
Keempat: Dampingi orang yang soleh – yang mengingatkan kita kepada Allah dan kehidupan akhirat; insya-Allah kehidupan kita akan sentiasa dipenuhi amal kebaikan.
(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 23 Mei 2025, berjudul “Penuhi Kehidupan Dunia dengan Mengingati Kehidupan Akhirat”)